AGAMA

Mingguan Malaysia 03 Jun 2001

Isteri selalu melambatkan solat

SOALAN:Saya sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Kami bahagia, tetapi perangai isteri saya ialah suka melambatkan sembahyang isyak hingga hampir subuh, asar hampir maghrib dan kerap mengqadakkan sembahyang tanpa sebab. Ini adalah masalah besar pada saya. - MOHD. SAIFUL NIZAM, Kuala Lumpur.

Jawapan: Dalam membicarakan masalah seperti ini, beberapa perkara asas perlu difahami. Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Allah (Yusuf: 53). Demikianlah penjelasan al-Quran mengenai kecenderungan tabiat manusia.

Selain itu, Allah s.w.t. menjadikan tabiat asal manusia itu dalam keadaan resah gelisah, tidak kira sama ada ketika dalam keadaan susah ataupun senang. Walaupun demikian, andainya seseorang itu beriman kepada Allah dan berupaya melakukan ibadah sembahyang dengan lengkap, sempurna dan diterima Allah, maka sikap buruk tersebut akan hilang hasil daripada ibadah yang dilakukan itu.

Manusia yang tidak beriman, atau beriman, percaya tentang kewujudan Allah, tetapi tidak melakukan apa yang telah difardukan, maka ia akan terus menerus dalam kegelapan dan lebih berkecenderungan untuk melakukan kejahatan.

Seperkara lain yang perlu disedari bahawa iblis dan syaitan itu sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah roh meninggalkan jasad. Dalam sebuah hadis qudsi dijelaskan bahawa iblis pernah bersumpah menyatakan: Demi kemuliaan-Mu, sesungguhnya aku tidak akan berpisah meninggalkan anak Adam, sehinggalah roh terpisah daripada jasad.

Andainya seseorang itu beriman dan mendapat pertolongan Allah, biarpun adanya tipu daya iblis maka dia akan kekal mati dalam iman, andainya tidak, hasil akibat daripadanya, seseorang itu akan mati dalam keadaan dosa, termasuk dosa-dosa besar, mati dalam keadaan syirik, murtad atau pun kufur. Satu kejayaan iblis dan syaitan untuk menghela manusia bersamanya ke neraka jahanam.

Biarpun iblis telah bersumpah menjelaskan azamnya sedemikian rupa, Allah s.w.t. menyatakan bahawa makhluk itu tidak mempunyai kekuatan atau keupayaan menyesatkan hamba-Nya, kecuali ke atas mereka yang mengikut langkah iblis dan syaitan yang terdiri daripada golongan sesat (al-Hijr: 42).

Allah s.w.t. menjelaskan bahawa sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran (al-Ankabut: 45) dan dalam masa yang sama iblis terus menerus berusaha untuk menyesatkan manusia. Kerana itu maka tidak peliklah kenapa iblis dan syaitan itu berusaha untuk menyekat manusia daripada melakukan sembahyang.

Iblis dan syaitan berusaha menghalang manusia agar jangan melakukan sembahyang. Andainya seseorang itu terus juga sembahyang, makhluk itu akan mengganggu ketika seseorang itu sedang mengambil wuduk. Rasulullah s.a.w. memberi amaran tentang adanya satu kumpulan iblis yang dinamakan ``al-Wilhan'' yang berperanan untuk mengganggu seseorang itu berwuduk, menyebabkan timbulnya was-was, lalu wuduk itu diambil mengambil masa yang panjang, berulang kali tanpa yakin.

Ketika mendirikan sembahyang iblis akan menimbulkan was-was hati iaitu ketika berniat, membaca al-Fatihah, mengganggu pemikiran menyebabkan seseorang itu tidak berupaya menumpukan konsentrasinya kepada ibadah yang dilakukan. Ketika itu timbul pelbagai lintasan, termasuk peristiwa yang dilihat di tengah jalan, di pejabat, rasa kecewa harga saham dan kelapa sawit yang menjunam dan lain-lain lagi termasuk gangguan yang timbul daripada gambar-gambar ataupun tenunan pada kain sejadah yang dijadikan alas tempat sembahyang.

Selain daripada tabiat manusia yang sukar hendak mendirikan ibadah sembahyang, iblis dan syaitan juga menipu manusia agar melengah-lengahkan sembahyangnya, yang mungkin berpunca daripada sifat malas semula jadi, didikan yang diberi atau suasana yang mempengaruhi. Seseorang itu mungkin melambat-lambatkan sembahyangnya kerana mesyuarat, terlalu asyik dengan kerja yang dilakukan, untuk menyudahkan tugas yang diberi dan sebagainya.

Untuk mengatasi masalah seperti ini seseorang itu perlu kembali kepada hukum asal, iaitu memahami hukum mereka yang melambat-lambatkan sembahyang seperti yang saudara kemukakan.

Dalam surah al-Maun: 4-5 dijelaskan, ``Maka kecelakaanlah bagi mereka yang sembahyang, iaitu orang yang lalai dari sembahyangnya.''

Menurut Saad bin Abi Waqqas, seorang daripada 10 sahabat yang dijanjikan syurga, yang meninggal dunia pada tahun 55H, menyatakan yang dia telah bertanyakan Rasulullah tentang maksud ``orang yang lalai sembahyang'' tadi. Baginda menyatakan bahawa yang dimaksudkan itu ialah mereka yang melambat-lambatkan sembahyang daripada waktunya.

Mereka ini tetap termasuk dalam golongan orang yang melakukan sembahyang, tetapi memandang enteng dengan melambat-lambatkannya. Bagi mereka adalah balasan neraka, yang dinamakan ``wail'', yang sangat berat azabnya. Menurut satu pendapat neraka wail itu adalah satu lembah yang terdapat di neraka jahanam. Andainya bukit-bukit yang ada di dunia itu diletakkan dalamnya, nescaya hancur luluh semuanya kerana terlalu panas.

Dalam sebuah hadis riwayat daripada al-Bayhaqi dinyatakan bahawa Umar bin Al-Khattab r.a. ada memberitahu, telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: Ya Rasulullah, apakah amalan yang paling dikasihi Allah dalam Islam. Baginda menjawab: Sembahyang dalam waktunya. Barang siapa meninggalkan sembahyang, maka tidak ada agama baginya. Sembahyang adalah tiang agama.

Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda yang bermaksud: Apabila seseorang hamba itu sembahyang pada waktu awal, maka sembahyang itu naik ke langit dengan cahaya, sehinggalah tiba ke arasy, lalu sembahyang itu memohon keampunan kepada Allah untuk tuannya sehingga hari kiamat. Ia berkata: Semoga Allah memelihara akan dikau sebagaimana engkau memelihara akan daku. Dan apabila seorang hamba itu sembahyang bukan pada waktunya, sembahyang itu naik ke langit bersamanya kegelapan. Apabila tiba ke langit ia dilipat, seperti pakaian yang dilipat, lalu dipukul dengannya pada muka tuannya, ia berkata: Allah s.w.t. mempersia-siakan akan dikau, sebagaimana engkau mempersia-siakan akan daku.

Keterangan di atas menjelaskan betapa Allah memberi peringatan amaran terhadap mereka yang melengah-lengahkan sembahyang. Andainya seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah dan menyedari betapa pedih dan sakitnya seksaan tersebut, dia akan sedar dan insaf dan tidak akan mengulangi perbuatannya itu.

Namun demikian, lumrahnya tidak mudah seseorang itu hendak mengubah tabiatnya yang telah menjadi darah daging. Dosa itu seperti sakit atau kerosakan yang ada pada jari-jari. Apabila satu jari itu rosak, maka akan bengkoklah jari tadi. Semakin banyak kesakitan yang terjadi, maka semakin banyaklah jari-jari yang bengkok, yang mungkin berakhir dengan kerosakan pada seluruh jari jemari tadi.

Adalah mudah untuk memulihkannya jika ia dirawat sebaik-baik sahaja jari itu membengkok. Ia akan pulih seperti sediakala bergantung kepada tahap kesakitan yang dialami, ubat yang digunakan, dan kekuatan badan si pesakit. Kerana itu penyakit perlu diubat lebih awal dan jangan dibiarkan merebak. Merawat dosa ialah dengan bertaubat.

Allah s.w.t. menyuruh setiap lelaki agar melayani isterinya dengan baik (an-Nisa: 19). Rasulullah s.a.w. menyuruh agar suami berlemah lembut kepada isteri, tidak berkeras untuk memperlihatkan kuasanya atau sifat kelelakiannya.

Kaum wanita diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok ialah tulang rusuk yang berada di atas sekali. Kalau tulang itu cuba hendak diluruskan ia akan patah, tetapi kalau ia dibiarkan seperti keadaannya yang asal, ia akan terus menerus bengkok.

Allah s.w.t. (Taha: 132) menyuruh setiap orang agar menyuruh keluarganya mendirikan sembahyang, dalam masa yang sama seseorang itu hendaklah bersabar mengerjakannya.

Jelasnya suami mesti memperingatkan isteri dengan bijaksana. Diingatkan tentang hukum Allah dan azab seksanya. Isteri juga perlu diperingatkan tentang kewajipan suami yang perlu dilakukan dan akibat yang akan dialami olehnya di dunia dan akhirat jika ia mengabaikan kewajipan itu.

Imam Tarmizi meriwayatkan satu hadis di mana Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: Orang yang paling lengkap imannya ialah mereka yang terbaik akhlaknya dan di antara kamu yang paling baik ialah orang yang terbaik perlakuannya kepada isterinya.

Isteri berhak mempelajari agama dan menerima nasihat daripada suaminya, maka di atas suami mengawasi pelaksanaan ajaran-ajaran yang diperlukan, terutamanya sembahyang tepat pada waktunya.

Jangan mendiamkan diri atau tidak mahu bercakap dengan isteri andainya isteri masih tidak mahu berbuat demikian ataupun membiarkan isteri terus menerus begitu sahaja. Suami akan disoal tentang tanggungjawabnya di hadapan Allah kelak.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum