AGAMA

Utusan Malaysia 26 Mei 2001

Jakim awasi Jamaah Salamullah

KUALA LUMPUR 25 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengawasi kewujudan satu kumpulan ajaran sesat yang menggelar diri mereka, Jamaah Salamullah dari Indonesia, di negara ini.

Jurucakap Jakim berkata jabatan itu menerima laporan daripada Atase Agama Kedutaan Malaysia di Jakarta, Abdul Khalid Sintul mengenai kumpulan ajaran sesat itu baru-baru ini.

``Kita ambil perhatian kumpulan ini dan sedang memantaunya. Setakat ini ia belum bergerak di Malaysia,'' katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut satu laporan utama majalah Gatra terbitan 12 Mei yang berada di pasaran tempatan, seorang wanita yang dikenali sebagai Lia Aminuddin, pemimpin tertinggi Jamaah Salamullah dari Jawa Barat telah menganggap dirinya sebagai Imam Mahdi dan Maryam serta mendakwa mendapat wahyu daripada Malaikat Jibrail.

Ajaran kumpulan yang wujud sejak 1997 itu meyakini konsep reinkarnasi, dan mahu pengikutnya menghisab dan melakukan penyucian diri dengan menggondol dan membakar diri bagi membersihkan diri dari segala dosa dan kembali suci seperti bayi.

Majlis Ulama Indonesia pada akhir 1997, telah mengeluarkan satu fatwa bahawa pengakuan Lia kononnya dia boleh berhubung dengan Malaikat Jibrail, adalah sesat dan menyimpang jauh dari akidah Islam.

Mengenai pemantauan ajaran sesat, jurucakap itu berkata setakat ini Jakim mengenalpasti 18 jenis ajaran sesat dan bertentangan dengan Islam yang sedang aktif dan mengancam akidah umat Islam di seluruh negara.

Ajaran sesat berkenaan kebanyakannya melibatkan amalan kebatinan, ilmu mistik, ghaib dan ilmu yang dipengaruhi kepercayaan primitif terutama yang terdapat di negara jiran.

Di samping itu, katanya Jakim juga memberi tumpuan terhadap kegiatan serta ajaran yang dibawa kumpulan pendatang Indonesia kerana terdapat ajaran berkenaan bertentangan dengan Islam.

``Pemantauan terhadap kegiatan kumpulan ajaran sesat sentiasa dilakukan secara berterusan kerana kemunculan ajaran sedemikian berlaku dari semasa ke semasa dan dilakukan oleh orang atau kumpulan yang berlainan,'' katanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum