AGAMA

Utusan Malaysia 05 Jun 2001

10 terpilih terima anugerah Maulidur Rasul 1422 Hijrah

KUALA LUMPUR 4 Jun - Sebanyak 10 orang dari pelbagai latar belakang dipilih menerima Anugerah Maulidur Rasul 1422 Hijrah bagi menghargai jasa yang telah mereka sumbangkan kepada rakyat dan negara.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena sambutan Maulidur Rasul di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Penerimanya menerima wang tunai RM2,000, seutas jam tangan, sijil dan buku terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mendahului senarai penerima ialah Dr. Othman Omar dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Beliau dipilih berikutan kejayaannya menghasilkan lebih 25 jenis padi baru sepanjang lebih 30 tahun berkhidmat dengan MARDI.

Pemilihan itu juga dibuat berdasarkan komitmen Dr. Othman yang turut menghasilkan lebih 50 jurnal ilmiah dan sering diundang membentangkan kertas kerja pada persidangan antarabangsa.

Komander Roslan Haron dari Tentera Laut Diraja Malaysia pula dipilih atas kesanggupannya berkorban demi tugasnya meronda perairan negara sejak 24 tahun lalu.

Walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan tetapi beliau tetap cekal menjaga keselamatan perairan negara.

Penerima ketiga ialah Pengurus Felda Chempelak, Segamat, Othman Mohamed yang telah berjaya mencipta teknik tanaman `lubang besar' untuk tanaman semula kelapa sawit.

Ciptaannya itu telah membolehkan peneroka menjimatkan kos pengangkutan, selain dapat mempercepatkan pengeluaran hasil enam bulan lebih awal.

Penerima tunggal yang bukan beragama Islam ialah S. Ramasamy dari St. John Ambulans Malaysia, Pulau Pinang.

Penerima-penerima lain Samirin Patijan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Raja Abu Bakar Mohamad dari Persatuan Bulan Sabit Merah.

Turut menerima anugerah itu ialah Sab Inspektor Mohd. Tajudin Ahmad dari Polis Diraja Malaysia, guru agama, Wan Haslah Hussin, Hashim Ismail dari Jabatan Imigresen dan Miskandar Mat Shari dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum