AGAMA

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Tolak kejahatan secara terbaik

Oleh: ASTORA JABAT (astora@utusan.com.my)
Petang semalam ketika sedang menggariskan bentuk dan kandungan rencana mengenai UMNO selepas pemilihan bahagian untuk disiarkan dalam ruangan ini, komputer penulis mengeluarkan isyarat memberitahu terdapat banyak e-mel baru yang belum dibaca dalam kotak e-mel. Lantas penulis pun membuka kotak e-mel dan membaca semua e-mel yang ada di dalamnya.

Salah satu e-mel itu dikirim oleh Mohd Azam Ahmad (md-azam@tm. net.my) yang baru penulis mengenali beliau minggu lepas.

Beliau mengirim sebuah rencana dan kebetulannya rencana berkenaan pula hampir sama bentuk dan kandungan yang digaris oleh penulis seolah-olah beliau mengetahui apa yang ada dalam kepala penulis.

Kerana tidak ada ruang dan rencana Mohd Azam itu pula perlu disiarkan dengan segera, maka penulis pun menyiarkan rencana beliau dalam ruangan ini.

Mohd Azam menulis, pertandingan UMNO bahagian telah pun berlalu. Namun begitu, di sebalik pertandingan itu ada cerita yang sedap didengar dan ada cerita yang tak sedap didengar.

Cerita yang paling hangat ialah cerita tentang penggantungan beberapa calon bagi jawatan tertentu dan penolakan rayuan. Hal ini juga membawa kepada ada yang ingin menarik diri daripada UMNO.

Begitu juga ada yang berhasrat berehat selepas kekalahan kerana bosan dengan permainan politik.

Begitulah senario yang berlaku berhubung pemilihan UMNO bahagian.

Walau apa pun kenyataan yang didengar, ahli UMNO perlu ingat kembali dengan kata-kata bahawa ahli UMNO kini matang pemikiran. Sudah tentu tahap kematangan ini agak lebih tinggi di kalangan mereka yang bertanding kerana jika mereka kurang matang sudah tentu mereka tidak berani bertanding.

Oleh itu mengapakah perlu ada kenyataan untuk menarik diri atau ingin berehat selepas mengalami peristiwa pahit akibat bertanding. Sepatutnya, sebelum adanya kenyataan-kenyataan seperti itu haruslah berfikir dahulu sebelum bertanding .

Hayatilah pesan datuk nenek terlebih dahulu, iaitu kalau tak berani dilambung ombak jangan membina rumah di tepi pantai.

Memang diakui wujudnya permainan politik yang berbagai-bagai rupa dalam pemilihan UMNO di peringkat bahagian. Lantaran itu, timbullah rasa tak puas hati, kecewa atau sakit hati.

Namun begitu, janganlah lupa akan perjuangan asal kita, iaitu perjuangan suci untuk agama, bangsa dan negara.

Sebenarnya, yang kalah akibat permainan politik bukannya kalah tetapi mereka menang, iaitu mereka menang dalam menjunjung sebuah perjuangan suci yang dipusakai daripada nenek moyang kita dahulu. Ini lebih bermakna berbanding dengan menang menerusi permainan politik yang tidak bermoral itu.

Sesungguhnya menang menerusi permainan politik kotor akan membawa rasa penyesalan dalam diri apabila saat-saat kematian nanti. Malah, mereka yang menang menerusi permainan politik yang tidak bermoral itu akan terlihat akhlaknya pada suatu hari nanti kerana Allah tidak akan membiarkan perbuatan buruk itu terus tersembunyi. Oleh demikian, mereka yang berkecimpung dalam dunia politik secara ikhlas, jujur dan luhur pada hari ini harus banyak bersabar dengan kerenah sesetengah rakan kita.

Junjungan besar s.a.w juga telah mengingatkan kita dengan sabdanya, iaitu seorang mukmin yang bercampur dengan manusia dan sabar dengan kerenah mereka lebih besar ganjarannya daripada mukmin yang tidak mencampuri manusia serta tidak sabar dengan kerenah mereka (Sunan Ibnu Majah : Kitab Fitnah Bab Sabar Menghadapi Bala dan Cubaan ).

Dengan demikian, keinginan untuk berehat atau mengundur diri bukanlah caranya bagi seorang yang bergelar pejuang bangsa, agama dan tanah air. Malah, seharusnya kekalahan dalam bertanding itu mestilah dianggap sebagai Tuhan menguji keimanan dan kesabaran kita dan jika kita tabah menghadapi dugaan tersebut pasti ganjarannya lebih besar daripada kemenangan tersebut .

Mereka yang sudah menang susunlah rancangan dan program pada peringkat bahagian untuk memberi khidmat kepada masyarakat. Susun juga strategi untuk menghadapi musuh yang nyata dan jangan asyik bermain politik setiap masa. Kelak nanti khidmat kepada masyarakat tiada dan masyarakat akan berasa bosan dan marah. Mereka yang kalah juga teruskanlah perjuangan sebagai orang yang menang dalam perjuangan suci. Susun program dan rancangan untuk mendidik masyarakat sehingga masyarakat menjadi jauhari yang mengenal manikam. Untuk itu, bagi mereka yang kalah dan terdiri daripada ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan teruskanlah program seperti biasa . Salurkanlah segala peruntukan kepada program-program yang dapat membangunkan pemikiran dan kesedaran masyarakat terhadap perjuangan UMNO. Mereka yang menang dan menduduki jawatan di bahagian pula rancanglah program dan rancangan bagi mengukuhkan lagi UMNO itu sendiri , seperti menambah ramaikan ahli, khidmat masyarakat dan sebagainya. Jika peranan masing-masing jalankan, nescaya UMNO akan lebih mantap. Masing-masing buatlah kerja secara bersunguh-sungguh demi agama , bangsa dan negara. Kesungguhan itu pasti akan membawa keuntungan dan akan juga disukai oleh Allah seperti ingatan junjungan besar s.a.w, iaitu Sesungguhnya Allah s.w.t suka apabila seseorang itu daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh dan baik. Dalam hal menyusun program dan rancangan ini janganlah dibina tembok pemisah antara satu sama lain kerana semuanya sama. Tiada siapa yang menjadi biduk dan tiada siapa yang menjadi kiambang. Sebaliknya, semua adalah sama sebagai bulu ayam, bak kata pepatah carik-carik bulu ayam lama-lama bertaut juga. Benar atau tidak hal ini, sama-sama boleh kita perhatikan dalam sejarah UMNO itu sendiri.

Segala program dan rancangan yang disusun baik bagi pihak yang kalah tetapi terdiri daripada ahli Parlimen atau Adun kawasan atau bagi yang menang menjawat jawatan di bahagian itu akan terlaksana dengan licin jika masing-masing dapat menyedari kembali tugas dan siapakah musuh sebenar. Janganlah mereka yang kalah berterus-terusan menyimpan dendam dan mereka yang menang pula berterus-terusan menyindir. Jika benar pun ada yang menang itu atas cara permainan politik kotor, mereka yang kalah itu perlulah mengawal perasaan dan berfikiran waras. Hadapilah keadaan yang ada secara bijaksana seperti firman Allah: Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang terbaik, sekiranya antara kamu dan dia ada perseteruan seolah-olah dia itu teman setia (kamu) (surah Fusilat : 41 : 34).

Mereka yang menang dengan cara politik yang tidak bermoral pula hendaklah segera bertaubat dan bekerjasama menjalankan program dan rancangan yang baik-baik untuk agama, bangsa dan negara. Segala program dan rancangan yang baik itu moga-moga dapat menyucikan kesalahan yang telah dibuat seperti firman Allah s.w.t: Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu menghapuskan keburukan-keburukan.

(surah Hud : 11 : 114).

Program dan rancangan yang dijalankan oleh mereka yang menang atau mereka yang kalah janganlah hanya untuk sesuatu kelompok sahaja. Sebaliknya, program dan rancangan yang dijalankan untuk semua orang di kampung-kampung atau di taman-taman perumahan. Kurangkanlah program dan rancangan di dewan-dewan atau di pusat-pusat peranginan. Laksanakanlah segala program dan rancangan terus menuju kepada masyarakat kampung atau orang ramai itu. Jika program dan rancangan dijalankan di dewan atau di pusat peranginan, tentulah mereka yang hadir itu adalah ahli jawatankuasa saja. Dengan ini segala isi penting dalam program dan rancangan itu tidak sampai kepada masyarakat kebanyakan. Ini amat bahaya kerana masa mengundi bukan hanya orang yang ke dewan tersebut sahaja yang mengundi tetapi semua orang dan yang paling ramai yang tak pernah ke dewan-dewan atau pusat-pusat peranginan tersebut.

Ini perlu difahami secara kritis kerana boleh dikatakan tidak ada parti di Malaysia ini mempunyai ahli sehingga 10 juta orang. Dengan demikian, bersatulah selepas pertandingan untuk sama-sama menjalankan program dan rancangan bagi memikat hati dan perhatian masyarakat kebanyakan dan bukan hanya ahli jawatankuasa itu sahaja.

Marilah kembali kepada perjuangan asal kita. Masyarakat menantikan khidmat bakti yang ikhlas dan luhur. Jangan biarkan masyarakat ternanti-nanti dan meraba-raba. Kelak nanti baik mereka yang menang ataupun mereka yang kalah akan menyesal. Percayalah jika mereka yang menang atau mereka yang kalah memainkan peranan secara ikhlas dan luhur dalam memberi khidmat dan mendidik masyarakat, pasti semuanya akan tertawa dan bersyukur pada 2004 nanti.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum