AGAMA

Mingguan Malaysia 18 Mei 2001

ISA menurut pandangan Islam

Rencana PilihanOleh DUSUKI AHMAD
Orang bertanya: Apakah rahsia Malaysia sehingga berjaya mencapai tahap negara membangun yang paling maju. Rakyatnya gembira dan riang, negara aman makmur.

Tidak ada perbalahan besar berlaku di kalangan penduduk yang berbilang kaum, budaya dan agama. Semua rakyat sayangkan negaranya ini. Mereka mahu hidup di bumi ini dan kalau boleh, mati pun mahu di sini.

Tidak kedengaran rakyat Malaysia berhijrah ke Indonesia, Filipina, Thailand, Bangladesh, India atau China kerana mencari sesuap nasi.

Sebaliknya, rakyat negara-negara itu pula berebut-rebut mahu berhijrah ke Malaysia. Sehingga hari ini, lebih dua juta rakyat Indonesia berada di Malaysia.

Malaysia negara kecil saja. Bumi dan udaranya sama dengan Indonesia, Thailand dan Filipina. Fizikal orangnya pun serupa. Bahkan dari segi hasil bumi, negara-negara tersebut lebih kaya dari Malaysia. Tetapi apa rahsianya Malaysia menjadi destinasi pilihan rakyat asing mencari rezeki?

Jawabnya pendek saja, iaitu kami di Malaysia mempunyai ISA. Akta inilah yang menyelamatkan negara daripada tersungkur ke lembah pergolakan yang ditimbulkan oleh anasir-anasir yang ingin mencetuskan huru-hara di kalangan rakyat.

Dalam sejarah manusia memang ada sebilangan kecil daripada mereka yang kerjanya ingin menyulitkan orang ramai. Pada zaman Nabi misalnya, ada Abu Jahal dan Abu Lahab. Pada zaman Khalifah Abu Bakar lahir golongan yang enggan membayar zakat. Golongan begini jika dibiarkan, bercambah dan melata tanpa diambil tindakan hanya huru-hara dan porak peranda yang akan berlaku.

Hari ini ISA terus menerus dikecam oleh pemimpin-pemimpin parti pembangkang dan beberapa pemimpin badan-badan bukan kerajaan (NGO). Mereka mendakwa ISA tidak selaras dengan konsep keadilan, bercanggah dengan amalan demokrasi serta di luar kehendak rakyat ramai.

Kecaman daripada pihak parti pembangkang memang perkara biasa, kerana kerja pembangkang adalah membangkang. Mereka tidak pernah ikhlas dengan kerajaan dalam semua perkara dan pada semua keadaan. Matlamat mereka bukan untuk membela sesuatu, tetapi untuk menimbulkan fitnah kebencian dan kemarahan orang ramai kepada pimpinan kerajaan yang ada, di samping mencari populariti dengan memperalatkan isu tersebut.

NGO juga mempunyai agenda yang serupa jika suara dan tarian mereka senada dan seirama dengan pembangkang. Apa ertinya dakwaan tidak berkepentingan politik dan ingin menegak keadilan jika semua tingkah laku buruk pembangkang disembunyikan atau ditafsirnya baik-baik belaka.

Sebenarnya majoriti rakyat merasakan ISA masih penting. Walaupun diwartakan sejak tahun 1960 lagi, tetapi ia masih diperlukan bagi menjaga keselamatan negara. Keperluan ISA bukan menghukum, tetapi mencegah, iaitu pencegahan untuk menjaga keselamatan 22 juta rakyat yang ingin hidup aman dan damai. Mereka mahu hidup selesa dan gembira.

Apabila ada orang tertentu yang diketahui dan disahkan oleh pihak keselamatan melalui perhatian dan penyiasatan mereka sedang merancang untuk menimbulkan fitnah di kalangan orang ramai, bertindak dengan cara memudaratkan keselamatan negara, maka ketika inilah ISA berperanan untuk mencegahnya bagi menjaga kepentingan rakyat.

Menurut Islam pencegahan adalah lebih utama daripada pengubatan. Walaupun pencegahan itu berbentuk fitnah, tetapi diharuskan bagi tujuan untuk menyelesaikan fitnah yang lebih besar dan lebih bahaya.

Fitnah pencegahan hanya menangkap beberapa orang sahaja, tetapi fitnah yang hendak diselesaikan boleh membawa kepada keruntuhan negara dan kehancuran bangsa.

Keperluan ISA ini adalah kerana masih terdapat golongan tertentu berterusan menanam bibit-bibit benci dan marah sehingga sebilangan rakyat tidak lagi menghargai segala kebaikan dan budi yang ditabur oleh kerajaan.

Golongan ini juga melakukan kegiatan-kegiatan di luar perlembagaan dan undang-undang.

Mereka mahu peralihan kuasa tidak melalui pilihan raya, tetapi melalui keganasan yang disebut kuasa rakyat seperti yang berlaku di Indonesia dan Filipina.

Mereka mempengaruhi rakyat supaya membudayakan demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram sebagai cara untuk menggulingkan kerajaan.

Mereka berusaha mewujudkan ketegangan kaum melalui isu agama dan perkauman.

Mereka menyebar berita-berita palsu yang menggemparkan.

Mereka melakukan tindakan-tindakan ganas seperti mengancam, mengugut dan menakutkan orang ramai.

Mereka mencipta cerita-cerita bohong berhubung dengan kepimpinan negara.

Sejak merdeka, ISA telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara. Akta ini telah berjaya menyelesaikan keganasan komunis, ancaman antinasional, gerakan anti-establishment, penyalahgunaan agama, penyebaran ajaran sesat, dan lain-lain.

Jika tidak kerana ISA, warna Malaysia tidak seperti apa yang kita lihat dan nikmati hari ini. Melalui ISA pihak polis dengan cekap dan penuh bijaksana pada peringkat awal lagi telah berjaya mencegah dan menghalang segala bencana yang diyakini akan berlaku terhadap rakyat dan negara.

Sesungguhnya majoriti rakyat berterima kasih kepada ISA kerana berjaya mengekalkan keamanan negara. Hanya minoriti yang berkepentingan saja yang menentangnya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada dalam kerajaan selama 16 tahun dahulu pun tidak pernah menyuarakan tentang penghapusan akta ISA ini. Begitu juga pemimpin-pemimpin Pas ketika dalam kerajaan BN dahulu.

Kerajaan akan dituduh zalim dan tidak bertanggungjawab sekiranya tindakan yang diambil selepas berlaku kacau-bilau dan huru-hara atau setelah terjadi pembunuhan dan sebagainya, seperti peristiwa Memali dan Ma'unah.

Isu penahanan aktivis reformasi yang dilakukan mulai 10 April baru-baru ini telah memberi kesan yang baik. Hari ini tidak banyak kedengaran seruan-seruan yang mengajak orang ramai berkumpul dan berdemonstrasi. Tidak ada lagi risalah-risalah yang ditabur bagi tujuan itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum