AGAMA

Mingguan Malaysia 08 April 2001

Golongan muda Islam digesa budayakan ilmu pengetahuan

KUALA LUMPUR 7 April - Golongan muda Islam digesa membudayakan ilmu agar dapat meningkatkan martabat agama di peringkat dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berkata, mereka perlu menguasai ilmu pengetahuan melalui usaha menyuburkan budaya membaca.

Dengan berbuat demikian, katanya, mereka akan berada di tengah-tengah kemajuan dunia dan bukannya ibarat `melukut di tepi gantang'.

Jelas beliau, golongan muda sepatutnya menjadi model penting yang mewarnai dunia dan masyarakat sekitarnya.

Menurut Abdul Hamid, mereka hendaklah berpegang kepada konsep ta'arafu iaitu perbuatan yang lahir daripada dua pihak yang mewujudkan perasaan ingin berurusan dan menghormati umat Islam.

``Kita perlu ada kriteria yang menyebabkan kita dihormati seperti kepakaran dan kemahiran.

``Kalau kita tidak ada apa-apa kemahiran, lekeh dan hina, siapa akan kenal kita dan siapa yang pedulikan kita,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penganugerahan sijil sesi 2000 dan sambutan 10 tahun Institut Kemahiran Baitulmal (IKB), di sini hari ini.

Pada majlis itu kira-kira 150 penuntut IKB menerima sijil masing-masing setelah menamatkan kursus selama setahun.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Abdul Hamid Othman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa sambutan, Che Min Che Ahmad.

Sementara itu, Che Min berkata, penubuhan IKB adalah sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah umat Islam dalam bidang seperti jahitan, masakan, pendawaian elektrik dan seni lukis kreatif.

Katanya, sejak beroperasi pada 18 Mac 1991, ia telah menghasilkan lebih 1,000 pelatih yang berkemahiran dalam bidang masing-masing.

``Pelatih di sini juga turut diajar ilmu fardu ain dan saya rasa mereka telah lengkap sebagai pelatih IKB apabila tamat kursus,'' tambahnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi