AGAMA

Mingguan Malaysia 20 Mei 2001

Lupakan pertelingkahan kita

Oleh ABD. MANAF AHMAD
SEJARAH telah menyaksikan bahawa sepanjang suku abad pertama kita merdeka, terdapat beberapa orang pemimpin Islam seperti Ahmad Fuad, Dr. Burhanuddin Hilmi, Zulkifli Mohamad, Datuk Asri Muda, Ustaz Hasan Adli, Othman Abdullah dan lain-lain yang telah berjuang dalam sebuah pergerakan Islam.

Kesemuanya bersuara lantang menuntut supaya kedudukan orang Melayu yang daif diperkasakan. Orang Melayu perlu diberi insentif supaya dapat bersaing dengan mereka yang berhijrah ke negara ini tetapi maju dalam segala bidang. Kita juga tidak inginkan lebih daripada itu atau merampas hak sesiapa kerana Islam melarang kita berbuat demikian.

Pada masa itu para pemimpin UMNO mendapat sokongan padu daripada pemimpin-pemimpin pergerakan tersebut untuk meletakkan orang Melayu di tempat yang sewajarnya.

(Para pemimpin pergerakan Islam itu sama-sama mengemukakan memorandum yang berasingan kepada Suruhanjaya Reid, tetapi hampir sama kandungannya mengenai isu memartabatkan bangsa Melayu untuk dijadikan asas Perlembagaan Malaysia.) Mereka lupa perbezaan politik, malah mereka bersatu suara untuk membela nasib dan masa depan orang Melayu.

Dalam beberapa keadaan, pemimpin-pemimpin pergerakan Islam pada masa itu bersuara lebih lantang daripada pemimpin UMNO sendiri yang kelihatan seperti berlembut kerana mahu menghidupkan semangat kerjasama antara kaum dalam gagasan Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional. Gagasan itu penting demi kestabilan politik negara.

Sekarang, keadaan seumpama itu telah menjadi sebaliknya kerana pemimpin-pemimpin pergerakan Islam kini tidak lagi berminat memperjuangkan nasib orang Melayu kerana mereka mendakwa bahawa perjuangan seumpama itu sebagai asabiah (perkauman) dan bertentangan dengan Islam.

Mereka telah mengabaikan perjuangan bangsa Melayu apabila mengadakan pakatan dengan DAP yang anti hak istimewa orang Melayu, parti Keadilan yang menuntut pembebasan Anwar, Parti Rakyat Malaysia berfahaman sosialis dan lain-lain lagi yang mempunyai pandangan politik yang berbeza-beza.

Mereka berpendapat, isu hak istimewa orang Melayu tidak relevan lagi. Mereka terpengaruh dengan pemimpin bukan Islam yang mahu melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar mengamalkan demokrasi menurut fahaman mereka.

Kemunculan pemimpin baru mereka dari kalangan yang tidak berlatarbelakangkan agama telah menyemarakkan lagi perjuangan isu hak asasi manusia dengan alasan hendak menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan demokrasi ala Barat. Mereka tidak lagi berminat memperjuangkan nasib orang Melayu. Mereka merancang dan mempromosi isu hak sama rata kepada semua rakyat jelata di negara ini. Jika mereka memerintah, tidak ada lagi hak istimewa akan diberi kepada orang Melayu.

Dari kaca mata politik dan strategi untuk menang dalam pilihan raya, memanglah mereka sangat bijak dan mungkin berjaya. Mereka boleh menarik pengundi dari pelbagai kaum melalui isu hudud di kalangan pengundi Islam dan isu hak sama rata di kalangan pengundi bukan Islam.

Inilah yang dinamakan mainan politik. Mereka lakukan ini semua kerana helah politik untuk memancing undi. Tidak dapat dinafikan bahawa semua parti politik inginkan kemenangan supaya dapat berkuasa dan memerintah, tetapi apa erti kemenangan dan kuasa sekiranya kampung tergadai.

Cetusan daripada suasana politik yang sedemikian telah mendorong pemimpin Melayu yang sudah lama berdiam diri seperti Tan Sri Ainuddin Wahid, Mohd. Noor Azam dan lain-lain, bingkas bangun mengejutkan orang Melayu yang dibuai dengan isu remeh-temeh. Mereka mula menggerakkan semangat orang Melayu supaya kembali kepada perjuangan asal mereka.

Tentunya kita sedang menunggu untuk melihat apakah rancangan mereka dalam era globalisasi dengan dunia tanpa sempadan yang akan mengetepikan fahaman agama. Era globalisasi yang dirancang itu nanti akan mendorong ekonomi negara dikuasai oleh orang asing. Pada masa itu media elektronik kita tidak lagi dapat dikawal.

Dalam keadaan sedemikian rupa, apakah rancangan mereka untuk membentuk sebuah negara yang aman dan makmur sekiranya mereka berkuasa dalam pilihan raya yang akan datang?

Logiknya rancangan itu harus dikemukakan kepada pengundi di dalam pilihan raya supaya mereka dapat memilih yang terbaik untuk mereka.

Sementara itu, lupakan dahulu isu hudud yang dijamin oleh Allah dan isu hak istimewa orang Melayu yang dijamin oleh perlembagaan kita. Yang amat penting bagi umat Islam sekarang ialah membekalkan mereka dengan ilmu pengetahuan dan teknologi canggih supaya mereka dapat bersaing dengan sesiapa sahaja dan mendapat kejayaan di mana-mana pun sekalipun di dalam perut ikan. Tidak ada maknanya kita mencipta sebuah negara maju tetapi umat Islam tidak boleh bersaing kerana hidup di dalam kejahilan.

Jeritlah nama Islam 1,000 kali pun, nasib kita tidak akan berubah kerana al-Quran telah menegaskan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi kaum itu tidak mengubah nasibnya sendiri.

Usaha untuk menjamin kehidupan yang berjaya ialah membekalkan umat Islam dengan ilmu pengetahuan yang tinggi. Semua ini tidak akan tercapai sekiranya negara kita tidak stabil. Saksikanlah negara-negara Islam yang kucar-kacir di dunia ini.

Kita harus mengelak daripada menjadi negara yang meminta-minta kerana Islam mengajar kita bahawa tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima.

Ini adalah satu pandangan jujur untuk kita renung dan fikirkan bersama.

¥ Abd. Manaf Haji Ahmad adalah Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum