AGAMA

Utusan Malaysia 05 Jun 2001

Struktur baru Mahkamah Syariah atasi kes tertunggak

KUALA LUMPUR 4 Jun - Masalah kes tertunggak di Mahkamah Syariah seluruh negara dijangka dapat diatasi apabila struktur baru Mahkamah Syariah dilaksanakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin.

Menurutnya, menerusi struktur baru itu, jumlah hakim syarie akan ditambah dan bangunan-bangunan mahkamah yang baru juga akan dibina termasuk di daerah.

Kata beliau, pihaknya menyedari tentang masalah kes tertunggak dan kekurangan hakim syarie tetapi memerlukan masa untuk membuat kajian dan permohonan kepada kerajaan.

Beliau memberi contoh bagaimana kawasan Shah Alam dan Putrajaya yang mempunyai lebih 400,000 orang Islam, hanya mempunyai seorang hakim syarie.

``Kita sudah hantar memorandum yang komprehensif ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung masalah itu dan berharap permohonan itu diluluskan,'' katanya selepas majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, jika struktur atau skim baru Mahkamah Syariah itu dilaksanakan, tidak perlu ditubuhkan tribunal untuk menyelesaikan kes yang tertunggak.

Mengenai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), beliau berkata, fungsi jabatan itu ialah menyelaraskan pentadbiran agama Islam antara negeri-negeri.

Katanya, Jakim tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan kerana kuasa itu adalah hak mutlak Jabatan Agama Islam di negeri-negeri.

``Rakyat kena faham fungsi ini. Jakim hanya menyelaras dan menasihat tetapi pelaksanaan dan tindakan adalah hak negeri,'' jelasnya.

Sementara itu, Abdul Hamid memberitahu, beliau sudah merangka strategi untuk memastikan sistem pengurusan Islam dan pentadbiran kehakiman Islam yang berkualiti dapat diwujudkan tidak lama lagi.

Katanya, strategi itu bermatlamat menjadikan institusi pengurusan dan pentadbiran Islam sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati.

Antara strategi itu termasuk memastikan semua agensi menyediakan perkhidmatan yang cemerlang dan berupaya menyelesaikan masalah yang berbangkit melalui penyediaan kakitangan yang cekap dan komited.

Beliau berharap badan bukan kerajaan yang berorientasikan Islam membantu pelaksanaan pengurusan Islam dan dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan yang terlibat.

Beliau berkata, dengan itu lebih banyak prinsip siasah syariah dapat diterapkan dalam pentadbiran negara dan penyeragaman hal ehwal Islam dapat dicapai.

Abdul Hamid turut meletakkan sasaran menjadikan Baitulmal sebagai enjin penggerak ekonomi Islam.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum