AGAMA

Mingguan Malaysia 08 April 2001

Kisah Firaun baik dalam surah Yusuf

Oleh: ASTORA JABAT
MINGGU ini penulis terpaksa membincangkan semula tentang firaun kerana ada perkara yang perlu diperjelaskan. Sekurang-kurangnya dua rencana lain akan menyusul dalam beberapa minggu akan datang.

Penulis berharap perbincangan mengenai firaun ini sedikit sebanyak dapat membuka mata mereka yang melihat firaun itu jahat belaka.

Dalam al-Quran terdapat sebuah surah yang membincangkan tentang firaun secara terperinci, iaitu surah Yusuf.

Kisah hubungan Nabi Yusuf alaihissalam dengan seorang firaun yang memerintah Mesir dalam al-Quran boleh membantu membuka mata mereka yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa ada di kalangan firaun yang berkuasa itu baik, beriman kepada agama Allah dan menjadi orang Muslim.

Ketika mengikuti pelajaran tambahan di luar pengajian agama di Jabatan Sastera Inggeris di Fakulti Sastera dan Ilmu-Ilmu Sosial, Universiti Mohamed V di Fez, Maghribi dulu penulis ada mempelajari surah Yusuf dari sudut drama.

Surah Yusuf merupakan surah yang unik kerana ia merupakan surah pertama yang menceritakan kisah seorang nabi secara lengkap. Mulai ayat pertama hingga ke ayat terakhir ia menceritakan secara lengkap pelbagai peristiwa yang dialami oleh Nabi Yusuf, baik ketika masih kecil mahupun ketika remaja dan dewasa.

Ini berbeza sekali dengan kisah para nabi lain yang diceritakan dalam pelbagai ayat secara bertaburan dalam al-Quran.

Terdapat dua sahsiah pemerintah dalam kerajaan firaun yang berhubung rapat dengan Nabi Yusuf.

Sahsiah pertama ialah seorang menteri dalam kerajaan firaun yang disebut dengan gelaran al-Aziz. Nama sebenar Al-Aziz ialah Qitfir menurut sahabat Rasulullah, Abdullah bin Abbas. Al-Aziz yang tua dan mandul itu bersama isterinya yang muda, Zulaikha membeli Nabi Yusuf dari pasar hamba untuk dijadikan anak mereka.

Allah berfirman: Dan (setelah Yusuf dijual di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: ``Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga dia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak.'' Dan demikianlah caranya Kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk Kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui - (Yusuf: 21)

Al-Aziz jugalah yang mengajar Nabi Yusuf ilmu mentafsirkan mimpi sebagaimana disebut dalam surah yang sama.

Sahsiah kedua ialah firaun yang disebut dalam surah Yusuf sebagai al-malik, iaitu raja.

Allah berfirman: Dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir: ``Bawalah dia kepadaku!'' Maka tatkala utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya menghadap raja), Yusuf berkata kepadanya: Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: ``Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka'' - (Yusuf: 50)

Sebagaimana diterangkan dalam salah satu rencana mengenai firaun yang disiarkan dalam ruangan ini baru-baru ini, firaun itu bermaksud raja dalam bahasa Melayu. Raja atau firaun yang memerintah pada zaman Nabi Yusuf itu bernama ar-Raiyyan bin al-Walid yang berasal dari kaum badwi Arab yang dikenali sebagai al-'Amaliq dalam bahasa Arab atau Hyksos dalam bahasa Mesir lama.

Mengapakah al-Quran menyebut firaun Nabi Yusuf ini sebagai al-malik (raja) dan menyebut firaun Nabi Musa alaihissalam sebagai al-fir'aun (firaun)?

Jawapannya kerana istilah firaun belum digunakan untuk maksud raja Mesir yang memerintah pada zaman Nabi Yusuf. Sebaliknya istilah firaun itu digunakan untuk raja Mesir yang memerintah pada zaman-zaman terkemudian termasuk zaman Nabi Musa.

Perlu diterangkan bahawa selepas terbentuknya istilah firaun untuk panggilan raja Mesir, maka semua raja yang memerintah Mesir tidak kira orang tempatan atau orang luar dinamakan firaun belaka.

Sebagai contoh bapa Cleopatra, Ptolemy XII yang memerintah Iskandariah di Mesir adalah firaun walaupun bukan bangsa Mesir tetapi berbangsa Roman.

Penulis tidak akan menceritakan seluruh kisah Nabi Yusuf yang disebut dalam surah Yusuf yang mengandungi 111 ayat itu.

Tetapi penulis hanya ingin menceritakan tentang kebaikan yang dilakukan oleh firaun terhadap Nabi Yusuf sebagaimana yang disebut surah Yusuf. Seterusnya penulis akan membawa pula pandangan ulama yang menyebut bahawa Firaun ar-Raiyyan menjadi orang beriman dan memeluk Islam.

Contoh kebaikan Firaun ar-Raiyyan yang disebut dalam ayat 54 daripada surah Yusuf ini berbunyi: Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata: ``Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya.'' Setelah (Yusuf dibawa menghadap, dan raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: ``Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami.''

Mengenai firaun yang dipercayai menjadi orang beriman dan Islam, ath-Tha'labi berkata bahawa raja Mesir pada zaman itu ialah ar-Raiyyan dan diriwayatkan bahawa dia tidak meninggal dunia kecuali sesudah beriman dengan Nabi Yusuf dan memeluk agamanya.

Wahab bin Munabbih berkata bahawa ar-Raiyyan menjadi orang beriman kerana jasa Nabi Yaakub.

Ibn Kathir pula menukil daripada Muhammad bin Ishak di mana dia berkata, empunya Mesir (raja) memeluk Islam.

Tetapi Ibn Zahirah berkata sebaliknya, iaitu Firaun ar-Raiyyan tidak menjadi orang beriman dan Islam.

Apa yang dimaksudkan Islam dalam konteks yang disebut oleh para ulama ialah merujuk kepada agama yang disebarkan oleh Nabi Yusuf. Ia merupakan agama Islam (penyerahan diri kepada Allah) dalam maksud yang umum yang diutuskan kepada umat manusia melalui semua nabi dan rasul sejak Nabi Adam alaihissalam sehingga Nabi Muhammad.

Ia bukan Islam yang khas diutus kepada umat manusia menerusi Nabi Muhammad s.a.w.

Bagaimanapun, Islam yang diutus kepada Nabi Muhammad merupakan kesinambungan bagi agama-agama Allah terdahulu termasuk Kristian dan Yahudi.

Selain itu penamaan Islam terhadap agama yang diutus kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah berdasarkan amalan penyerahan (al-Islam dan al-istislam) kepada Allah. Sedangkan penamaan agama Kristian dan Yahudi adalah merujuk kepada penyebar kedua-dua agama itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi