AGAMA

Utusan Malaysia 30 Mei 2001

IKIM arah Jakim periksa hotel

KUALA LUMPUR 29 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta memeriksa restoran dan premis makanan di hotel bagi memastikan ia mematuhi syarat pengeluaran sijil halal yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, pemeriksaan itu perlu memandangkan masyarakat Islam masih mengambil mudah mengenai isu halal haram terutama apabila mereka menikmati jamuan di hotel.

``Pemeriksaan perlu dibuat dari semasa ke semasa dan tidak hanya terhenti setakat mengeluarkan sijil sahaja bagi memastikan mereka (pengusaha restoran) mengikut peraturan sijil halal serta menggunakan kaedah pengendalian makanan yang betul,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada Seminar Antarabangsa `Jaminan Keselamatan Makanan dari Perspektif Islam' anjuran IKIM di sini hari ini.

Seramai 110 peserta menghadiri seminar dua hari itu dengan 11 kertas kerja dibentangkan oleh lapan pakar dalam bidang pemakanan dan undang-undang.

IKIM katanya, tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang atau membuat pemeriksaan terhadap premis makanan berhubung isu itu.

``Kita hanya berperanan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai sesuatu isu dari sudut intelektual dan ilmiah melalui seminar, penerbitan dan perbincangan,'' katanya.

Beliau menyarankan supaya satu badan khas yang dianggotai oleh pelbagai agensi berkaitan ditubuhkan bagi menyelaras pengeluaran sijil kelulusan halal kepada semua premis yang menjual dan mengeluarkan barangan makanan di negara ini.

Ismail berkata, penubuhan badan khas itu memudahkan urusan pengeluaran sijil halal secara lebih teratur dan pada masa yang sama mempunyai kuasa menjalankan penguatkuasaan kepada semua premis terbabit.

Menurut beliau, antara agensi yang sesuai menganggotai badan khas itu termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), SIRIM Berhad, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensi lain yang difikirkan perlu.

``Badan ini mempunyai kuasa mengeluarkan sijil dan memeriksa semua premis terbabit serta mempunyai kemudahan peralatan untuk membuat ujian makanan. Logo halal itu perlu diperbuat lebih kemas dan mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk nombor siri supaya tidak mudah dipalsukan,'' tegasnya.

Beliau menasihatkan masyarakat Islam supaya mengambil serius masalah itu dan prihatin mengenai apa yang mereka makan.

Jakim pada masa ini merupakan satu-satunya agensi yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal kepada premis yang ingin mendapatkan sijil berkenaan.

Pengeluaran sijil halal telah diswastakan kepada Syarikat Ilham Daya Sdn. Bhd. sejak 1998, bagaimanapun hak itu telah diserahkan semula kepada Jakim baru-baru ini.

Antara premis yang mendapat sijil berkenaan berdasarkan senarai Jakim ialah kilang, hotel, restoran dan rumah penyembelihan.

Tindakan boleh diambil terhadap pengusaha yang meletakkan tanda halal tetapi gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 (Pindaan 1975) iaitu denda RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Empat perkara akan diambil kira sebelum mengesahkan sijil halal sesuatu premis iaitu ramuan yang digunakan, kebersihan, hidangan dan penyimpanan serta cara pemprosesan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum