AGAMA

Mingguan Malaysia 27 Mei 2001

Aurat mughallazah dan mukhaffafah pada wanita

Oleh: ASTORA JABAT
AURAT ialah perkara aib atau keaiban dan jika dikaitkan dengan bahagian badan lelaki dan wanita adalah bermaksud bahagian badan yang dianggap tidak baik dan memalukan jika didedahkan kepada umum seperti kemaluan dan dubur.

Sesetengah ulama menganggap aurat itu ada dua jenis, iaitu aurat berat (mughallazah) dan aurat ringan (mukhaffafah). Aurat berat itu bagi lelaki dan wanita seperti yang disepakati ulama ialah kemaluan dan dubur. Sedangkan aurat ringan pula ialah selain kemaluan dan dubur bagi lelaki dan selain unjuran atau hujung badan seperti kepala, tangan dan kaki bagi wanita.

Jika seorang lelaki atau wanita mengerjakan sembahyang dalam keadaan mendedahkan apa yang dianggap aurat berat, sembahyang mereka dianggap batal dan wajib diulangi. Sebaliknya, jika aurat ringan lelaki dan wanita terdedah ketika mereka sedang mengerjakan sembahyang, tidak wajib diulanginya kerana sembahyang mereka dianggap sah. Bagaimanapun, ia dianggap harus diulangi, kata ulama-ulama itu.

Perbincangan secara terperinci berhubung isu ini berdasarkan kepada pandangan pelbagai mazhab akan menyusul di bawah.

Jika merujuk kepada nas daripada al-Quran dan hadis, kita akan dapati bahawa tidak semua perkataan aurat bermaksud kemaluan, dubur dan bahagian-bahagian badan lain yang haram diperlihatkan.

Dalam al-Quran aurat disebut sebanyak tiga kali dan membawa erti yang berbeza antara satu sama lain. Dalam ayat 31 daripada surah an-Nur disebut perkataan aurat yang bermaksud aurat wanita yang merupakan kemaluan, dubur dan bahagian-bahagian badan yang lain.

Dalam ayat 58 daripada surah yang sama perkataan aurat dimaksudkan waktu persendirian suami isteri, iaitu tiga waktu, pertama sebelum sembahyang fajar, kedua selepas sembahyang zuhur dan ketiga selepas sembahyang isyak.

Dalam ayat 13 daripada surah al-Ahzab pula perkataan aurat dimaksudkan terbuka atau tidak ada perlindungan.

Dalam hadis, perkataan aurat mempunyai maksud yang lebih luas. Selain aurat yang bermaksud bahagian-bahagian badan yang haram, makruh dan harus memperlihatkannya, ia juga bermaksud keaiban, perbuatan tidak baik dan dosa secara keseluruhannya.

Sebenarnya ulama tidak berbeza pendapat mengenai hukum wajib menutup aurat bagi lelaki dan wanita. Cuma mereka berbeza mengenai bahagian badan yang dianggap aurat pada lelaki dan wanita itu.

Ibn al-Arabi dalam Bidayatul Mujtahid berkata, para ulama bersepakat bahawa menutup aurat itu adalah wajib secara mutlak. Bagaimanapun mereka berbeza pandangan mengenai apakah ia tergolong daripada syarat sah sembahyang atau tidak. Demikian juga mereka berbeza pandangan tentang batasan aurat bagi lelaki dan wanita.

Bagaimanapun, ternyata dalam Mazhab Imam Malik (Mazhab Maliki) menutup aurat itu tergolong daripada sunat sembahyang. Sedangkan Mazhab Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi) dan Mazhab Imam Syafi'e (Mazhab Syafi'e) menganggap menutup aurat tergolong daripada perkara wajib sembahyang.

Punca perbezaan pandangan ulama dalam perkara itu ialah kerana berlaku percanggahan dalam athar (hadis Rasulullah s.a.w dan kata-kata para sahabat) dan berbeza fahaman mereka terhadap firman Allah: ``Wahai anak-anak Adam! Pakailah perhiasan kamu ketika setiap kali di masjid.'' Mereka bertanya, apakah arahan dalam ayat tersebut bermaksud wajib atau harus? (Ibn al-Arabi, Bidayatul Mujtahid, Jilid 1, muka surat 521).

Perbezaan ulama mengenai batasan aurat lelaki dan wanita dapat dilihat dengan jelas dalam mazhab-mazhab berikut.

Mazhab Syafi'e menurut pandangan terkuatnya membataskan bahagian-bahagian badan yang dianggap aurat pada lelaki ketika sembahyang iaitu yang terletak di antara pusat dan lutut. Bagaimanapun, pusat dan lutut itu sendiri tidak dianggap aurat, tetapi menutup sebahagiannya dianggap menjadi kelaziman untuk membolehkan ditutup secara sempurna bahagian-bahagian badan yang dianggap aurat itu.

Batas aurat wanita pula ialah seluruh badan bagi wanita bebas kecuali muka, dua tapak tangan di bahagian atas dan bahagian bawahnya.

Mazhab Hanafi membataskan bahagian-bahagian badan yang dianggap aurat pada lelaki ketika sembahyang bermula daripada pusat sehingga ke lutut. Yang peliknya mazhab ini menganggap pusat tidak aurat, tetapi sebaliknya bagi lutut.

Wanita yang merupakan hamba pada Mazhab Hanafi mempunyai batas aurat sama seperti lelaki ketika sembahyang kecuali perut dan belakang yang juga dianggap aurat.

Batas aurat wanita bebas pula pada mazhab ini ialah seluruh badan kecuali dua tapak tangan dan ini tidak termasuk bahagian atas tapak tangan. Dua tapak kaki wanita bebas juga tidak dianggap aurat, iaitu bahagian atasnya.

Mazhab Hanbali dalam pendapat terkuat dan digunapakai oleh kebanyakan pengikut mazhab itu pada hari ini membataskan bahagian-bahagian badan yang dianggap aurat pada lelaki dan wanita sama seperti Mazhab Syafi'e kecuali muka wanita yang dianggap aurat.

Mazhab Maliki pula membahagikan aurat lelaki dan wanita ketika sembahyang kepada dua bahagian. Pertama, aurat berat (mughallazah) dan aurat ringan (mukhaffafah).

Aurat berat pada lelaki ialah kemaluan dan dubur dan aurat ringan mereka pula ialah selain daripada kemaluan dan dubur.

Aurat berat wanita bebas pula ialah seluruh badan kecuali unjuran badan dan dada. Unjuran badan itu ialah anggota bahagian hujung badan seperti tangan, kepala dan kaki. Semua unjuran badan itu tidak dianggap aurat berat ketika sembahyang.

Mazhab Maliki pula membataskan apa yang dianggap aurat ringan pada wanita bebas itu termasuk dada, lengan, leher, kepala dan kaki. Sedangkan muka dan dua tapak tangan tidak dianggap aurat langsung pada mazhab itu yang mempunyai ramai pengikut di negara-negara Arab di Afrika Utara dan negara-negara Afrika. Kebanykan ulama juga berpendapat begitu.

Aurat ringan wanita yang merupakan hamba pula dalam Mazhab Maliki serupa dengan aurat lelaki kecuali punggung yang dianggap sama dengan kemaluan dan dubur yang terbilang daripada aurat berat.

Itulah secara ringkas apa yang dianggap aurat dan bukan aurat atau aurat besar dan aurat kecil ketika mengerjakan sembahyang bagi lelaki dan wanita. Para pembaca yang ingin mendalami boleh merujuk kitab-kitab.

Minggu depan dalam ruangan ini penulis akan membincangkan tentang batasan aurat lelaki dan wanita ketika di luar waktu sembahyang, iaitu dalam kehidupan harian mereka di rumah dan di luar rumah.

Akhir sekali penulis ingin minta maaf kerana terdapat dua kesilapan dalam tulisan minggu lepas. Kesilapan pertama ialah maksud ayat 30 daripada surat an-Nur tertinggal perkataan `mereka' daripada ayat `kemaluan.' Maksud penuh ayat 30 daripada surah an-Nur yang penulis sebut minggu lepas ialah: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka merendahkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka).

Pada para 11 pula sepatutnya dibaca: `Ini kerana ayat selepasnya daripada surat yang sama (ayat 31) ada menuntut supaya wanita juga merendahkan pandangan ketika berhadapan dengan lelaki.'

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum