AGAMA

Mingguan Malaysia 08 April 2001

Usah libatkan mufti dalam muzakarah

KUALA LUMPUR 7 April - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menegaskan, golongan mufti tidak perlu dilibatkan dalam muzakarah dengan Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, ini kerana keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung Amanat Haji Hadi pada 1986 adalah jelas dan muktamad.

``Majlis berkenaan memutuskan Amanat Haji Hadi adalah bercanggah dengan Islam dan ini adalah sesuatu yang telah dipersetujui 15 tahun lalu,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Oleh itu, beliau menegaskan, adalah tidak perlu mufti dilibatkan dalam muzakarah ini kerana mereka telah memutuskan isu yang mahu dibincangkan pada muzakarah itu.

Malah, kata beliau, Majlis Raja-Raja pada 23 Mac lalu turut memutuskan perbuatan mengeliru dan menyelewengkan perkataan Islam adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip syariat Islam dan boleh dikenakan tindakan menurut peruntukan undang-undang sedia ada.

``Keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 adalah juga keputusan semua mufti. Jadi, perlu apa lagi muzakarah.

``Kini bukan masanya untuk berbincang secara ilmiah. Jika terbukti amanat tersebut mengelirukan, tindakan perlu diambil segera,'' katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim yang meminta semua mufti terlibat dalam muzakarah mengenai Amanat Haji Hadi jika ia dianjurkan oleh majlis itu, bulan depan.

Menurut Dr. Ismail, beberapa ulama Islam lain juga akan diundang sekiranya muzakarah itu dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyarankan supaya muzakarah itu diadakan segera.

Pada 1986, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan Amanat Hadi sebagai bercanggah dengan ajaran Islam kerana dianggap amat berbahaya kepada keselamatan orang ramai dan akidah umat Islam.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Harussani menjelaskan, beliau tidak akan terlibat dalam muzakarah itu kerana mematuhi keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1986 dan Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

Bagaimanapun tegasnya, beliau tidak mengetahui pendirian mufti-mufti lain berhubung perbincangan dengan Pas itu.

``Saya sebenarnya tidak tahu menahu berkenaan dengan jemputan ke muzakarah itu. Saya hanya mengetahui perkara itu melalui akhbar,'' jelasnya.

Beliau menjelaskan, Majlis Fatwa Kebangsaan membuat kajian mendalam yang melibatkan semua mufti sebelum sebarang keputusan berhubung sesuatu perkara dibuat oleh Majlis Raja-Raja.

``Jika muzakarah untuk membincangkan amanat itu dibuat selepas keputusan dikeluarkan oleh Majlis Fatwa, itu tidak kena,'' tegasnya.

Beliau berpendapat, muzakarah itu sepatutnya diadakan sebelum Majlis Raja-Raja membuat sebarang keputusan berhubung penggunaan perkataan Islam pada nama pertubuhan.

Tambahnya, muzakarah itu sepatutnya dijadikan medan untuk mendesak Abdul Hadi menarik balik amanatnya.

Oleh: YUSRI SAHAT

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi