AGAMA

Utusan Malaysia 03 Jun 2001

Hadi pemimpin terpengaruh Asia?

Oleh: ASTORA JABAT
MINTA maaf kerana penulis tidak akan membincangkan mengenai isu aurat minggu ini kerana mahu menyentuh mengenai laporan majalah Asiaweek yang menobatkan Timbalan Presiden Pas Abdul Hadi Awang sebagai sahsiah ketujuh terpengaruh di Asia.

Sebagai pengguna berita dan maklumat yang beragama Islam, garis panduan yang ditetap dalam al-Quran patut menjadi pegangan.

Garis panduan itu disebut dalam firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik (pembohong) membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. - (al-Hujuraat 49:6)

Jika begitu sekali Allah mengingatkan kita supaya berhati-hati untuk mempercayai berita yang dibawa orang fasik di kalangan orang Islam, maka sudah tentu kita perlu lebih berhati-hati untuk menggunakan berita yang disajikan oleh media Barat.

Perlu diterangkan bahawa penulis bukan anti-Barat dan mana-mana pihak di dunia ini. Penulis juga tidak menganggap berita dan maklumat yang disebar oleh media Barat tidak boleh dipercayai langsung.

Tetapi kerana berita dan maklumat kini menjadi bahan komoditi perniagaan dunia terpenting di zaman globalisasi ini, maka tidak dapat tidak kita mesti mengenal pasti dan menilainya seperti kita lakukan ke atas barangan kegunaan lain.

Malah tindakan mengenal pasti dan menilai berita dan maklumat itu lebih dituntut kini kerana kerap sekali pihak-pihak tertentu di luar negara menggunakannya untuk menekan dan menindas negara-negara sedang membangun supaya tunduk kepada agenda mereka.

Malaysia yang merupakan negara Islam yang paling lantang menyuarakan pandangan di forum-forum antarabangsa dalam membela negara-negara sedang membangun termasuk negara-negara Islam sering menjadi sasaran tekanan dan penindasan media oleh pihak-pihak luar itu.

Terdapat aspek lain selain kriteria yang disebut dalam al-Quran itu yang boleh membantu kita mengenal pasti dan menilai laporan Asiaweek mengenai Abdul Hadi itu.

Aspek itu terkandung dalam soalan siapakah pemimpin yang paling terpengaruh di kalangan pengikut dan penyokong Pas antara presiden parti Datuk Fadzil Noor, timbalannya Abdul Hadi Awang dan mursyidul amnya Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Jawapannya sudah tentu ialah Nik Aziz. Siapa tidak percaya bolehlah mendapatkan jawapan sendiri daripada pengikut dan penyokong Pas.

Soalan yang sama ditujukan kepada orang Islam yang bersimpati dengan Pas di Asia terutama negara-negara jiran. Jawapannya sudah tentu juga Nik Aziz.

Tetapi Asiaweek mempunyai pandangan berlainan di mana ia menganggap Abdul Hadi merupakan sahsiah ketujuh terpengaruh di Asia.

Jika di kalangan pengikut dan penyokong Pas sekalipun Abdul Hadi kalah kepada Nik Aziz, bagaimana beliau boleh dianggap sahsiah ketujuh terpengaruh di Asia? Bagaimanapun, penulis mengucap tahniah kepada Abdul Hadi kerana beliau sekali lagi menjadi sahsiah pilihan majalah asing itu.

Tahun lepas majalah yang sama meramalkan bahawa Abdul Hadi akan menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam masa lima sehingga 10 tahun akan datang. Asiaweek meletakkan gambar Abdul Hadi pada kulit depannya dengan paparan tajuk ``Will he one day lead Malaysia?''

Tajuk dan ulasan di dalam Asiaweek seolah-olah diubahsuai daripada ramalan Tok Nujum Yahudi berasal dari Perancis, Nostradamus.

Bagaimanapun, lelucon seperti itu mengena jiwa sesetengah orang Pas yang terlalu ghairah untuk mendapat kemenangan politik. Begitu juga lelucon Asiaweek terbaru ini.

Penulis percaya ramai pembaca akhbar termasuk segelintir orang Pas yang rasional sedar bahawa Asiaweek dan lain-lain media Barat yang tampak berpihak kepada Pas dan mana-mana pergerakan Islam bukanlah sama sekali kerana menyokong perjuangan mereka, tetapi kerana ada agenda tersembunyi.

Sebenarnya kita mempunyai banyak peristiwa sejarah yang boleh diambil iktibar berkaitan tangan -tangan sulit dalam pergerakan-pergerakan Islam.

Apa yang dilakukan ke atas Abdul Hadi dan Pas kini pernah dilakukan ke atas Syeikh Hassan al-Banna dan al-Ikhwan al-Muslimun di mana penjajah Inggeris berjaya melagakan pergerakan Islam Mesir terbesar itu melalui pemberian bantuan kewangan untuk menentang kerajaan Raja Farouk.

Kemudian Inggeris pula mencucuk atau menghasut Raja Farouk dan berlakulah persengketaan sesama Islam yang berterusan sehingga ke zaman lepas merdeka dan berlarutan ke hari ini.

Lebih awal lagi kita dapat melihat tangan-tangan sulit dan tangan-tangan tidak sulit dalam perjuangan nasional dan perjuangan Islam di kalangan orang Arab pada zaman Kerajaan Islam Turki.

Puak nasional dan puak Islam Arab dihasut oleh Inggeris dan Perancis supaya berperang menentang Kerajaan Islam Turki.

Penulis tidak mahu menyebut di sini satu-satu pergerakan nasional dan pergerakan Islam di negara-negara Arab yang bergerak mengikut telunjuk Inggeris dan Perancis itu, sebaliknya hanya mahu membangkitkan pergerakan yang mempunyai sejarah hampir sama dengan Pas, iaitu puak Wahhabiyyah.

Puak Wahhabiyyah dengan bantuan Inggeris dapat menghapuskan kekuasaan Kerajaan Islam Turki di Semenanjung Arab dan seterusnya dapat membantu kuasa asing itu menguburkan empayar Islam terakhir itu.

Jika kita mengkaji sejarah penubuhan Pas pula kita akan dapati bahawa ia juga ada kaitan dengan penjajah Inggeris. Pas yang ditubuhkan oleh ahli-ahli yang kecewa dalam UMNO di zaman penjajah itu adalah terperangkap dalam agenda Inggeris untuk memecah belah barisan Melayu dalam parti terbesar bangsa Melayu itu.

Senario zaman penjajahan tentera dulu diulangi pada zaman penjajahan baru ini. Cuma pelakon saja berbeza. Dulu Haji Ahmad Fuad Hassan dan kini Abdul Hadi.

Tahun 80-an yang merupakan era ledakan maklumat mula terserlah dan kelihatan lebih jelas peranan media beragenda. Ini berlaku apabila Barat terutama Amerika Syarikat (AS) yakin suasana politik di sebuah negara sekutu utamanya, Iran tidak boleh dikawal kecuali pengunduran Shah Reza Pahlavi. AS memilih untuk menyucuk Imam Khomeini dan tidak pembangkang-pembangkang lain terutama puak Islam kiri seperti Tudeh, Padayan, Mojahedin.

Dengan bantuan AS, Imam Khomeini dibawa pulang ke Iran. Tetapi AS terlepas kemudi di Iran kerana kuasa tidak berada dalam tangan Imam Khomeini dan orang-orang AS dalam kerajaan baru. Kuasa ketika itu berada di tangan pelajar yang mencetuskan bersiri-siri demonstrasi jalanan.

Ringkaskan cerita, selepas melihat revolusi Iran berbahaya kepada negara-negara sekutunya di Asia Barat terutama Israel dan negara-negara Arab pengeluar minyak serta Imam Khomeini pula mengisytiharkan tidak ke Barat dan tidak ke Timur, AS mula merancang untuk melemahkan Iran.

Media massalah yang digunakan oleh AS sebagai senjata untuk memerangi Iran sebelum menggunakan senjata sebenarnya melalui Iraq.

Pada ketika itu media Barat menonjolkan revolusi Iran sama seperti revolusi Bolshevic di Rusia dan revolusi Perancis yang berjaya mengubah dunia. Banyak juga sidang dan forum yang diadakan untuk membandingkan kekuatan revolusi Iran dengan kedua-dua revolusi itu.

Selepas itu media Barat pula menonjolkan Iran sebagai salah sebuah negara yang mempunyai tentera terkuat di dunia. Jika tidak silap ingatan penulis, Iran pada ketika itu ditonjolkan sebagai mempunyai kekuatan tentera keenam di dunia.

Semua penilaian itu bukan penilaian sebenar, tetapi merupakan penilaian beragenda. Tujuannya ialah untuk menakutkan negara-negara Arab.

AS atau media Barat mendapat kejayaan besar dalam permainan ini. Seorang pemimpin Arab naif yang gila mahu menjadi pemimpin dunia Arab, iaitu Presiden Saddam Hussein melancarkan serangan ke atas Iran.

AS, negara-negara Barat dan Israel menjadi pembekal senjata Iran dan Iraq sekali gus. Beberapa tahun berperang, Iran dan Iraq hancur. Puas berperang, Iran dan Iraq menandatangani gencatan senjata dan menamatkan perang.

Kemudian AS dapati bahawa Iraq tidak menggunakan sepenuhnya senjata yang dibekal kepadanya. Malah AS juga dapati bahawa Iraq selain mengubahsuai senjata yang dibekal kepadanya, ia juga berusaha untuk membuat senjata nuklear.

Ketika itu media Barat pula menonjolkan Iraq sebagai salah sebuah negara terkuat tentera di dunia seperti yang dilakukan ke atas Iran dulu.

Demi menghancurkan kekuatan tentera Iraq itu, AS melagakannya dengan Kuwait.

Lalu Iraq pun menyerang Kuwait pada tahun 1990. Pada tahun 1991 AS dan negara-negara sekutunya pula menyerang Iraq dan berjaya memusnahkan kebanyakan senjatanya.

Apa yang dilakukan oleh Asiaweek ke atas Abdul Hadi adalah sama seperti yang dilakukan oleh media Barat ke atas Imam Khomeni dan Saddam dalam perang Teluk pertama dan Saddam dan keluarga Al-Sabah dalam perang Teluk kedua.

``Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.'' - (az-Zumar 39:21)

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum