AGAMA

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Pendapat Hassan Ali berbahaya

Saudara Pengarang,
SAYA ingin menyatakan tidak setuju dengan tindakan Datuk Hassan Ali yang menyamakan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan Mustafa Kamal Attaturk.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda bahawa ``umat Islam yang terbaik ialah umat Islam di zamanku.'' Kenapakah umat Islam di masa Nabi adalah yang terbaik? Adakah ilmu agama mereka yang tinggi?

Kebanyakan mereka hanya dapat menghafal satu atau dua ayat lazim sahaja, dan ada yang tidak boleh menghafal satu ayat pun. Terpaksalah Rasulullah s.a.w mengajarkan bacaan lain yang mudah dihafal untuk dibaca di dalam solat.

Pengetahuan agama mereka adalah minimum tetapi memadai. Sungguhpun begitu mereka mengamalkan tatasusila kehidupan orang Islam yang sebenarnya. Mereka berkasih sayang dan bertolong-tolongan sesama Islam. Gembira dengan kejayaan saudara seagama. Dan bersedih dengan kegagalan dan kesusahan mereka. Mereka tidak menyakiti sesama Islam, baik dengan perbuatan ataupun perkataan.

Berbeza dengan kehidupan orang Islam sekarang. Jika dibandingkan dengan umat zaman Nabi, ibarat langit dengan bumi.

Sesetengah mereka mempunyai ilmu agama yang tinggi dan ada yang memiliki pelbagai ijazah termasuk Ph.D yang membawa gelaran doktor.

Mereka mengaku ulama pewaris nabi tetapi amal dan perbuatan mereka tidak menepati apa yang diajar oleh Rasulullah. Mereka memaki hamun sesama Islam dan ada yang mengkafirkan orang Islam lain sewenang-wenangnya.

Dr. Mahathir telah menasihatkan penuntut-penuntut Islam yang pintar supaya meneruskan pengajian dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi kerana ini juga penting demi kemajuan dan kekuatan Islam.

Kerajaan banyak mewujudkan sekolah menengah agama berasrama penuh yang mengutamakan pelajaran sains dengan harapan penuntut-penuntut sekolah ini akan menjadi ahli profesional dalam bidang sains dan teknologi dan dalam masa yang sama menjadi orang Islam yang dinamik.

Adalah tidak adil menyamakan Dr. Mahathir dengan Mustafa Kamal Attaturk, orang yang membawa orang Turki kepada kehidupan Barat secara total.

Dr. Mahathir telah memerah otak untuk melahirkan pelbagai idea baru untuk mencetuskan semula kebangkitan ketamadunan Islam telah lama tertimbus. Beliau cuba mengadun ajaran Islam dengan kehidupan moden masa kini.

Beliau mendedahkan bahawa orang-orang Islam yang bersikap negatif, bukannya ajaran agama yang diredhai Allah itu. Ini kerana orang-orang Islam hanya tahu mengkritik tetapi tidak berbuat sesuatu yang positif.

Dr. Mahathir juga banyak mengkritik cara kehidupan orang Barat yang tidak memberi faedah dan boleh dijadikan ikutan.

Oleh itu, saya beranggapan bahawa pendapat Hassan Ali adalah berbahaya. Sekiranya masyarakat umum Islam menerima pendapat beliau, tentu mereka akan menolak mentah-mentah idea Dr. Mahathir kerana minda jumud mereka tetap menganggap apa sahaja dari Dr. Mahathir adalah sama dengan Mustafa Kamal Attaturk.

Sebenarnya Hassan Ali yang boleh dianggap `orang Islam yang merugikan Islam' kerana pendapat beliau boleh menyebabkan orang Islam tidak mahu menerima idea dan cara baru. Ini menyebabkan orang Islam akan menjadi mundur dan bertambah lemah. - ORANG AMANU, Malim Nawar.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum