AGAMA

Mingguan Malaysia 27 Mei 2001

Pembangkang tidak aktif berceramah

Oleh: NIHAZ MOHD. YUSOFF (nihaz@post.com)
KEBELAKANGAN ini kita melihat pembangkang di Malaysia sudah agak pasif dan tidak begitu aktif atau celupar lagi dalam berceramah. Demonstrasi juga nampaknya tidaklah menjadi sehebat yang diazamkan oleh Ezam Mohd. Noor.

Namun, masih ada dua tiga kejadian terutama di ceruk-ceruk di Utara di mana penceramah mereka masih lagi berlagak angkuh dan keji dengan menggunakan kata-kata kesat dan mencarut.

Dalam keadaan di mana separuh daripada mereka telah kelu kerana berkali-kali terkena ludah sendiri, separuh daripada mereka masih lagi terus meludah-ludah ke langit tanpa merasa jijik bila ludah itu terkena kembali pada mereka.

Fenomena kurang aktif pembangkang ini mungkin terjadi kerana UMNO dan kerajaan juga telah mula memperkemaskan barisan penerangan. Televisyen, akhbar serta internet umpamanya sering kali mendedahkan satu-per satu kepincangan Pas. Pasukan pertahanan UMNO kini telah mula mengubah corak menjadi pasukan yang menyerang balas.

Bagaimanapun, satu perkara yang perlu difikirkan ialah apakah serangan ini bercorak sementara dan setempat atau berterusan serta merangkumi semua kawasan hitam?

Mereka yang punya kuasa di dalam UMNO masing-masing perlu mengambil langkah proaktif walaupun dalam keadaan di mana pembangkang sudah semakin pasif. Sedikit kajian perlu dibuat mengenai gaya penerangan yang sesuai dengan masyarakat setempat.

Kita mungkin tidak mahu percaya dan tidak percaya bahawa begitu ramai umat Islam yang mudah diperdaya walaupun dengan ceramah yang menggunakan kata-kata kesat dan carut.

Kita sukar untuk menerima bahawa golongan yang memaki dan mencarut semasa berceramah, boleh disanjungi oleh umat Islam yang kononnya amat inginkan Islam yang total. Kita juga tidak sanggup untuk percaya bahawa ada di kalangan golongan profesional serta para siswazah yang cenderung untuk memilih mereka yang bersifat keji ini.

Sudah sampai masanya kita menerima hakikat bahawa sebahagian besar umat Melayu mempunyai pemikiran yang begitu ke belakang sehingga seperti di tahap zaman awal merdeka ataupun di tahap zaman awal kedatangan Islam.

Jika dahulu kerajaan perlu turun ke kampung-kampung memberi didikan pertanian dan kesihatan, maka ketahuilah yang sebahagian besar umat Melayu kini masih memerlukan didikan sebegitu mengenai agama termasuk adab sopan dan budi bahasa, isu semasa dan politik hatta mungkin kesihatan dan kebersihan juga.

Kita perlu menerima hakikat bahawa di sesetengah tempat, rakyat kita perlu dididik dari mula bagaikan satu bangsa yang baru merdeka atau baru mengenali Islam.

Ini semua berlaku kerana umat Melayu begitu gelojoh dan ingin terus mencapai apa yang disangka mereka tahap kealiman yang tinggi tanpa melalui tahap memikir dan mengkaji mengenai Islam. Islam bagi bangsa Melayu adalah mudah iaitu pakaian, hak-hak lelaki dan tanggungjawab wanita dan yang agak hebat sedikit ialah undang-undang hudud.

Lain-lain ibadah menjadi perkara kedua penting kerana ia tidak boleh dipertontonkan kepada orang ramai, manakala niat di dalam hati menjadi tidak penting langsung kerana sememangnya orang lain tidak akan dapat melihat apa yang ada di dalam hati.

Bagi umat Melayu, Islam ialah apa yang dipertontonkan sama ada di atas tubuh badan sendiri iaitu pakaian, di mulut dan di atas kertas. Kerana itulah mereka menyangka jika kita membunuh atau menghalang pertukaran kad pengenalan kerana murtad, maka seorang Muslim itu tidak akan dikira sebagai murtad. Padahal kad pengenalan tidak diperlukan diakhirat, yang perlu adalah niat.

Sedangkan Islam itu beroperasi sebaliknya iaitu hati, pemikiran dan niat adalah keutamaan, disusuli dan diperlengkapkan dengan ibadah, akhlak dan adab yang mana akan terserlah dengan sendirinya tanpa perlu diniat untuk mempertontonkannya. Manakala undang-undang Islam atau hudud pula tidaklah dikira sebagai keutamaan sebagaimana yang diakui juga oleh Abdul Hadi Awang satu ketika dahulu.

Pemikiran yang terbalik inilah yang menyebabkan umat Islam di Malaysia menjadi tunggang terbalik. Golongan yang sukakan kata-kata kesat dan carut di Malaysia ini nampaknya walaupun tidak mengamalkan asas Islam iaitu adab dan budi bahasa, mereka tidak segan silu ingin menegur dan mengajar orang lain tentang perkara-perkara yang lebih tinggi dalam Islam seperti undang-undang.

Mereka juga tidak segan silu mengutuk cara pemerintahan negara sedangkan mereka tidak punya kebolehan walaupun untuk mentadbir urusan kerja, syarikat mahupun rumah tangga sendiri.

Justeru, jika golongan yang berpemikiran terbalik ini ditakdirkan memerintah negara, akan terbalik dan terlungkup teruslah negara kita.

Memandangkan pembangkang yang melaung-laungkan undang-undang hudud juga sudah sependapat dengan UMNO tentang hal itu, maka kita hairan, untuk apa lagi mereka melaung dan apakah lagi yang mereka laungkan? Apa lagi yang mereka inginkan agar kerajaan dilihat sebagai Islam?

Apakah mereka inginkan agar UMNO menggunapakai nama Islam juga (Pertubuhan Islam Bersatu Malaysia)? Apakah mereka inginkan agar semua pemimpin UMNO berserban atau berketayap seperti mereka? Apakah benar semua wanita mereka menerima bahawa wanita yang cantik tidak boleh bekerja? Apakah benar semua mereka sependapat mengenai pengasingan lelaki dan wanita di tempat-tempat awam?

Apa yang kita dapati ialah cara hidup kebanyakan pembangkang yang kononnya memperjuangkan Islam ini juga tidak ada bezanya dengan cara hidup penyokong kerajaan. Ada di antara mereka yang korup, yang suka berhibur, yang tidak senonoh dan tidak bertanggungjawab. Semua ini ada dalam mana-mana golongan masyarakat tidak mengira parti.

Pembangkang juga nampaknya sudah toleran dengan arak dan juga ternakan babi. Maka, jika semuanya sama sahaja dengan prinsip UMNO, dan hudud juga tidak begitu perlu, apa lagi yang mereka perjuangkan?

Sepatutnya sebagai pejuang Islam, memadailah mereka membangkang perkara-perkara yang tidak sejajar dengan Islam secara berhemah, ilmiah dan rasional. Tidak perlulah berhempas pulas menggulingkan kerajaan sehingga mengiakan perkara yang salah kerana perbuatan itu bukannya akan memperkasakan ummah, sebaliknya akan hanya membuktikan bahawa bukan Islam yang dikejar tetapi kuasa semata-mata.

Setakat ini kerajaan kita tidak pernah mengambil langkah terbalik dalam pelaksanaan Islam. Sudah terbukti kerajaan membangunkan Islam dengan lebih baik daripada pembangkang.

Sistem pendidikan dan ekonomi di bawah naungan kerajaan lebih menepati kehendak Islam daripada sistem pendidikan dan ekonomi yang dipelopori pembangkang yang tidak bersistem dan tidak mungkin membawa umat Melayu ke mana-mana.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum