AGAMA

Mingguan Malaysia 03 Jun 2001

Islam dan harta intelek

AKHIR-akhir ini, kita sering mendengar istilah cetak rompak, sehingga kerajaan terpaksa menggubal undang-undang bagi melindungi harta intelek yang meliputi buku-buku, cakera padat video (VCD) yang biasa dicetak rompak oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Soalan saya, apa hukum cetak rompak. Sejauh mana Islam melindungi hak pencipta dan pengkarya daripada dicerobohi. Apa hukum mencetak buku-buku agama tanpa kebenaran pengarang, bagi tujuan menyebar Islam, bukan untuk niaga. Bolehkah cetakan buku-buku agama tanpa izin itu dianggap sebagai cetak rompak. Saya mengucapkan terima kasih atas penjelasan tuan.

- GHAZALI, Pasir Puteh, Perak.

Jawapan: Istilah cetak rompak sepanjang pengetahuan saya tidak wujud dalam kitab-kitab fikah Islam dan tidak pernah dibincang ulama mujahidin dalam beberapa abad yang lalu. Justeru kejadian ini merupakan kegiatan yang melumpuhkan ekonomi individu, masyarakat dan negara, maka kerajaan mengambil langkah menggubal undang-undang bagi melindungi hak pencipta dan pengkarya, atau diistilahkan dengan kawalan harta intelek.

Undang-undang kawalan harta intelek yang termasuk di bawahnya berbagai-bagai akta, seperti Akta Hak Cipta, Akta Cop Dagangan, Akta Reka Bentuk, Akta Cakera Padat dan lain-lain, adalah bertujuan melindungi hak individu atau syarikat daripada dicerobohi dengan sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Islam tidak menolak semua peraturan dan undang-undang yang digubal bagi menegakkan keadilan sesama manusia, termasuklah undang-undang mengawal harta intelek, walaupun undang-undang itu menurut Dr. Abdul Karim Zaidan belum dibincang dalam syariat Islam, tetapi beberapa pendekatannya dapat diusahakan melalui ijtihad ulama semasa, sama ada secara individu atau kolektif.

Mungkin ada perbezaan antara undang-undang sivil dan syariat Islam dari segi tarif harta dan jenis-jenis harta intelek yang ingin dilindungi, antara harta halal dan haram, kerana Islam sangat serius dalam membanteras perkara yang haram dan mungkar, terutama bahan-bahan yang boleh merosakkan akhlak manusia.

Intellectual property atau al-milkiyyat al-fikriyyah yang diterjemahkan dengan harta intelek dan dilindungi undang-undang, belum disepakati ulama pada menentukan jenisnya, sama ada dianggap sebagai harta atau bukan harta, kerana harta intelek itu pada umumnya bukan berupa benda yang boleh dilihat dan disentuh, tetapi lebih merupakan faedah yang diperolehi hasil daripada pemikiran intelek dan kepakaran seseorang individu.

Sebagai contoh, buku-buku dalam perpustakaan adalah harta, tetapi tidak dianggap harta intelek. Ilmu dan hasil kepakaran yang terkandung di dalam sesebuah buku yang dikarang oleh seorang ilmuwan, dikira sebagai harta intelek milik pengarangnya. Bolehkah hasil ilmu dan kepakaran yang terkandung dalam buku itu dijual beli atau dipindah milik daripada pengarangnya kepada orang lain? Mengapa boleh atau mengapa tidak boleh.

Imam Abu Hanifah berpendapat al-manafi (faedah), seperti hasil kepakaran dalam sesebuah buku, tidak dianggap harta, kerana faedah tidak boleh disimpan untuk kegunaan pada waktu-waktu tertentu dan ia hanya sifat bukan benda. Sebaliknya, jika harta pasti ia boleh disimpan dan diguna pada waktu-waktu dikehendaki, kerana ia adalah benda.

Jumhur ulama berpendapat, harta intelek boleh dianggap harta, oleh itu ia boleh dijual beli, boleh dipindah milik dan sebagainya, kerana harta dicipta Allah bagi faedah manusia, demikian juga dengan harta intelek. Tambah mereka lagi, bahan-bahan yang dianggap harta itupun hanya bernilai kerana faedah dan kegunaannya. Tanpa faedah, bahan-bahan tersebut tidak mempunyai apa-apa makna lagi.

Saya bersetuju dengan pendapat jumhur ini, kerana Nabi s.a.w. pernah mengahwinkan seorang lelaki bermaskahwinkan al-Quran. Menurut Ibn Hajar, lelaki atau suami itu nanti dikehendaki mengajar al-Quran kepada isterinya, sebagai ganti bayaran mas kahwin. Ini bermakna al-Quran itu tidak dijadikan mas kahwin, tetapi faedah atau ilmu tentang al-Quran itu yang dikira harta dan sekali gus sebagai mas kahwin.

Atas dasar ini, harta intelek mempunyai asas yang kukuh untuk dilindungi atas sifatnya sebagai harta, sama ada kepunyaan individu, syarikat atau lain-lain. (Dr. Abdul Karim Zaidan, Nazarat fi al-Shariah al-Islamiyyah).

Atas dasar yang sama juga, sebahagian ulama mengharuskan jual beli harta intelek dan hasil kepakaran, seperti hasil ciptaan buku, cop perniagaan, program komputer, cakera padat video (VCD) dan lain-lain. Hak pengkarya buku dan lain-lain tidak boleh dicerobohi, setelah dilindungi undang-undang dan akta-akta tertentu.

Antara manafi (faedah) yang dikategorikan sebagai harta intelek itu, ada yang haram menurut syariah, tetapi tidak haram menurut sesetengah undang-undang awam, seperi video lucah, kartun Pokemon, filem-filem yang menghina agama dan nabi dan sebagainya. Bahan-bahan ini sudah tentu tidak dianggap harta menurut syarak, tetapi harta yang dilindungi menurut undang-undang.

Buku-buku yang dilindungi hak ciptanya juga ada yang haram menurut syarak, seperti buku-buku yang menyebar ajaran sesat dan fahaman yang mencemarkan ajaran Islam. Buku-buku ini sepatutnya tidak dianggap harta intelek sekali gus tidak dilindungi undang-undang.

Persoalan yang berbangkit di sini ialah buku-buku agama yang mengandungi ajaran Islam yang disah benar, berpandukan al-Quran dan al-hadis, bolehkah ia dijual dan dipindah milik, seterusnya bolehkah pengarangnya mendapatkan royalti daripada pihak penerbit dan menentukan kadar harganya, menurut mutu dan faedah yang boleh diambil daripadanya.

Ulama kini rata-rata berpendapat, pengarang buku harus menjual dan memindah milik buku karangannya, ia harus menentukan kadar harga dan royalti mengikut kehendaknya, ia harus mengambil upah pada pengajaran yang disampaikannya, mengikut kadar yang munasabah.

Di sini bermulalah kegiatan cetak rompak, setelah buku dan hasil intelek itu dilihat boleh diniaga dan mendatangkan keuntungan yang besar. Bagi mengatasi kegiatan inilah, maka undang-undang digubal bagi memelihara hak cipta dan harta intelek.

Ulama silam berpendapat, ilmu tidak boleh dijual beli, tidak boleh diniaga dan diambil faedah berupa keduniaan. Kitab-kitab agama yang dikarang, hendaklah disebar kepada umum dengan ikhlas kerana mengharapkan keredhaan Allah.

Sesiapa yang mencari keuntungan di dunia menerusi ilmunya, nescaya dibimbangi termasuk dalam golongan manusia yang dilaknat Allah serta dijanji neraka kepadanya, disebabkan dosa menyembunyikan hukum Allah atau menyulitkan dari pengetahuan umum. Firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan keterangan kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka tidak mengisi ke dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka dari dosa dan mereka pula akan beroleh azab sengsara yang tidak terperi sakitnya. - (al-Baqarah: 174).

Ulama kini, dari seluruh mazhab dan aliran sepakat berpendapat, harus mengambil upah daripada usaha dan kegiatan berupa agama, kerana zaman sudah jauh berubah. Jika tiada upahan diberi, mungkin tergendala seluruh usaha dan kegiatan agama, kerana tiada pihak yang sanggup berkhidmat secara percuma, sedangkan agama ini mewajibkan umatnya menegakkan syiar Islam di mana-mana jua mereka berada.

Dr. Yusuf al-Qaradawi menambah beberapa alasan lagi yang mewajarkan pengkarya dan empunya harta intelek mengambil faedah daripada hasil kepakarannya, iaitu:

1. Sesebuah buku adalah milik pengarangnya dan dipertanggungjawab sepenuh kepadanya. Hak miliknya diiktiraf undang-undang di seluruh dunia.

Pengarangnya mempunyai hak sepenuhnya untuk mengubah, menokok tambah dari semasa ke semasa. Jika seseorang memiliki rumah, ia berhak melakukan apa sahaja ke atas rumahnya, sama ada menjual, menyewa dan mendudukinya, begitu juga dengan buku karangannya.

2. Tidak mudah untuk menghasilkan sesebuah karya. Pengarang biasanya terpaksa berusaha lebih gigih, ia perlu mengkaji dan menyelidik. Masa yang diambil untuk menyiapkan sesebuah buku, ada yang bertahun-tahun lamanya sebelum ia berjaya dilahirkan di alam nyata.

3. Tidak mudah untuk hidup sebagai seorang ilmuwan yang produktif, ia terpaksa bersusah ketika orang lain berehat, ia memerlukan perbelanjaan yang lebih besar, kerana membeli buku-buku dan alat-alat tulis, berbanding kehidupan orang biasa.

4. Pengarang buku, harus menyemak dan mengubah kandungan bukunya dari semasa ke semasa, kadang-kadang cadangan yang pernah dimajukannya dahulu perlu ditarik balik dan diganti dengan yang lain, pendapat yang dahulunya relevan, mungkin kini tidak relevan lagi dan perlu ditukar dengan idea-idea baru dalam cetakan-cetakan yang berikutnya.

Kehidupan yang selesa bagi seorang pengarang, hendaklah memiliki sebuah perpustakaan peribadi yang lengkap untuk kegunaan akademiknya. Ia memerlukan komputer dan perisian terkini, mesin penyalin dan penghawa dingin yang cukup bagi memelihara koleksi perpustakaannya.

Ia juga memerlukan sara hidup yang cukup untuk diri, keluarga dan anak-anaknya. Tanpa kemudahan ini, karangan yang baik dan bermutu tidak akan berhasil. Dari mana perbelanjaan ini jika tidak daripada usaha dalam bilik perpustakaannya.

Bicara tentang hasil faedah daripada harta intelek atau buku-buku agama karya sendiri, lebih banyak menyamai upah kerana mengerjakan amal kebajikan seperti azan, mengajar al-Quran, khutbah Jumaat, ceramah agama, sembahyang hajat dan amalan yang dahulunya dilakukan secara percuma tanpa sebarang bayaran, tetapi kini dianggap sebagai kegiatan yang memerlukan upah. Kecenderungan ini, tidak kedengaran ada ulama atau mufti membantahnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum