Make your own free website on Tripod.com

AGAMA

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Bina hubungan positif Islam-Kristian

Oleh: MOHD SHAUKI ABD MAJID
POPE JOHN PAUL II ketika mengunjungi Masjid Ummayah di Damsyik, Syria baru-baru ini sempat bertafakur sejenak di hadapan makam Nabi Yahya a.s. (dia digelar Saint John The Baptist di kalangan orang Kristian).

Beliau kemudian menggesa agar orang-orang Islam dan Kristian saling bermaaf-maafan pada setiap masa terutamanya ketika mereka berbalah di antara satu sama lain dan perbalahan tidak harus diperbesarkan hingga menjadi konflik yang berpanjangan.

Pope John Paul II berkata sudah sampai masanya umat Islam dan Kristian sama-sama membangun dialog yang konstruktif dan berusaha ke arah saling memahami dan menghormati hak masing-masing.

Kunjungan Pope John Paul II di Syria mengingati kembali sejarah tragedi pembunuhan dan pembakaran gereja minoriti Kristian selama lapan hari di Damsyik pada tahun 1860. Dalam suasana rusuhan yang tidak terkawal itu seorang ulama Syarif Abdul Kadir Al-Jazairi tampil penuh karisma melindungi umat Kristian.

Menurut Laila Fawaz dalam bukunya An Occasion for War; Civil Conflict in Lebanon and Damascus in 1860 (Suatu Kejadian Perang; Konflik Sivil di Lebanon dan Damsyik), umat Kristian di ambang kebinasaan kalau bukan kerana Syarif Abdul Kadir Al-Jazairi melindungi mereka untuk mempertahankan nama baik agama Islam.

Peristiwa Damsyik dikatakan bukan berpunca kerana fanatisme keagamaan tetapi kerana jurang perbezaan hidup antara si kaya dan si miskin yang begitu ketara sekali antara Islam dan Kristian.

Sejarah Islam juga mencatat seperti yang dinyatakan dalam sirah Ibnu Ishaq bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah dikunjungi serombongan delegasi Kristian Najran (penganut Katholik) yang dipimpin oleh Abd. Al-Masih Al-Ayham berserta seorang paderi yang bernama Abu Harith bin Alqama. Nabi dikatakan telah mengizinkan mereka melakukan upacara sembahyang mengikut kepercayaan mereka di Masjid Nabawi.

Sikap bersahabat dengan Kristian (Nasrani) juga ditunjukkan melalui penerimaan dan perlindungan yang diberikan oleh penguasa Habsyah ketika umat Islam hijrah ke daerahnya dari penganiayaan kaum musyrikin Mekah.

Demikian juga ketika Rasulullah s.a.w mengirimkan surat dakwah kepada pemimpin Nasrani (di luar Semenanjung Arab) seperti Muqauqis dan Heraclius, walaupun tidak mengikut seruan Rasul, tetapi mereka menghormati utusan Nabi. Bahkan Muqauqis sendiri mengirim hadiah kepada Rasul yang juga diterima dengan baik oleh Rasulullah s.a.w. Oleh kerana sikap orang Nasrani yang lebih bersahabat terhadap umat Islam, maka umat Islam pun memperlihatkan hal yang serupa ke atas Kristian dibandingkan dengan orang Yahudi pada peringkat awal perkembangan Islam.

M. Quraish Shihab dalam buku Wawasan al-Quran (Mizan, Bandung 1966) menyatakan: ``Para pendeta ketika itu relatif berhasil menanamkan ajaran moral yang bersumber dari ajaran Nabi Isa a.s. sedang para rahib yang mencerminkan sikap zuhud (menjauhkan diri dari kenikmatan duniawi dengan menumpukan kepada ibadah), berhasil pula menunjukkan contoh kehidupan yang baik. Keberhasilan itu didukung pula oleh tidak adanya kekuatan sosial politik dari kalangan mereka di Mekah dan Madinah, sehingga tidak ada faktor yang membawa kepada pergeseran antara kaum Muslim dengan mereka.''

Dalam satu firman Allah yang bermaksud: Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. (surah al-Maidah ayat 8).

Ayat ini bertujuan memperingatkan umat Islam menahan diri agar tidak menekan apa lagi menindas umat agama lain. Islam dengan jelas mengutuk perbuatan-perbuatan memusnahkan rumah-rumah ibadat.

Montgomery Watt tanpa ragu menulis dalam bukunya Prophet and Statesman (Nabi dan Negarawan): ``Saya menganggap Muhammad adalah benar-benar seorang nabi dan saya berpendapat bahawa kita (umat Kristian), harus mengakui hal ini berdasarkan prinsip agama Kristian yang menyatakan bahawa `Dari buahnya engkau akan mengetahui benar atau tidaknya sesuatu usaha'. Ini disebabkan sepanjang masa, Islam telah melahirkan banyak orang yang lurus dan suci.

Kegagalan dalam mengembangkan sikap toleransi seperti yang dituntut oleh agama akan membangkitkan sayap radikal Muslim atau Kristian.

Sejauh mana pula kemampuan umat Islam untuk menanamkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai prinsip al-Quran tentang pluralisme keagamaan secara umum dan sikap yang positif terhadap agama Kristian.

*MOHD SHAUKI ABD MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum