AGAMA

Mingguan Malaysia 13 Mei 2001

Tidak tinggal solat selepas belajar ilmu batin

Oleh: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Beberapa siri yang lalu, dalam ruangan ini ustaz ada membicarakan tentang amalan kebatinan, merangkumi ilmu isim. Saya amat tertarik dan terdorong untuk meminta penjelasan. Bagaimanakah dikatakan ilmu ini boleh menjejaskan iman, pada hal ilmu itu mengandungi unsur-unsur kebaikan. Anak saya yang selama ini begitu liat untuk sembahyang, menjadi begitu baik, terus sembahyang apabila tiba waktunya dan mengajak saya sembahyang bersama selepas belajar ilmu batin.

Ilmu kebatinan yang dipelajari ini juga mengajar supaya tidak melawan guru, ibu bapa, jangan berzina, bergaduh sesama murid seperguruan, bukan untuk menunjuk-nunjuk, manakala zikir-zikir yang diamalkan pula tidak bertentangan dengan ajaran Islam. - SHAFIE SARIF, Negeri Sembilan.

Jawapan: Perlu disedari dan difahami bahawa konsep yang ditetapkan dalam ilmu kebatinan yang dipelajari oleh anak saudara itu adalah baik. Ada improvement setelah mempelajari ilmu ini dan tahu mengajak orang tua bersembahyang sama.

Setiap orang yang mendirikan sembahyang mesti melakukannya semata-mata kerana Allah. Bukan kerana selain daripada Allah. Orang yang tidak pernah mendirikan sembahyang atau begitu liat untuk bersembahyang, lalu menjadi orang yang tidak meninggalkan sembahyang kerana sebab-sebab luar, orang yang berkenaan hakikatnya sembahyang kerana dorongan luar, tidak ikhlas bukan kerana Allah, biarpun tidak dinafikan lidahnya menyebut lillahi taala (kerana Allah Taala), yang dibaca pada permulaan sembahyang ataupun ketika berniat.

Hal demikian terjadi semata-mata kerana lafaz niat itu perlu dilakukan sedemikian rupa. Andainya orang yang berbuat demikian menyedari hakikat sembahyang, memahami dan menghayati makna di sebalik ungkapan kata tersebut, mereka yang terlibat tidak akan meninggalkan sembahyang hanya setelah mempelajari ilmu kebatinan mempertahankan diri.

Jelasnya, orang yang tidak pernah sembahyang dan hanya melakukan sembahyang setelah mempelajari ilmu mempertahankan diri, dia sembahyang adalah kerana belajar ilmu tersebut. Kalau tidak kerana belajar ilmu itu dia tidak sembahyang.

Keadaan seperti itu sama seperti orang yang sembahyang kerana malukan jiran-jiran sekampung, ataupun jiran sebelah rumah. Mendirikan sembahyang Jumaat, pada hal sembahyang lain tidak dilakukan kerana jiran atau orang sekampung tidak melihatnya ketika dia di rumah. Keadaan seperti inilah yang melahirkan manusia yang sembahyang sekali seminggu, iaitu sembahyang Jumaat atau dua kali setahun, iaitu sembahyang raya haji juga raya puasa.

Ada juga orang yang sembahyang hanya apabila bapa atau emak mentua berkunjung ke rumah. Ke masjid supaya diundi menjadi salah seorang ahli jawatankuasa masjid. Sembahyang ikut orang ramai kerana bos sembahyang. Kalau tidak sembahyang dan bos nampak, gaji tidak boleh naik. Sesetengah bos pula sembahyang kerana malukan orang bawah jagaannya yang sembahyang, pada hal pada waktu biasa orang seperti ini tidak mendirikan sembahyang.

Mereka yang sembahyang seperti ini bukan kerana Allah, tetapi kerana faktor luaran, mempunyai motif tertentu, untuk kepentingan diri sendiri ataupun tujuan lain, tidak ubah seperti menunjuk-nunjuk ataupun riak. Mereka yang berbuat demikian termasuk dalam golongan asy-syirku al-asqhar (syirik kecil). Setiap orang mesti sembahyang dalam keadaan apa sekalipun menurut ketentuan kerana ia merupakan kefarduan yang mesti dilakukan iaitu salah satu daripada Rukun Islam, sama ada ketika berada di hadapan manusia ataupun bersendirian.

Anak mengajak ataupun memperingatkan kedua-dua ibu bapanya supaya sembahyang apabila tiba waktunya adalah sesuatu yang baik. Malah konsep pengajaran seperti mencegah diri daripada melakukan zina, memperbanyakkan puasa sunat, sama ada puasa Isnin, Khamis atau lain-lain, memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin, berbuat baik sesama manusia, tidak menunjuk-nunjuk dengan kelebihan ilmu kebatinan yang dimiliki, tidak boleh melawan guru dan sebagainya adalah sesuatu yang baik.

Walaupun demikian perlu difahami dan disedari bahawa setiap orang yang beriman itu memang diharamkan daripada berzina, tidak boleh melawan guru, kedua ibu bapa, kawan-kawan dan sebagainya tanpa sebab. Jangan dipraktikkan amalan seperti ini hanya setelah mempelajari ilmu kebatinan. Kefarduan atau tegahan amalan-amalan tersebut termaktub jelas dalam ajaran syariah bukan kerana setelah mempelajari ilmu kebatinan tadi.

Kalaulah suruhan dan tegahan amalan itu dipatuhi hanya setelah mempelajari ilmu kebatinan tersebut, adakah amalan yang melibatkan kefarduan dan tegahan tadi boleh dilakukan kalau tidak melibatkan diri dengan ilmu kebatinan yang dipelajari.

Memang tidak dinafikan bahawa amalan-amalan zikir yang dibaca dan diamalkan itu sebahagian besarnya melibatkan zikir-zikir yang betul, melibatkan sebutan subhanallah, alhamdulillah, Allahu Akbar dan sebagainya dalam bilangan tertentu setiap malam, untuk malam-malam tertentu, sehingga 10,000 kali ataupun lebih banyak daripada itu.

Sesetengah daripada ayat-ayat yang dibaca itu terdiri daripada ayat al-Quran yang tidak dinafikan kesahihannya begitu juga dengan doa-doa al-Mathurat yang dibaca.

Walaupun demikian, biarpun zikir-zikir yang dibaca itu betul, manakala niat dan hajat orang yang mempelajari itu ikhlas, untuk bertakarrub atau menghampirkan diri kepada Allah tetapi murid-murid ini adalah dalam golongan mereka yang malang andainya mereka terjebak mempelajari ilmu daripada guru yang salah di mana amalannya melibatkan sihir, membolehkan si pengamal melakukan perkara-perkara yang luar biasa, mencarik adat sesuatu yang bukan hakikat dan natijah daripada amalan tersebut tidak boleh difikirkan oleh akal macam mana boleh berlaku.

Amalan seperti inilah yang membolehkan mereka yang terlibat melakukan sesuatu yang luar biasa. Tidak pernah mempelajari ilmu persilatan tetapi setelah diijazahkan ilmu ini dia boleh bersilat, menjadi kebal dan sebagainya. Natijah luar biasa inilah yang menjadi daya penarik kepada mereka yang memandangnya dari luar.

Sesetengah daripada kandungan amalan tersebut melibatkan ayat-ayat al-Quran. Walaupun demikian terlalu banyak ayat tersebut telah terpesong, diamalkan terus menerus tanpa disedari oleh murid yang terlibat dan juga guru yang mengajar.

Setelah Allah s.w.t. sempurna mencipta Adam, Allah memerintahkan agar malaikat sujud kepadanya sebagai menghormati kejadian Allah. Semua malaikat sujud, kecuali iblis. Ketika ditanya sebab keengganannya, iblis menyatakan bahawa Adam dijadikan daripada tanah, pada hal dia dijadikan daripada api (al-Hijr: 39). Keengganan iblis itu telah melahirkan kemurkaan Allah, lalu Allah melaknatnya, dihukumkan kafir dan akan dimasukkan ke dalam neraka.

Kemurkaan Allah menyebabkan iblis bersumpah akan membinasakan anak Adam dengan menipu dan akan mengheret sama ke neraka jahanam. Allah s.w.t menjelaskan bahawa iblis tidak berupaya berbuat demikian, iaitu menyesatkan anak Adam, kecuali mereka yang sesat sahaja (al-Hijr: 42).

Apabila menyebut atau terdengar nama ``iblis'' atau ``syaitan'', manusia terasa gerun dan berusaha mengelakkannya. Walaupun demikian, iblis tetap berusaha menipu manusia. Salah satu daripadanya ialah menggunakan unsur-unsur agama, dengan penggunaan amalan zikir, ayat-ayat al-Quran ataupun kalimah-kalimah dan upacara yang memperlihatkan unsur-unsur Islam dalam kegiatan kebatinan. Ini termasuklah penggunaan ayat yang telah diubah, ditukar dan sebagainya, menyebabkan manusia tetap menganggapnya sebagai ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir yang benar kerana pengamalnya tidak memahami bahasa Arab. Pada masa yang sama penggunaan ayat-ayat yang benar tetap ada tetapi ia disertai oleh sihir. Sihir tidak boleh berlaku kecuali dengan penglibatan jin-jin.

Saudara memberi alasan kebaikan amalan kebatinan sebagai pendorong beribadat kepada Allah. Satu pendekatan yang tidak dinafikan. Walaupun demikian, ilmu yang dituntut oleh anak saudara akan melahirkan natijah yang sama, yang pelik-pelik, tidak dapat diterima akal bagaimana ia boleh terjadi, biarpun dia tidak sembahyang, melawan guru, bergaduh dengan teman-teman seperguruan dan sebagainya.

Amalan ini lebih banyak melibatkan ilmu kebatinan mempertahankan diri. Walaupun demikian, banyak bukti memperlihatkan bahawa amalan tersebut tidak semestinya melahirkan natijah yang diharap apabila diperlukan ketika dalam keadaan terdesak untuk mempertahankan diri. Malah diri pengamal ilmu ini sendiri pun tidak yakin bahawa dirinya tidak semestinya kebal apabila diperlukan. Boleh menumbuk atau mencampakkan seseorang ketika berlawan, kerana segala gerak laku tersebut datangnya daripada satu ``kekuatan'' luar yang tidak dapat dipastikan hakikatnya.

Ilmu-ilmu seperti ini yang dinamakan sebagai ilmu kebatinan ataupun ilmu isim hakikatnya tidak dimaklumi umum, termasuk mereka yang mengamalkannya. Kerana itulah ia lebih dikenali sebagai ilmu kebatinan.

Walaupun demikian, apabila sesuatu ilmu itu melibatkan iman, ia perlu dipandang serius oleh semua orang. Amalan berkaitan dengan iman, ia penentu penerimaan amalan ibadat seseorang ketika hidup dan penentu sama ada seseorang itu akan menghuni syurga atau neraka apabila ia mati kelak.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum