AGAMA

Utusan Malaysia 05 Jun 2001

Demonstrasi jalanan bercanggah dengan Islam - Hamid

KUALA LUMPUR 4 Jun - Budaya demonstrasi jalanan yang akan diteruskan oleh Pas bercanggah dengan politik Islam dan amalan demokrasi di negara ini.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman berkata, dalam politik Islam, dasar atau pendekatan yang digunakan ialah syura dan bukannya berdemonstrasi.

Menurutnya, sejarah telah membuktikan bahawa budaya demonstrasi adalah punca kepada hancurnya beberapa kerajaan Islam.

Katanya, beberapa pemimpin besar Islam dari zaman Khalifah Usman hingga ke Kerajaan Bani Umaiyah dan Abbasiyah terbunuh kerana budaya yang tidak sihat ini.

``Di negara kita, kerajaan sentiasa mengingatkan bahawa cara kita ialah menerusi pilihan raya,'' katanya ketika ditemui selepas sambutan Maulidur Rasul 1422 Hijrah peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor dalam ucapan penggulungannya pada Muktamar Tahunan Pas semalam yang mahu demonstrasi diteruskan.

Fadzil berkata, cara itu adalah pendekatan Pas sejak dahulu lagi bagi menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu.

Abdul Hamid berkata, demonstrasi jalanan yang ditaja oleh pembangkang juga tidak wajar diteruskan kerana sebenarnya ia tidak mewakili majoriti rakyat.

Katanya, kerajaan bimbang budaya itu akan melahirkan golongan pelampau, yang dilihat mula bertapak di negara ini.

``Kita bimbang kerana kegiatan pelampau sudah ada di negara ini dan tidak lagi di negara lain seperti yang kita tahu sebelum ini,'' katanya dengan menyebut kumpulan al-Ma'unah sebagai contoh.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin meminta umat Islam mengambil pendekatan Rasulullah sebagai panduan.

Menurutnya, dengan cara Rasulullah yang lembut, lunak dan penuh sederhana itu, Islam telah berjaya mengecapi zaman kegemilangannya.

``Ini adalah contoh terbaik kerana Islam itu sifatnya sederhana dan fleksibel,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum