AGAMA

Mingguan Malaysia 03 Jun 2001

Belitan Hadi tersimpul mati

Oleh: NIHAZ MOHD. YUSOFF (nihaz@post.com)
WAWANCARA Mingguan Malaysia dengan Hadi Awang pada 27 Mei 2001, menyaksikan bagaimana Hadi Awang tetap tidak berganjak dan sekali lagi mempertahankan amanatnya.

Hadi langsung tidak melindungi keangkuhannya dan dengan mudah menyatakan yang setakat ini hanya hujah orang bawahan sahaja yang didengarinya atau dalam erti kata lain dia hanya layak mendengar atau mengambil kira hujah orang yang setaraf dengannya.

Soalnya, siapakah yang meletakkan tarafnya? Sebenarnya hujah dan perbincangan terperinci berkenaan amanat Hadi telah dibentangkan berkali-kali di akhbar oleh para ilmuwan agama termasuk Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad, penulis sambilan yang terdiri daripada ustaz-ustaz serta saudara Astora Jabat.

Hadi lupa bahawa sekiranya perpaduan ummah yang difikirkannya dan bukan kuasa atau pengaruh politik yang dicarinya, maka bukan cara berhujah, siapa yang berhujah dan bagaimana hujah itu dibentangkan yang menjadi pokoknya. Apa yang perlu difikirkan oleh Hadi ialah akibat atau kesan dari amanat tersebut terhadap perpaduan ummah.

Kata Hadi, dia tidak mengkafirkan orang UMNO sebaliknya menyatakan batasan iman dan kufur saja. Walau apa pun yang dikafirkannya dan bagaimana dia ingin menjelaskannya pada Allah bukanlah masalah kita. Kita tidak ingin tahu sama ada dia berdosa atau sama ada tuduhan kafir itu berbalik kepadanya.

Yang kita tahu ialah masyarakat kita telah berpecah kerana amanatnya. Justeru, jika benar dia tidak bermaksud mengkafirkan sesiapa, sudah menjadi tugasnya untuk membetulkan fahaman penyokongnya atau membetulkan amanatnya atau jika keadaan masih tidak pulih, dia perlu menarik balik amanatnya (walaupun amanat itu tidak bermaksud sedemikian), demi kebaikan dan perpaduan ummah.

Ini kerana, walaupun Hadi menafikannya dengan seluruh jiwa raga sekalipun, penyokongnya masih lagi sewenang-wenangnya memanggil penyokong UMNO sebagai kafir dengan begitu yakin sekali.

Penulis sendiri, penyokong-penyokong UMNO yang sering berdebat dengan mereka, saudara Astora Jabat dan penulis percaya, Perdana Menteri juga sudah mangli dengan tuduhan kafir ini.

Sekali lagi ditegaskan, kita tidak ingin tahu sama ada penyokong-penyokong Pas ini berdosa atau tidak atau sama ada tuduhan kafir yang mereka lemparkan pada kita berbalik kepada mereka kerana itu adalah tugas Allah.

Apa yang kita ingin tahu ialah adakah Hadi langsung tidak merasa tempias tanggungjawab terhadap apa yang penyokongnya ucapkan itu.

Jelas sekali, penyokong Pas juga tidak sependapat dengan pemimpin mereka dan kadangkala tidak sependapat sesama rakan seperjuangan mereka juga.

Ini boleh dilihat dalam perdebatan dan hujah-hujah mereka yang sering kali tidak konsisten antara seorang penyokong Pas dengan penyokong Pas yang lain.

Dalam isu pengkafiran ini, ada penyokong Pas yang bermati-matian tidak mengaku bahawa Pas atau Hadi Awang mengkafirkan UMNO atau orang UMNO. Tetapi, sesetengah penyokong mereka pula bermati-matian menempelak kita, para penyokong UMNO, sebagai kafir dengan begitu megah sekali, siap dengan doa agar kita dilaknati Allah.

Sebenarnya Pas sudah kehilangan punca belitan kerana tali mereka yang bercabang empat parti itu akhirnya membelit leher mereka sendiri. Hujah yang tidak berasaskan kebenaran tetapi pendapat semata-mata tentu sekali berserabut di hujungnya.

Wawancara dengan Haji Hadi juga menunjukkan satu lagi belitan Pas yang tidak menjadi, malah tersimpul mati iaitu mengenai beberapa pendirian Pas. Pendirian Pas, seperti yang kita ketahui amatlah lemah. Pendirian Pas mengenai negara Islam sudah lama cair dalam dakapan mesra Lim Kit Siang.

Pendirian Pas mengenai hudud juga terpadam dek kejutan mendapat kuasa di Terengganu. Begitu juga pendirian Pas mengenai arak dan babi juga sudah sama dengan pendirian UMNO. Kini, kita lihat pendirian Pas mengenai wanita juga, seperti kata Hadi, sudah kian berubah dan hampir sama dengan UMNO dan wanita sudah boleh melibatkan diri dalam politik.

Dan yang paling glamor adalah pendirian mengenai pakaian yang sudah mengikut cita rasa UMNO hingga mereka terlupa terus bagaimana mereka mengutuk hingga kehabisan kata-kata terhadap kot dan sut Perdana Menteri satu ketika dahulu.

Tinggal tidak berapa lagi pendirian Pas yang tidak menyerupai UMNO termasuk pengasingan lelaki dan wanita dalam majlis.

Bagaimanapun, perkara-perkara seperti itu hanyalah sebahagian makanan yang terlekat di celah gigi. Makanan yang perlu kita telan untuk mengenyangkan bagi menjadikan sesuatu perjuangan itu berbaloi ialah Pas perlu menetapkan pendirian mereka mengenai dasar pendidikan, dasar ekonomi dan langkah-langkah menghadapi globalisasi.

Jika Pas tidak boleh menyediakan makanan ini dengan lebih enak daripada UMNO, maka tidak wajarlah penyokong Pas terus memerah otak untuk membela Pas.

Dan sekiranya makanan yang disediakan Pas sama sahaja dengan apa yang telah dihidangkan oleh UMNO selama ini, maka seeloknya para penyokong Pas berhenti mencuba membuka belitan Pas kerana mereka tidak mungkin berjaya membuka simpul mati belitan dari empat utas tali yang berserabut.

Adalah dinasihatkan agar mereka potong sahaja tali Pas yang berserabut tersebut dan sambutlah tali UMNO yang lurus dan tidak bersimpul atau berbelit yang telah kita paut selama lebih 40 tahun.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum