AGAMA

Utusan Malaysia 09 April 2001

Masyarakat Islam diminta hentikan desakan

KUALA LUMPUR 8 April - Masyarakat Islam diminta menghentikan desakan terhadap Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang supaya menarik balik amanat yang dikeluarkannya 20 tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim berkata, sekiranya desakan itu terus menerus berlaku ia akan memberikan kelebihan kepada Abdul Hadi yang seolah-olah amanat tersebut dikeluarkan oleh orang yang mempunyai kuasa untuk memberikan satu pandangan rasmi.

Sedangkan katanya, amanat tersebut hanyalah pandangan peribadi Abdul Hadi sebagai pemimpin sebuah parti politik.

Beliau berkata, sekiranya benar amanat itu menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat, Abdul Hadi boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan atau Undang-Undang Ketenteraman Awam tanpa menyuruhnya menarik balik amanatnya itu.

``Amanat ini bukanlah datangnya dari Majlis Fatwa tetapi dibuat oleh seorang pemimpin politik pembangkang.

``Setiap kata-kata yang dikeluarkan masih terikat dengan undang-undang negara ini, maka tidak timbul isu untuk dia (Abdul Hadi) tarik balik amanatnya ini,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Cheras di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua UMNO bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al Habshee.

Pada 26 Mac lalu, Dr. Rais menegaskan Timbalan Presiden Pas itu boleh didakwa sekiranya `Amanat Haji Hadi' yang dikeluarkannya itu didapati bertentangan dengan agama dan telah memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

Katanya, undang-undang negara ini membenarkan seseorang itu didakwa jika didapati bertanggungjawab menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat.

Bagaimanapun diminta mengulas lanjut perkara itu, kata Dr. Rais, ia terserah kepada pihak pendakwa untuk menentukan sama ada Menteri Besar Terengganu itu perlu didakwa atau sebaliknya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi