AGAMA

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Perjelas piawaian perniagaan Islam

Oleh: AZMAN ANUAR
SATU cabaran kepada mana-mana pihak yang mengaku pakar bidang agama Islam di negara ini -- dapatkah mereka memberi definisi pengurusan perniagaan Islam yang tepat bagi dijadikan panduan dan amalan masyarakat kita pada masa kini dan akan datang?

Jika ada tokoh korporat, ahli-ahli agama, ahli akademik, ketua pegawai eksekutif, pengurus besar, pengarah urusan, pengarah, eksekutif, ketua jabatan, serta individu yang berminat ingin berbalah dan berbincang tentang perniagaan Islam, mereka dijemput hadir ke Persidangan dan Ekspo Pengurusan Perniagaan Islam 2001 pada 25-27 Mei ini.

Majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) adalah anjuran Yayasan Nurul Yaqeen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Milenium Ark (M) Sdn. Bhd. dan majalah MASSA terbitan Kumpulan Utusan. Ekspo perniagaan Islam akan berlangsung mulai hari ini dan diikuti persidangan pada esok dan lusa.

Pada masa kini boleh dikatakan semua pihak masih kabur dengan konsep perniagaan Islam. Apa yang kita fahami hanyalah secara umum iaitu konsep halal dan haram sahaja. Apakah kita benar-benar faham tentang halal dan haram dalam perniagaan? Barangan elektronik dan alat telekomunikasi kebanyakannya bukan berkonsepkan Islam atau buatan orang Islam, maka apakah hukum membeli dan menjual barangan seumpama ini?

Halal dan haram adalah tatacara bagi memastikan barangan diperbuat daripada bahan yang suci. Pada zaman Rasulullah s.a.w. juga ada barangan yang bukan daripada Islam. Tetapi Baginda boleh juga berniaga. Cuma yang membeza perniagaan Islam dengan bukan Islam ialah akad jual belinya.

Dalam hal ini, kenapa banyak pihak mengatakan pembelian VCD cetak rompak dikatakan haram? Dengan kata mudah, ini kerana kandungan bahan dalam VCD itu diciplak tanpa kebenaran atau mencuri. Dan jika kita membelinya kita bersubahat dan ini dikatakan haram. Malah banyak kes penyelewengan, penipuan dan rasuah berlaku dalam perniagaan, meskipun mereka terdiri daripada orang Islam.

Perkara seumpama ini adalah masih kabur bagi umat Islam di Malaysia. Melalui persidangan dua hari ini, ia merupakan platform bagi mereka yang berminat dalam topik perniagaan Islam untuk duduk berbincang dan mengeluarkan idea serta cadangan bagi mencari definisi dan kaedah-kaedah yang paling konsisten dalam urusan perniagaan Islam.

Banyak pihak yang mengakui diri sebagai aktivis atau pejuang pentadbiran Islam, tidak seharusnya hanya pandai bercakap di luar gelanggang atau menulis di atas kertas sahaja. Mereka harus bersama-sama menyertai persidangan ini bagi menyumbangkan idea supaya satu garis panduan dapat diserah kepada pihak kerajaan. Tanpa penyertaan, penghayatan dan kesedaran yang lahir daripada jiwa setiap peniaga, aktivis gerakan ekonomi Islam, maka pelaksanaan kegiatan perniagaan Islam akan terus dihimpit dengan pelbagai polemik dan masalah.

Usah kita menghurai tentang pentadbiran negara Islam dalam masyarakat majmuk, konsep pengurusan ekonomi pun kita masih teraba-raba. Ada pihak tertentu yang mengatakan kita perlu menjadi negara Islam, tapi sebenarnya, apakah selama ini kita bukan negara Islam? Apakah pula pengurusan Islam, apakah kita membeli barangan di pasar raya bukan Melayu itu akan menyebabkan kita tidak Islam? Sedangkan urusan jual beli secara sah itu adalah halal.

Dalam perniagaan terdapat perkara yang dilarang atau jual beli yang diharamkan dalam Islam. Antaranya Islam mengharamkan umatnya menjual barangan yang sememangnya diharamkan seperti arak, babi dan bangkai. Selain daripada halal dan haram apa lagi yang kita faham.

Melalui persidangan inilah pihak penganjur mengharap para peserta bukan sekadar duduk mendengar tetapi turut menyumbangkan idea, menganalisis perbezaaan amalan, konsep dan peri laku perniagaan di antara konsep yang diperkenalkan oleh Barat dengan konsep Islam.

Menurut Pengerusi Penganjur Persidangan dan Ekspo Pengurusan Perniagaan Islam 2001, Dr. Abd. Razak Omar, setakat ini sambutan peserta masih diperlukan bagi merancakkan perbincangan agar resolusi yang bakal dikemukakan kepada kerajaan adalah padat dan boleh dijadikan rujukan oleh kerajaan dalam membuat dasar-dasar tentang pengurusan perniagaan Islam.

Di sini, tugas untuk mencari satu resolusi pembentukan dasar bagi pelaksanaan perniagaan secara Islam merupakan tanggungjawab yang berat. Idea dan penyertaan seramai mungkin golongan yang mempunyai idea pengurusan perniagaan Islam amat diperlukan. Yang jelas, selagi tiada kesedaran dan penyertaan, selagi itulah kerajaan akan menemui jalan buntu melaksanakan pengurusan perniagaan Islam. Apatah lagi etika perniagaan Islam.

Dalam perkembangan ekonomi tempatan dan global, umat Islam harus sedar bahawa dengan menambahkan ilmu pengetahuan bagi memajukan perniagaan dan perancangan yang mantap mungkin mampu membantu seseorang menguasai pasaran. Tetapi strategi atau budaya menguasai ilmu dan pasaran inilah yang kurang ada pada orang Islam.

Menurut Dr. Razak, idea untuk mengadakan persidangan ini tercetus selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercadang mewujudkan kod etika perniagaan yang sihat pada bulan Mac tahun lalu.

Yang menarik, pihak kementerian itu juga bercadang untuk memperkenalkan kod etika perniagaan Islam.

Sebenarnya banyak pihak menyedari maksud hadis Rasullullah s.a.w. yang menyatakan sembilan daripada 10 pintu rezeki datangnya daripada perniagaan. Ini menggambarkan penglibatan dalam perniagaan bukan sahaja mulia di sisi agama tetapi juga penting dari segi penyusunan masyarakat. Persoalannya apakah dasar yang boleh dijadikan panduan bagi melaksanakan perniagaan secara Islam?

Jawapan persoalan ini mungkin ada dalam persidangan ini nanti. Majlis persidangan dan ekspo ini dan pelancaran buku Etika Perniagaan akan dilakukan oleh Muhyiddin.

Dalam persidangan ini, pihak penganjur telah menjemput 18 ahli panel untuk membentang kertas kerja masing-masing. Pada hari pertama 10 kertas kerja akan dibentangkan - lima untuk Simposium I yang bertemakan Konsep dan Pendefinisian Perniagaan Islam, dan lima lagi untuk Simposium II (Aplikasi dan Implementasi).

Pada hari kedua, lima lagi kertas kerja dibentangkan dalam Simposium III bertemakan Model dan Kes Studi). Dalam sesi ini kertas kerja daripada Prof. Dr. Syukri Salleh bertajuk Kepelbagaian Pendekatan Perniagaan Islam di Malaysia: Satu Perbandingan dijangka menarik perhatian peserta.

Selain itu, antara topik yang dijangka menarik ialah Pendefinisian Konsep dan Amalan Perniagaan: Antara Sekular dan Islam oleh Prof. Madya Dr. Mustafa Daud; Garis Panduan Tingkah Laku Etika Islam dalam Perniagaan (Dr. Syed Othman Al-Habshi); Peranan dan Tanggungjawab Ahli Perniagaan, Masyarakat dan Kerajaan Dalam Mengaplikasikan Perniagaan Secara Islam (Dr. Abd. Razak Omar dan Ustaz Omar Johari) dan Sistem Perbankan Islam: Implementasi dan Cabaran (Ahmad Zaini Othman). Di samping itu akan berlangsung Forum bertajuk Perniagaan Secara Islam: Peranan dan Cabaran dalam Alaf ke-21.

Ekspo perniagaan Islam 2001 yang berlangsung dari 25 hingga 28 Mei di ruang legar Putra, PWTC pula bertujuan memperkenalkan perkhidmatan dan barangan keluaran pengusaha-pengusaha dari negara-negara Islam. Dengan adanya ekspo sebegini ia dapat menyediakan ruang untuk syarikat-syarikat milik peniaga Islam mempromosikan barangan dan perkhidmatan mereka di samping membuka peluang mencari rakan niaga baru sesama Islam. Penyertaan pemamer amat baik apabila hamper semua ruang pameran sudah ditempah.

Sesiapa yang berminat boleh menghubungi urus setia persidangan di Yayasan Nurul Yaqeen, hubungi talian 03-41422902, 41425392, 41425397 atau faksimile 03-41423713.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum