AGAMA

Mingguan Malaysia 14 Mei 2001

Rujuk isu agama kepada kerajaan

PETALING JAYA 13 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat berbilang kaum di negara ini supaya tidak menggunakan pendekatan sendiri apabila berdepan dengan isu-isu sensitif berkaitan agama.

Perdana Menteri berkata, tindakan seperti itu hanya akan mengusutkan lagi masalah dan boleh menjurus kepada tindakan ganas.

``Jika ketegangan berlaku, rakyat diminta bertenang dan merujuk kepada kerajaan untuk diselesaikan dengan cara yang adil. Ini lebih baik daripada kita selesaikan dengan cara yang ganas,'' katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Hari Wesak di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada penganut pelbagai agama menghadiri majlis itu yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Buddhis Malaysia.Dr. Mahathir berkata, jika semua pertelingkahan dapat diselesaikan dengan cara yang aman, negara ini juga akan terus aman dan setiap rakyat akan dapat menikmati pembangunan dengan selesa.

Beliau mengakui agama akan menimbulkan perasaan setia di kalangan penganutnya sehingga kadangkala wujud perasaan kurang toleran terhadap penganut agama lain.Katanya, perasaan itu boleh menyebabkan hubungan antara penganut agama akan menjadi tegang sehingga timbul perselisihan dan pertegangan, bahkan, boleh mencetuskan peperangan.

``Apabila berlaku peperangan, amat sukar untuk dihentikan permusuhan ini,'' katanya dengan memberi contoh apa yang berlaku antara penganut Protestan dan Katolik di Ireland Utara dan antara orang Islam dan Yahudi di Palestin.Justeru, katanya, rakyat Malaysia harus bersyukur dan berbangga kerana keadaan seperti itu tidak wujud di negara ini.

Katanya, ini kerana rakyatnya menghormati dan memahami tentang kepelbagaian agama yang diamalkan di negara ini.

``Kewujudan rumah ibadat agama lain di seluruh negara ini adalah bukti jelas wujudnya sikap hormat-menghormati itu. Lebih istimewa lagi ialah rakyat Malaysia melawat kawan agama yang lain walaupun ia bukan hari kebesaran agama mereka,'' katanya.

Dr. Mahathir berharap sikap menghormati dan memahami agama lain terus dikekalkan supaya suasana aman di negara ini juga dapat dikekalkan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi