AGAMA

Mingguan Malaysia 15 Mei 2001

Bayaran mengerjakan haji mungkin dinaikkan

SEREMBAN 14 Mei - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dijangka menaikkan kadar bayaran mengerjakan haji pada tahun depan ekoran kos pengangkutan serta penginapan yang naik mendadak di Arab Saudi.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Abdul Hamid Othman yang tidak menolak kemungkinan itu berkata, Tabung Haji sedang menjalankan kajian terperinci mengenainya.

Menurut beliau, pihaknya juga akan mengkaji semula bayaran subsidi berjumlah RM1,100 bagi setiap jemaah haji yang ditanggung oleh Tabung Haji seperti pada musim lalu, ekoran kenaikan kos penginapan dan makanan.

Pada musim lalu setiap jemaah haji dikenakan bayaran mengerjakan haji sebanyak RM8,585.

``Tabung Haji tidak lagi mampu untuk menanggung subsidi ini kerana perolehan yang berkurangan dan jemaah haji akan menanggung kos tersebut.

``Dengan ini kos mengerjakan haji pada tahun depan mungkin bertambah tetapi Tabung Haji memberi jaminan bahawa pertambahan itu (jika berlaku) tidak membebankan bakal jemaah haji,'' kata Dr. Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah 2000 dan pelancaran Skim Hadiah Galakan Sekolah-Sekolah Malaysia 2001 anjuran Tabung Haji, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid ZainalAbidin.

Pengerusi Tabung Haji itu menambah, pertambahan kos itu juga terpaksa dinaikkan kerana harga minyak kapal terbang turut meningkat.

Katanya, mulai tahun depan pihak berkuasa Bandar Raya Mekah dan Madinah menyediakan tempat tinggal jemaah haji yang lebih luas daripada 2.5 meter kepada tiga meter untuk meningkatkan keselesaan mereka.

Dengan pertambahan itu, kos rumah akan meningkat kerana setiap rumah akan menampung 750 jemaah berbanding 1,000 jemaah sebelum ini.

``Tabung Haji bukanlah mahu sangat kadar ini dinaikkan tetapi kosnya telah meningkat dan paling mendadak ialah (perbezaan) pertukaran mata wang ringgit berbanding mata wang rial Arab Saudi.

``Kalau dulu RM100 ditukar dapat 150 rial Arab Saudi tetapi sekarang tidak sampai 100 rial,'' jelasnya.

Dr. Abdul Hamid berharap semua pihak dapat memahami perkara itu.

Oleh: ZULKIFLI ABDULLAH

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum