AGAMA

Mingguan Malaysia 13 Mei 2001

Selesaikan amanat Hadi secara politik

Oleh: SAFEI DAUD
AMANAT Hadi tetap salah di sisi agama dan ini telah pun diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Februari 1986. Arahan kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri mewartakan keputusan itu telah pun dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan umat Islam seharusnya menerima keputusan itu kerana ia dibuat oleh sebuah badan yang dianggotai oleh semua mufti di Malaysia.

Kenyataan Abdul Hadi Awang dalam Warta Darul Iman pada 1 Jun 2000 yang mendakwa Majlis Agama Islam Kebangsaan memutuskan amanatnya tidak salah dari segi agama adalah cakap politik bagi membela diri sendiri.

Saya sungguh tertarik dengan kenyataan Datuk Mufti Negeri Perak dalam Utusan Malaysia pada 4 Mei 2001 yang menyarankan supaya Amanat Hadi diselesaikan secara politik kerana sehingga kini ia telah banyak diputar belit sehingga kebenaran sudah tidak konsisten lagi.

Ada dua perkara yang diperbesarkan oleh Hadi sendiri sehingga ia menjadi isu politik yang turut disokong oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Fadzil Noor.

Pertama: Perkataan amanat itu bukan kehendaknya.

Kedua: Amanat itu selaras dengan kitab Mustika Hadis keluaran JPM jilid pertama muka 415-416.

Harakah bilangan 1190 bertarikh 1 Mei 2001, muka 29 melaporkan Nik Aziz berkata: ``Kalau nak tarik amanat Hadi maka Mustika Hadis itu juga mesti ditarik.'' Fotostat Mustika Hadis berkenaan (muka 415) dimuatkan dalam keluaran Harakah tersebut.

Isu-isu beginilah yang mesti diselesaikan dengan cara politik kerana maksud di sebaliknya ialah menambah keyakinan orang kononnya Amanat Hadi itu tidak salah apabila dikatakan selaras dengan kitab keluaran JPM sendiri.

Walau apa pun alasan diberikan, namun salinan fotostat Mustika Hadis itu secara jelas menunjukkan bahawa kandungannya adalah mengenai murtad dan bukan syahid seperti teks Amanat Hadi. Demi kebenaran marilah kita perhatikan kedudukan kedua-dua isu ini secara teliti.

Banyak bukti yang boleh mengesahkan bahawa Amanat Hadi dicetak sendiri oleh Pas, antaranya:

* Kertas putih kerajaan Malaysia bertarikh 26 Februari 1986 mengenai Peristiwa Memali ada memuatkan satu kenyataan bahawa Amanat Hadi dicetak dalam empat versi. Versi jawi dicetak oleh Penerangan Pas Kelantan; versi rumi oleh Pas Pusat dan dua versi lagi dalam tulisan rumi dan jawi oleh Sekretariat Pemuda Pas Pusat.

* Dalam rakaman video polis mengenai peristiwa berdarah Memali kelihatan Amanat Hadi versi rumi cetakan Pas Pusat. Siapa berani mengedarkannya di dalam kawasan pondok Allahyarham Ibrahim Libya kalau tidak pimpinan Pas sendiri?

* Amanat Hadi yang sama juga didapati tergantung di dalam Masjid Taqwa Batu 6, Kuala Terengganu sejak dahulu lagi. Orang UMNO tidak akan memasang amanat itu di situ kerana masjid tersebut kepunyaan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu sendiri. Sehingga bulan April 2000, amanat itu masih tergantung di tempat asalnya.

Nampaknya Hadi sendiri tidak takut berbohong apabila mengatakan amanat itu dibuat oleh seorang peniaga yang dahulunya orang Pas dan kini berniaga dalam UMNO (Warta Darul Iman 1 Jun 2000).

Dalam sepucuk surat daripada Pejabat Menteri Besar Terengganu S.U.K.TR.100/22 (01) bertarikh 1 September 2000 sebagai menjawab surat saya atas nama Biro Hal Ehwal Islam UMNO Negeri Terengganu, saya dituduh kononnya bertanggungjawab mencetak dan menyebarkan amanat itu.

Selain itu, dalam Berita Harian 26 April 2001, Hadi berkata: ``Dan bukan saya yang menamakan (ucapannya) amanat, orang UMNO yang menamakan amanat.''

Perbezaan alasan inilah yang dimaksudkan dengan permainan politik. Maka orang yang suka mengubah pendirian seperti Hadi tidak wajar diajak bermuzakarah.

Dakwaan Hadi bahawa amanatnya itu berdasarkan kandungan Mustika Hadis adalah suatu pembohongan dan fitnah terhadap kitab itu sendiri. Bagi orang yang meneliti Mustika Hadis yang dimaksudkan akan akur bahawa kandungan amanat Hadi dan Mustika Hadis tersebut amat jauh berbeza.

* Amanat Hadi membawa persoalan mati syahid sedangkan Mustika Hadis membicarakan perkara yang merosakkan iman iaitu murtad.

* Mustika Hadis tidak menyebut ayat yang bermaksud mengekalkan perlembagaan penjajah, peraturan kafir, peraturan jahiliah.

* Dalam Mustika Hadis tidak ada rangkaian kata-kata `kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.'

* Mustika Hadis itu tidak mengandungi hukum `perjuangan kita (dalam Pas) adalah jihad, ucapan kita adalah jihad dan derma kita adalah jihad.'

* Malaysia tidak mengekalkan perlembagaan penjajah (sehingga 1995, sebanyak 39 pindaan telah dibuat) dan pemerintahan Malaysia juga tidak mengasingkan agama dengan politik kerana kedua-duanya di bawah bidang kuasa seorang ketua yang sama.

* Amanat itu secara jelas menyebut `menentang UMNO bukan kerana nama UMNO' dan tidak menyebut sepatah pun kata-kata batas iman dan kufur seperti yang pernah didakwa oleh Hadi.

Ini membuktikan Hadi memfitnah UMNO mengekalkan perlembagaan penjajah dan bukan menjelaskan batas-batas iman dan kufur.

* Amanat Hadi juga secara terang-terang menghukum `dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ni, mati kita adalah mati syahid.'

Mereka kononnya tidak tahu mengenai fatwa bahawa Amanat Hadi bercanggah dengan Islam. Peliknya, fatwa itu diketahui umum menerusi laporan akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia pada 29 Februari 1986.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Terengganu, Zakaria Dagang berjanji untuk membuktikan dakwaan Hadi bahawa Majlis Agama Islam Kebangsaan memutuskan amanatnya tidak salah dari segi agama supaya UMNO tidak boleh lagi mengatakan Warta Darul Iman sebagai lidah rasmi pembohong. Namun, janji hanya tinggal janji.

Bukti paling jelas pembohongan mereka ialah surat terbuka Biro Hal Ehwal Islam UMNO Terengganu kepada Hadi mengandungi soalan-soalan meminta bukti yang sehingga sekarang belum berjawab (Utusan Malaysia 29 September 2000). Ini mungkin kerana kandungan dalam surat terbuka itu adalah fakta sebenar yang sudah tentu tidak mampu dinafikan.

* Datuk Safei Daud adalah Setiausaha Biro Hal Ehwal Islam dan Pembangunan Sosial, Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi