Make your own free website on Tripod.com

AGAMA

Utusan Malaysia 09 April 2001

Usah gagalkan kemajuan umat

APABILA ada pihak melakukan tindak-tanduk yang boleh menggagalkan kemajuan umat Islam, maka saya percaya bahawa ia kerana jahil, naif dan salah faham.

Sudah tentu pihak berkenaan tidak mengakui bahawa mereka menghalang kemajuan umat Islam. Mereka mungkin menunjukkan penglibatan mereka dalam ekonomi dan perniagaan untuk membuktikan bahawa mereka tidak anti kemajuan.

Tetapi marilah kita lihat nasib umat Islam di seluruh dunia. Secara keseluruhan umat Islam di seluruh dunia mundur. Mereka ditindas seperti di Palestin, Kosovo dan Chechnya. Ataupun mereka kurang berpendidikan seperti di banyak negara di Asia dan Afrika. Jahil, naif dan salah faham, seperti yang berlaku di Arab Saudi, Afghanistan dan Indonesia menjadikan mereka bahan ketawa dunia. Soal Pokemon dan patung bersejarah pun menjadi masalah.

Di Malaysia, umat Islamnya agak maju berbanding dengan umat Islam di negara-negara lain. Tetapi berbanding dengan orang bukan Islam di negara sendiri, umat Islam masih jauh ketinggalan.

Bagi saya, perkara pertama yang menyumbang kepada kemunduran umat Islam ialah kita terlalu obses dengan soal-soal remeh-temeh yang kita fikir berkaitan dengan keagamaan.

Kita merasakan agama Islam itu terlalu kompleks dan memerlukan tumpuan fikiran sepenuhnya terhadap soal-soal yang kita kaitkan dengan agama hingga kita tidak ada masa atau kemampuan untuk memberi perhatian kepada perkara lain.

Memang benar, Islam seperti mana juga tamadun lain mempunyai sejarah panjang dan kompleks tetapi tidaklah bermakna keseluruhan masyarakat Islam harus memikirkan semua perkara yang berkaitan dengan agama.

Akibatnya ramai di kalangan masyarakat Islam menghantar anak-anaknya ke sekolah agama untuk sepenuhnya mempelajari hal agama. Jika ramai yang berbuat demikian, siapakah yang boleh menceburi sektor-sektor lain seperti pengurusan dan teknologi.

Tidaklah patut semua anak-anak umat Islam akan berakhir menjadi ulama. Siapakah yang patut bekerja di bidang lain kalau semua menjadi ulama?

Kita lihat saja anak-anak Afghanistan yang menjadi pelarian ke Pakistan semasa perang. Oleh kerana tidak ada peluang pendidikan bidang lain, maka hampir kesemuanya mempelajari agama. Sementara pendidikan sampingan ialah cara menggunakan senjata. Anak-anak muda inilah kemudiannya menjadi kumpulan Taleban yang menguasai Afghanistan. Mereka tidak mampu memajukan negara sendiri dan akhirnya sibuk dengan perkara-perkara yang tidak menguntungkan seperti meletupkan patung Bamiyan.

Mungkin anak-anak Afghanistan itu tidak berpeluang untuk belajar perkara lain selain daripada agama. Tetapi kita di sini mempunyai banyak peluang.

Jika kebanyakan anak-anak kita hanya dilengkapkan dengan kemahiran bahasa Arab, maka perlu diingat kegunaan praktikal bahasa itu hanya di Timur Tengah.

Saya percaya ajaran Islam bukan bermaksud seperti itu. Islam adalah agama mudah, ringkas, praktikal dan memberi kemajuan. Kerajaan Umayah, Abasiah dan Uthmaniah merupakan kuasa besar pada zamannya.

Sebaliknya kita terlalu sibuk dengan perkara-perkara remeh yang sebenarnya memalingkan kita daripada masalah besar yang dihadapi masyarakat kita.

Soal kafir-mengkafir, Amanat Hadi dan macam-macam lagi perkara yang tidak konkrit akan hanya menyibukkan kita untuk bergaduh sesama sendiri.

Sedangkan umat Islam di negara ini terus ketinggalan. Lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris dan tidak berani tampil untuk berdepan dengan pelbagai peluang kemajuan termasuk dalam soal teknologi maklumat (IT).

Oleh kerana terlalu sibuk membaca tentang soal remeh-temeh agama dan politik sempit, dan mendengar ceramah tentang perkara remeh-temeh, akhirnya kita tidak dapat mengejar kemajuan terkini dalam bidang-bidang moden.

Percayalah, akhirnya umat Islam akan ketinggalan dan silap haribulan, boleh dijajah dan ditindas oleh umat lain.

Pada zaman IT dan globalisasi, terlalu banyak maklumat dan ilmu yang tersedia hingga tidak ada sesiapa boleh memahirkan diri dalam kesemuanya. Kita harus pandai memilih bidang untuk penguasaan kita dan sama-sama menyumbang kepada keperkasaan dan kemajuan umat.

Umat Islam bukan saja daif dan naif, tetapi jahil dan salah faham. Hanya ilmu yang boleh membetulkan keadaan. Tetapi untuk mendapatkan ilmu yang sesuai dengan zaman, perubahan sikap perlu ada.

Sikap yang tahu meletakkan keutamaan sebenar iaitu janganlah terperangkap dalam perkara remeh-temeh yang tidak ada kesudahan dan penghujungnya. Pada zaman ini, kita terpaksa bergaul dengan orang bukan Islam, baik dari dalam negeri atau luar negeri.

Untuk itu, kita mestilah progresif, positif dan berfikiran terbuka. - HAIKAL NOR, Rawang, Selangor.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi