AGAMA

Utusan Malaysia 06 April 2001

Fitnah dan peranan ulama

Oleh: ASTORA JABAT
Penulis melakukan kesilapan yang agak besar secara tidak sengaja dalam ruangan ini minggu lepas. Ini kerana penulis berkata bahawa Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md. Taib pernah bersetuju membuat rakaman video dengan salah seorang mangsa salah laku seks seorang pemimpin politik ketika beliau masih menjadi Imam Besar Masjid Negara.

Setakat berkata begitu belum lagi dianggap melakukan kesilapan kerana betul Taib Azamudden bersetuju membuat rakaman itu ketika beliau masih menjadi imam besar Masjid Negara.

Tetapi yang dianggap menjadi kesilapan apabila penulis berkata bahawa dikatakan beliau (Taib Azamudden) bersetuju membuat rakaman luahan hati mangsa berkenaan kerana berniat untuk merencanakan perkara itu bagi menentang menentang politik tersebut dan sekali gus membantu Pas menjatuhkan kerajaan.

Penulis berkata begitu berdasar kepada sebuah sumber penting yang selama ini tidak pernah melakukan kesilapan dalam menyalurkan maklumat kepada penulis.

Penulis menyedari maklumat dari sumber berkenaan tidak tepat setelah diberitahu oleh seorang kawan yang terlibat dalam memperkenalkan mangsa kepada Taib Azamudden.

Dengan itu penulis meminta maaf secara terbuka kepada Taib Azamudden di atas kesilapan yang tidak sengaja itu.

Sebagai seorang penulis yang bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis di dunia dan akhirat tidak menjadi masalah langsung untuk membuat pengakuan dan meminta maaf terhadap kesilapan yang telah dilakukan.

Meskipun penulis berada di pihak kerajaan, tetapi tidak mungkin bercakap tidak benar terhadap pemimpin-pemimpin Pas. Ini prinsip penulis. Penulis dapat menjadi penulis yang mempunyai ramai pembaca daripada pelbagai kalangan termasuk puak pembangkang adalah kerana mempunyai prinsip dalam penulisan. Antara prinsip yang dipegang oleh penulis ialah bercakap benar, rasional dan membincang pemikiran.

Dalam Islam tidak dianggap salah seseorang itu melakukan kesilapan kecuali orang itu tidak mahu mengaku salah dan tidak mahu mempelajari daripada kesilapannya.

Malah penulis amat bangga jika ada orang mengkritik penulis secara ilmu dan rasional dan membuktikan kesilapan dan kelemahan dalam isu yang pernah dibincangkan dalam ruangan ini dan ruangan Bicara Agama.

Tetapi malangnya kebanyakan kritikan yang diterima tidak ada langsung yang menunjukkan pengkritik-pengkritik mahu berbincang secara ilmu dan rasional.

Ada yang mengkritik penulis merupakan lepasan universiti dalam negeri dan ada yang merupakan ustaz berkelulusan luar negeri. Malah ada juga yang merupakan ulama Pas. Ulama itu menggunakan nama samaran dan mengirim kritikan melalui e-mel.

Berpindah kepada isu rakaman video mangsa salah laku seks pemimpin politik tadi. Sebenarnya penulis sendiri mengetahui cerita pemuda yang menjadi mangsa salah laku seks pemimpin politik itu. Dia berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan ahli agama bagi bertanya tentang cara untuk bertaubat dan membersihkan diri daripada dosa disebabkan membenarkan diri dipermainkan oleh pemimpin politik berkenaan.

Ada pihak meminta tolong penulis mencari ahli agama yang berkelayakan untuk kaunseling mangsa itu.

Penulis mencadang beberapa nama ahli agama kepada pihak tersebut dan nama ahli agama terulung yang penulis cadangkan ialah penjawab 1,001 Kemusykilan Agama dalam Mingguan Malaysia, Dr. Abdul Haiyie Abdul Sukor. Kemudian penulis mencadang beberapa nama ahli agama yang lain termasuk Taib Azamudden.

Bagaimanapun, penulis tidak mengetahui bahawa Taib Azamudden yang menjadi pilihan pihak berkenaan dan tidak juga mengetahui bila perjumpaan berlangsung.

Dengan itu penulis tidak sedar langsung ketika menyaksi rakaman video antara mangsa dengan Taib Azamudden bahawa itulah sebenarnya perjumpaan yang penulis turut mengetahui hasrat untuk diadakannya.

Selain kawan penulis itu menceritakan bagaimana perjumpaan antara mangsa dan Taib Azamudden itu berlangsung, penulis juga telah mendapat pengesahan daripada pihak yang mengatur perjumpaan itu dua hari lepas.

Dengan itu penulis tidak teragak-agak untuk meminta maaf kepada Taib Azamudden walaupun tidak setuju dengan sikap beliau membiarkan pemimpin-pemimpin Pas menggunakan isu salah laku seks pemimpin itu untuk memfitnah kerajaan.

Ketika menyaksi rakaman video itu dulu penulis pun kelam kabut sepertilah ramai orang lain kerana mengesyaki motif pihak yang membuat rakaman itu.

Yang menjadi tanda tanya besar penulis ketika menyaksi rakaman video itu ialah jika betul pihak itu membuat rakaman, kenapa Taib Azamudden yang merupakan ahli Pas bersetuju dibuat rakaman seperti dijelas sendiri dalam video itu?

Bukan main sukarnya untuk berhujah dengan orang-orang yang menyoal isu itu sebelum mengetahui pihak yang membuat rakaman.

Bagaimanapun, semua itu terjawab kini dan Alhamudillah, segala-galanya menjadi jelas dan nyata.

Namun begitu Taib Azamudden sebagai ahli agama tidak patut menyembunyikan perkara yang menjadi punca krisis terbesar menimpa negara itu kerana beliau mengetahui hakikat yang berlaku sepertimana ditunjuk dalam rakaman video.

Penulis percaya dengan satu kenyataan daripada seorang yang dihormati ramai sebagai imam besar Masjid Negara itu akan dapat menjadi penawar yang boleh membantu meredakan masalah.

Tunjuk perasaan dan rusuhan mungkin tidak akan berlaku dalam bentuk yang telah terjadi pada masa lalu.

Ataupun jika beliau tidak sanggup berbuat begitu kerana sebab-sebab tertentu, beliau boleh memberitahu hakikat sebenarnya kepada para pemimpin Pas. Ini agar mereka tidak menggunakan salah laku seks pemimpin politk itu dalam bentuk fitnah yang dianggap dosa besar itu.

Tetapi malangnya Taib Azamudden sendiri turut bersubahat dengan pemimpin-pemimpin Pas yang menggunakan salah laku seks pemimpin politik tersebut untuk memfitnahkan kerajaan.

Pas menggunakan isu salah laku seks pemimpin politik itu dalam dua peringkat. Pertama, menggunakan isu berkenaan semasa pemimpin politik itu berada dalam kerajaan. Seperti biasa Pas mahu menggunakan isu seperti itu untuk meraih sokongan politik.

Dalam peringkat ini Pas menentang pemimpin politik itu dan kerajaan sekali gus.

Kedua, selepas pemimpin politik itu dipecat dari kerajaan dan parti, Pas pula menggunakan isu pemecatannya dari aspek lain tetapi tujuannya sama.

Ia beralih menyokong pemimpin politik yang ditentang dulu kerana ingin menggunakannya untuk menjatuhkan kerajaan. Ini seolah-olah Pas yang memerangkap kerajaan melalui polisi adu domba.

Sepatutya rakaman video atau bukti yang boleh meyakinkan orang-orang yang menyaksinya itu perlu muncul lebih awal. Penulis percaya jika perkara itu berlaku, Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pun tidak perlu masa selama tujuh tahun untuk mempercayai amalan rendah moral yang dilakukan oleh pemimpin politik itu.

Malah ia juga boleh menyelamatkan beberapa ramai ahli UMNO daripada berpindah parti.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi