AGAMA

Mingguan Malaysia 08 April 2001

Tiada keahlian punca mengkafirkan orang Islam

Oleh: SYEIKH YUSUF AL-QARADAWI
PERKATAAN kafir adalah satu perkataan yang amat berbahaya, yang wajib ke atas semua muslim berhati-hati dan berfikir sejenak sebelum mengucapkannya - walaupun dia berhak atau layak melafazkannya ke atas orang lain - memandangkan bahaya yang dibawa oleh perkataan itu kepada orang yang berkata dan orang yang dikata, di dunia dan di akhirat.

Malah saya ingin tegaskan di sini bahawa hukum mengkafirkan seseorang manusia adalah satu jatuhan hukum yang benar-benar berbahaya.

Ini memandangkan kepada kesan-kesan berbahaya yang terjadi ekoran perbuatan tersebut, antaranya ialah:

1. Tidak halal bagi si isteri kekal bersamanya serta wajib dipisahkan antara kedua-duanya. Ini kerana, menurut ijmak (persepakatan) ulama, seorang perempuan Islam tidak sah menjadi isteri kepada seorang kafir.

2. Anak-anaknya tidak harus kekal di bawah jagaannya kerana dia tidak lagi bertanggungjawab ke atas mereka serta dikhuatiri akan mempengaruhi anak-anak dengan kekafirannya.

3. Hilang hak memerintah serta hak mempertahankan masyarakat Islam selepas dia keluar daripadanya dengan kekafiran yang nyata. Malah, dia wajib dipisahkan dan dikenakan sempadan serta had moral dalam masyarakat sehingga dia sedar dan kembali kepada kewarasannya.

4. Dia wajib dihakimi di hadapan hakim-hakim Islam untuk dilaksanakan ke atasnya hukum murtad selepas dinasihatkan supaya bertaubat, dihilangkan segala keraguan daripada pemikirannya dan dikemukakan kepadanya hujah-hujah.

5. Apabila meninggal, tidak dijalankan ke atasnya hukum-hukum Islam. Maka dia tidak dimandikan, tidak disembahyangkan dan tidak ditanam di tanah perkuburan Islam serta tidak berhak membuat wasiat sebagaimana dia tidak boleh mewarisi harta pesaka.

6. Sekiranya dia mati dalam keadaannya kafir, ia mengundang laknat daripada Allah, dijauhkan daripada rahmat-Nya serta kekal di dalam api neraka jahanam.

Justeru, ekoran hukuman-hukuman yang berbahaya ini, maka wajib ke atas sesiapa sahaja yang ingin mengkafirkan makhluk Allah berfikir berulang kali sebelum berkata apa yang ingin dikatakan.

Sehubungan itu, kita wajib merujuk kepada nas-nas daripada al-Quran dan sunah bagi menetapkan suatu kaedah atau fakta-fakta syari'e yang wajib dipegang dalam membahaskan tajuk berbahaya berkaitan agama Allah dan kehidupan manusia seperti kes pengkafiran ini.

Pegangan dan pergantungan kita secara keseluruhannya adalah kepada nas-nas yang tetap dan terpelihara daripada kitab Allah dan sunah rasul-Nya. Apabila kita bersaksikan dengan kata-kata sesetengah ulama, itu tidak bermakna kita mengiktiraf kata-kata mereka sebagai hujah, tetapi untuk mengambil nasihat atau pandangan daripada kefahaman mereka terhadap nas-nas supaya kita tidak terjerumus ke dalam keraguan dan waswas atau melagakan ayat-ayat dan hadis-hadis antara satu sama lain.

Dalam pada itu, kita juga berpegang bahawa umat terdahulu yang terdiri daripada sahabat dan sesiapa yang mengikut mereka adalah umat yang paling lurus jalannya, paling sah kefahaman dan yang paling fakih tentang roh Islam.

Maka, setiap apa yang kita peroleh daripada ulama salaf tentang sesuatu petunjuk atau panduan, kita tidak akan berpaling kepada ciptaan dan rekaan orang yang selepas mereka. Dengan penyaksian daripada Rasulullah s.a.w, mereka berada dalam sebaik-baik kurun.

Seterusnya, sesiapa yang mengikuti perkembangan dan sebab-sebab yang membawa kepada gejala pengkafiran ini, mereka akan dapati beberapa perkara, antaranya:

1. Merebaknya kekufuran dan kemurtadan secara nyata dalam masyarakat Islam serta sikap berlengah anggota masyarakat terbabit dengan kebatilan golongan kafir ini. Malah mereka menggunakan alat-alat penyiaran dan sebagainya untuk menyebarkan kekufuran mereka kepada masyarakat awam tanpa ada sesiapa yang menghalang atau mengembalikan mereka daripada kekufuran dan kesesatan.

2. Sikap mengambil mudah sesetengah ulama terhadap golongan kafir sebenar dan kewujudan serta bilangan mereka dalam masyarakat Islam sedangkan Islam bebas daripada golongan berkenaan.

3. Kelemahan kempen pemikiran Islam yang sejati dan dakwah Islamiah yang selari dengan al-Quran dan sunah. Selain itu, perbuatan membebankan diri mereka sendiri dan menyempitkan lingkungan dakwah mereka.

Bagi golongan pemikiran bebas, kelemahan dan sikap menyempitkan sedemikian hanya akan melahirkan hala tuju pemikiran yang menyeleweng, jauh daripada cahaya petunjuk serta perbincangan terbuka.

4. Kekurangan bekalan dalam diri pemuda-pemudi Islam dalam memahami Islam dan usul-usulnya serta tidak mendalami ilmu-ilmu Islam dan ilmu bahasa.

Keadaan ini menyebabkan mereka mengambil hanya sesetengah nas dan meninggalkan setengah yang lain ataupun mengambil nas-nas yang syubhat (diragui) dan melupakan nas-nas yang muhkamat (tetap). Mereka juga hanya mengambil serpihan-serpihan dan melupakan kaedah-kaedah yang menyeluruh serta memahami sesetengah nas dengan kefahaman yang tidak mendalam.

Begitulah keadaannya bagi mereka yang mengeluarkan fatwa pada perkara-perkara yang berbahaya tanpa keahlian dan kelayakan yang mencukupi.

Keikhlasan sahaja tidak mencukupi tanpa disandarkan kepada pemahaman yang mendalam terhadap syariat Allah dan hukum-hukum-Nya. Jika tidak, nescaya mereka akan terjerumus ke lembah yang pernah dihuni oleh kumpulan Khawarij sebelum ini, kumpulan yang mengesahkan hadis-hadis dengan pelbagai wajah atau cara, sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ahmad. Itupun dalam keadaan mereka benar-benar menjaga serta memelihara akidah dan amalan ibadat mereka.

Atas alasan inilah, imam-imam daripada ulama salaf mewasiatkan supaya ilmu dituntut sebelum beribadat dan berjihad supaya tidak terpesong dari jalan Allah tanpa disedari.

Imam Hassan Al-Basri pernah berkata: ``Orang yang beramal tanpa ilmu ibarat orang yang berjalan tanpa jalan. Dan orang beramal tanpa ilmu lebih banyak mendatangkan kerosakan daripada kebaikan. Maka tuntutlah ilmu dengan cara yang tidak memudaratkan ibadat dan beribadatlah dengan cara yang tidak memudaratkan ilmu.''

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi