AGAMA

Utusan Malaysia 11 April 2001

Imej Islam tercemar jika umat mundur - Pak Lah

KUALA LUMPUR 10 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, imej Islam akan tercemar jika negara ini dan umat Islam tidak berjaya serta terbenam dalam lubuk kemiskinan dan kemunduran.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, tidak ada sesiapa yang akan menghormati agama dan orang Islam jika mereka sendiri tidak berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.

``Sedang kerajaan meneruskan komitmen untuk menegakkan syiar Islam dan menerapkan nilai-nilai murni, kita mesti memastikan umat Islam di negara ini berjaya dan melambangkan keagungan agama kita yang sempurna ini,'' katanya.

Sehubungan itu, kata Abdullah, Dasar Wawasan Negara (DWN) yang merupakan manifestasi semangat Islam yang sebenar adalah visi yang akan dapat memartabatkan umat Islam dengan tumpuannya bukan sahaja kepada keadilan sosial tetapi galakan untuk memastikan negara ini terus maju dan berjaya.

Tambah beliau, transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan secara langsung menyambut seruan agama Islam untuk mendapat dan menimba ilmu pengetahuan.

``Insya-Allah dengan pelaksanaan DWN, ummah akan dapat maju dan akan dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Ini adalah Islam yang sebenar, Islam yang mendorong umatnya untuk menjadi manusia berjaya, bermartabat, berilmu dan beriman,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menggulung perbahasan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Abdullah turut menegaskan tanpa wujudnya masyarakat yang bersatu padu, pembangunan ekonomi hanyalah satu impian.

Dalam hal ini, katanya, kerajaan percaya adalah sangat penting rakyat mempertahankan kedaulatan pertiwi daripada ancaman luar.

``Dan pada masa yang sama memastikan rakyat negara ini selamat daripada ancaman ketidakstabilan dan keganasan di dalam negeri,'' jelasnya.

Kata Timbalan Perdana Menteri, keganasan yang tercetus baru-baru ini di Petaling Jaya Selatan mengingatkan semula hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum

Bagaimanapun, katanya, tuduhan pembangkang bahawa dasar-dasar kerajaan sebagai punca keganasan itu bukan sahaja tidak adil malah dilakukan tanpa soal selidik yang sepatutnya.

Jelas beliau, sejak dahulu lagi kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mempraktikkan dasar berkembar iaitu penyusunan semula masyarakat dan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum serta perkongsian kuasa politik.

``Kami berazam untuk meneruskan formula ini.

``Pada masa yang sama, kerajaan menitikberatkan keadilan sosial yang dapat dilihat di dalam komitmennya untuk membasmi kemiskinan dan memberi peluang pendidikan bermutu kepada anak-anak kita,'' katanya.

Mengenai RRJP3, Abdullah berkata, ia adalah produk hasil persetujuan parti-parti komponen BN setelah mendapat maklum balas rakyat melalui Majlis Perundingan Ekonomi Negara II.

Oleh: ZULKIFLI HAMZAH

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi