AGAMA

Mingguan Malaysia 06 Jun 2001

PM lancar buku Penyebaran Islam di Kepulauan Indonesia-Melayu

PUTRAJAYA 5 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir melancarkan buku Penyebaran Islam di Kepulauan Indonesia-Melayu di sini, hari ini.

Buku setebal 500 muka surat itu diterbitkan oleh Institut Kajian Sosiologi Malaysia (MSRI) dan disunting oleh pengerusinya, Dr. Alijah Gordon.

Dr. Mahathir berkata, banyak yang boleh dipelajari oleh rakyat negara ini melalui buku sejarah itu.

Katanya, ia memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia dan Indonesia terutama dari segi sejarah penyebaran Islam.

``Islam dibawa ke rantau ini bukan sahaja oleh orang Arab dan India Muslim tetapi juga Cina Muslim yang turut memainkan peranan penting menyebar Islam di Nusantara,'' katanya semasa berucap pada pelancaran buku tersebut.

Turut hadir ialah Dr. Alijah, ahli Lembaga Pengarah MSRI, Datuk S.M. Idris dan Datuk Fuad Hassan.

Buku tersebut diterbitkan sebanyak 2,500 naskhah dan 1,650 daripadanya didermakan ke sekolah-sekolah menengah seluruh negara untuk dijadikan rujukan.

Dr. Mahathir juga menekankan kepentingan mempelajari sejarah untuk mengelak daripada mengulangi kesilapan lalu.

Katanya, negara memerlukan lebih banyak organisasi yang mencontohi MSRI dalam mendokumentasikan peristiwa di Malaysia kerana kebanyakan orang tidak mengetahui tentang sejarah.

``Orang yang melupai sejarah akan melakukan kesilapan lagi dan lagi baik untuk kita membaca semula sejarah supaya elak melakukan kesilapan,'' jelasnya.

Perdana Menteri berkata, umat Islam perlu mengikis pandangan salah yang mengatakan perbuatan mempelajari ilmu dalam bidang lain selain bidang agama adalah sekular.

Katanya, umat Islam terhutang budi kepada pelayar-pelayar terdahulu yang berjaya mengelilingi dunia dengan peralatan yang minimum, yang menyebarkan Islam di kepulauan ini.

``Umat Islam harus sedar tentang keupayaan dalam bidang pelayaran, membina kapal, sains dan teknologi juga menyumbang kepada pembangunan Islam,'' tambahnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum