AGAMA

Mingguan Malaysia 17 Mei 2001

Jenis-jenis patung halal

DEBAT
Oleh ASTORA JABAT
(astora@utusan.com.my)
Apakah hukum orang Islam memiliki patung bukan tujuan untuk menyembah, memuja dan menjadikan azimat, tetapi untuk hiasan, dijadikan mainan dan kegunaan-kegunaan lain?

Para ulama berbeza pandangan mengenai perkara ini kerana al-Quran dan hadis tidak memutuskan hukumnya secara jelas.

Sebagai contoh pada zaman Nabi Sulaiman a.s. dibenarkan kegiatan membuat dan memiliki patung, tetapi pada zaman nabi-nabi lain sebelum dan selepas itu diharamkan perkara itu termasuk pada zaman Nabi Nuh a.s. dan pada zaman Nabi Ibrahim a.s.

Sedangkan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. pula diharamkan patung untuk disembah dan dipuja, tetapi diharuskan patung mainan anak-anak.

Sebenarnya sejak zaman prasejarah yang dipanggil zaman paleolitik atau zaman batu lama kira-kira 13,000 tahun lagi manusia mula ada kaitan dengan patung.

Pada zaman itu manusia masih hidup secara nomad iaitu hidup berpindah- randah. Kegiatan utama mereka pada zaman itu ialah memburu binatang dan mencari sumber makanan. Mereka tinggal dalam gua yang berdekatan dengan sungai dan menggunakan alat yang diperbuat daripada batu dan tulang.

Manusia pada zaman berkenaan telah pandai menyatakan perasaan dan pengalaman hidupnya dalam bentuk membuat patung dan melukis. Malah patung dan gambar merupakan perantara untuk menyampai mesej secara catatan yang ada pada zaman yang belum lagi tercipta aksara atau huruf itu.

Patung yang dipahat dan gambar yang diukir oleh manusia pada zaman prasejarah itu sebenarnya yang memainkan peranan seperti yang dimainkan aksara untuk menulis pelbagai bahasa sekarang.

Malah daripada patung dan gambar itulah juga datang semua aksara yang digunakan untuk menulis semua bahasa itu.

Kini pun masih ada bahasa yang masih belum hilang ciri-ciri patung dan gambar seperti bahasa Cina.

Jadi ini bermaksud aksara Arab dan aksara Latin yang masing-masing digunakan dalam tulisan jawi dan tulisan rumi adalah berasal patung dan gambar.

Para ulama yang berbeza pandangan mengenai patung yang penulis merujuk kepada mereka dalam tulisan ini ialah ulama-ulama terkenal masa kini seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Gadul Haq Ali Gadul Haq, Syeikh Atia Saqr dan Dr. Mohammad Amarah.

Mana-mana pembaca yang ingin mendapatkan teks lengkap dalam bahasa Arab yang mengandungi pandangan semua ulama tersebut itu boleh menyatakan hasrat mereka melalui alamat e-mel penulis di atas.

Penulis memulakan dengan pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi. Seperti penulis pernah jelaskan minggu lepas dan dalam ruangan Bicara Agama 9 Mac lepas bahawa Dr. al-Qaradawi menganggap tidak boleh menghapuskan patung-patung agama bukan Islam dan patung-patung yang merupakan peninggalan bangsa-bangsa purba. Beliau juga tidak setuju dengan tindakan puak Taleban menghapuskan patung Buddha di Bamiyan, Afghanistan. Malah beliau sendiri pergi ke Afghanistan bersama Mufti Kerajaan Mesir, Dr. Nassr Farid Wassel dalam rombongan kerajaan Amiriah Arab Bersatu untuk memujuk puak Taleban supaya membatalkan hasrat untuk menghapuskan patung Buddha itu. Bagaimanapun, usaha beliau tidak berhasil kerana puak Taleban cepat-cepat mengambil tindakan memusnahkan patung Buddha itu sebelum Dr. al-Qaradawi tiba di bumi Afghanistan lagi.

Mengenai hukum orang Islam memiliki patung, al-Qaradawi berkata Islam mengharamkannya, sama ada patung manusia mahupun patung binatang. Pengharaman itu bertambah darjatnya jika patung itu pula merupakan makhluk yang disanjung tinggi seperti raja, nabi macam Nabi Isa a.s. di kalangan orang Kristian dan lembu di kalangan orang Hindu.

Pandangan Dr. al-Qaradawi berbeza dengan pandangan Dr. Mohamad Amarah dan tidak sepertimana dijelas dalam tulisan minggu lepas.

Cuma ada sejenis patung saja yang diharuskan oleh Islam memilikinya, menurut Dr. al-Qaradawi, iaitu patung mainan anak-anak.

Sudah tentu Dr. al-Qaradawi menghalalkan pemilikan patung mainan anak-anak kerana beliau merujuk kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang menceritakan bahawa isteri baginda yang masih kecil, Aisyah mempunyai kesukaan bermain patung.

Seorang lagi ulama yang dirujuk penulis ialah Bekas Syeikh al-Azhar, Syeikh Gadul Haq.

Syeikh Gadul Haq selain menghalalkan patung untuk pendidikan seperti patung mainan anak-anak macam yang diperjelaskan oleh Dr. al-Qaradawi, beliau juga menganggap harus bagi pa-tung separuh tubuh dan mudah rosak yang diperbuatkan daripada tepung.

Manakala Syeikh Atia Saqr pula dalam fatwanya berkata, bukan saja patung mainan anak-anak, patung cepat rosak dan patung separuh badan, tetapi patung yang tiada salah satu anggota pentingnya juga boleh dimiliki orang Islam, tetapi hukumnya adalah makruh.

Apa yang dianggap patung tiada anggota penting itu ialah jika dikiaskan dengan ketiadaan anggota tersebut pada manusia menyebabkan dia tidak boleh hidup.

Ini bererti dianggap haram patung yang tidak berkaki atau tidak bertangan kerana manusia jika tiada anggota itu masih boleh hidup, tetapi dianggap boleh memiliki patung yang tidak berkepala dan tidak bertubuh.

Bagaimanapun, Imam Malik menganggap orang Islam harus memiliki patung yang lengkap seperti seorang manusia, tetapi dengan syarat ia berlubang walaupun sangat kecil, kata Syeikh Saqr.

Cuma Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad mengenakan syarat patung lengkap itu mesti mempunyai lubang besar baru boleh dimiliki.

Ini termasuk juga patung mannequin yang digunakan untuk mempamerkan pakaian di butik-butik dan gedung-gedung pakaian.

Sesetengah ulama Malaysia mengharamkan patung jenis mannequin ini.

Begitu juga Syeikh Saqr menyebut sesetengah ulama berkata patung yang didirikan untuk mengingati orang-orang ternama seperti ilmuwan, ulama dan pemimpin negara adalah dibolehkan walaupun hukumnya makruh.

Tugu negara yang diharam oleh beberapa ulama Malaysia adalah tergolong daripada yang disebut dalam fatwa Syeikh Saqr ini.

Ulama terakhir yang penulis merujuk di sini ialah Dr. Mohammad Amarah. Dr. Amarah dalam fatwanya berkata bahawa hukum syarak tentang hak pemilikan patung adalah merujuk kepada al-Quran di mana wahyu Allah mempunyai beberapa pendirian.

Pendirian pertama, patung dianggap termasuk daripada nikmat Allah yang dikurniakan kepada Nabi Sulaiman. Patung pada zaman Nabi Sulaiman tidak disembah dan tidak dianggap berbahaya terhadap akidah tauhid.

Allah berfirman: Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tungkunya. (Setelah itu Kami perintahkan): ``Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!'' Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur. (Saba'34: 12-13)

Pendirian kedua, patung yang dianggap berhala yang disembah pada zaman Nabi Ibrahim a.s. dan zaman nabi-nabi lain. Pada zamam-zaman ini patung dimusnahkan seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim. Perkara yang sama berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Oleh itu kata Dr. Amarah, hukum mengenai patung adalah dilihat pada matlamatnya, apakah ia hanya merupakan hiasan yang termasuk daripada nikmat Allah ataupun ia merupakan perantara Maha Berkuasa yang disembah?

Para sahabat Rasulullah melaksanakan matlamat yang sama apabila mereka menghapuskan patung-patung yang disembah dan meninggalkan patung-patung yang tidak disembah di negeri-negeri yang mereka buka seperti Mesir, Afghanistan dan lain-lain.

Dr. Amarah menyebut satu contoh ulama dari Mazhab Maliki merupakan seorang yang pandai memahat patung untuk kegunaan raja. Ulama berkenaan ialah Imam Ahmad Idris al-Qarafi. Beliau mencipta patung yang menggunakan teknik pembakaran lilin untuk menggerakkan raja supaya bangun ketika tiba waktu azan subuh.

Kesimpulannya, kata Dr. Amarah ulama bersepakat secara ijmak bahawa patung dianggap halal jika ada faedah dan dianggap haram jika sebaliknya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum