AGAMA

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Keraguan penyokong Pas terhadap pemimpin mereka

Oleh: HANAN ALAWIYYAH (hananalawiyyah@hotmail.com)
Seorang pembaca Utusan Malaysia mengirim e-mel kepada penulis berbunyi:

``Bila saya terbaca artikel saudara itu, darah saya bergolak''. Kenyataan dari penyokong Pas itu, seorang pelajar di Amerika yang berasal dari Kelantan, saya kira dia mewakili khalayak terbanyak pembaca Utusan Malaysia khasnya ruangan Bicara Agama dan Debat kelolaan Astora Jabat.

Secara keseluruhan terdapat tiga golongan yang berasal dari dua kelompok berlainan yang memenuhkan kotak e-mel penulis. Dua kelompok tersebut ialah penyokong Pas dan penyokong UMNO. Penyokong Pas pula terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang akan menghentam membuta-tuli apa sahaja terhadap penulis dan melekatkan beberapa label seperti kafir, tidak ada iman, murtad, terompah kayu dan khadam firaun.

Golongan ini terdiri daripada pak turut yang setuju secara membabi buta dengan apa yang disebut dan dilakukan oleh pemimpin Pas.

Salah seorang daripada mereka ini menulis ``Kamu perlu tahu dia orang (pemimpin Pas) memang mendapat didikan agama, ramai dari al-Azhar dan Madinah. Orang berilmu di sisi Allah umpama bintang-bintang di langit yang dijadikan panduan manusia di bumi. Dia mesti takut dengan Allah lantaran ilmu mereka... Ini yang perlu kamu tahu.''

Hanya hidayah Allah dipohon bagi menjadikan mereka kembali rasional.

Golongan yang bersikap lebih sudu dari kuah ini sememangnya tidak mengenali peribadi pemimpin Pas. Mereka bukan sahaja tidak berdamping rapat dengan pemimpin Pas bahkan mungkin mereka tidak pernah membaca buku Hikayat Tok Guru dan Tiga Abdul yang ditulis oleh penulis politik dan ditimbulkan dalam muktamar Pas di Kuala Terengganu tahun lepas. Penulis berkenaan dalam bukunya ada menyebut pada muka surat 55 bahawa salah seorang tiga Abdul mempunyai hobi menonton filem biru.

Golongan yang paling banyak menghantar e-mel pula ialah golongan yang menyokong Pas tetapi tidak mendapat pandangan kedua tentang Pas atau hanya mendapat tahu hakikat Pas melalui ruangan Bicara Agama dan Debat. Golongan ini banyak menunjukkan tanda-tanda untuk berlaku adil dalam memberi penilaian terhadap realiti politik pimpinan Pas yang banyak menyelindungkan imejnya disebalik penampilan lahiriah yang berserban dan berjubah .

Penulis selama-lamanya tidak mempersoalkan hak dan pilihan pemimpin Pas untuk berserban dan berjubah cuma memberi peringatan imej yang dibawa oleh pemimpin Pas dengan langkah yang salah memberikan imej yang buruk bukan sahaja kepada pemimpin Pas tetapi terhadap umat Islam dan agama Islam itu sendiri.

Kegagalan pemimpin Pas yang berserban dan berjubah memajukan negeri yang diperintah boleh menjadi fitnah yang amat besar kepada agama Islam.

Golongan yang mendapat pandangan kedua tentang Pas melalui ruangan Bicara Agama dan Debat pula banyak menunjukkan keadaan berada dalam dilema antara memilih keamanan yang sedia ada di Malaysia atau memilih Pemimpin Pas yang menjanjikan negara Islam tetapi banyak agenda di Kelantan dan Terengganu tidak berjalan seperti yang dilaung-laungkan.

Pendedahan kegagalan-kegagalan serta fiil cakap banyak kerja kurang pemimpin Pas menimbulkan suatu persoalan terhadap golongan ini yang merasakan ada munasabahnya dari apa yang penulis dan lain-lain penulis di ruangan ini utarakan dalam rencana - rencana sebelum ini.

Apa yang masih menjadi kemusykilan golongan ini ialah masalah wang ihsan, geran perkapita Kerajaan Pusat terhadap kerajaan negeri, dan tindakan Kerajaan Pusat yang kononnya tidak mahu menolong Kelantan dan Terengganu.

Walaupun sudah dijelaskan sebelum ini bahawa Kerajaan Pusat yang ditagih simpati supaya memberikan wang bagi projek pembangunan itu ialah kerajaan yang dianggap firaun, taghut, namrud serta murtad mereka ini masih ada alasan lain.

Alasan untuk menagih simpati itu ialah sungguhpun Kerajaan Pusat dianggap setaraf dengan kerajaan Firaun, Namrud dan Taghut dan murtad atas sifat sebagai Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pusat mesti menyalurkan pelbagai bantuan kepada negeri Kelantan dan Terengganu sama seperti negeri-negeri lain yang diperintah oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Sebenarnya golongan ini perlu diberi kefahaman bahawa dakwaan Kerajaan Pusat tidak menyalurkan bantuan kepada dua buah negeri yang diperintah oleh kerajaan Pas itu adalah amat tidak benar. Memanglah kalau didengar dari ceramah-ceramah Pas, seolah-olah kerajaan Pusat amat zalim dan mencekik darah rakyat Kelantan dan Terengganu. Penceramah-penceramah ini membuat dakwaan bahawa pelbagai hasil dikutip daripada rakyat Kelantan dan Terengganu tetapi projek pembangunan tidak disalurkan ke negeri-negeri tersebut.

Andainya benar dakwaan penceramah-penceramah Pas tersebut tentulah tidak ada projek menaikkan taraf jalan Persekutuan di dua buah negeri tersebut bahkan tidak ada pejabat Jabatan Kerja Raya JKR di dua buah negeri tersebut.

Tetapi hakikatnya Kerajaan Pusat mengalami masalah untuk membangunkan negeri tersebut kerana urusan proses tanah masih dipegang oleh kerajaan negeri dan ada projek yang tergendala kerana masalah tersebut. Berbilion-bilion ringgit telah disalurkan oleh kerajaan Pusat sejak 10 tahun lepas kepada rakyat negeri Kelantan.

Apakah itu bukan kerana belas kasihan dan simpati Kerajaan Pusat yang dituduh taghut itu? Pembinaan pejabat-pejabat kerajaan, sekolah, hospital, kemudahan telekomunikasi, jalan raya semuanya dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat. Cuma bagi menutup kelemahan kerajaan negeri yang tidak mampu berdikari dikatakan Kerajaan Pusat tidak membantu dua buah negeri tersebut.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum