AGAMA

Berita Minggu 07 April 2001

Islam: Carilah titik persamaan


Noor Azam Menulis

TIDAK bolehkah orang Islam bersatu dan bersama dalam hal-hal ibadah, pendidikan dan hukum-hakam mengenai agama? Umat Islam percaya bahawa Islam adalah agama paling sempurna. Tetapi mengapa kita terus bertelagah, malah bermusuhan, meskipun dalam perkara kecil seperti penggunaan masjid? Pada hal masjid adalah tempat suci, mulia, lambang keagungan dan perpaduan umat.

Dalam setiap ucapan menyambut hari-hari kebesaran Islam, Dr Mahathir menegaskan bahawa sejarah memperlihatkan kejatuhan umat Islam adalah kerana tidak boleh bermuafakat menyatukan kekuatan. Lagi sekali perkara ini ditegaskan dalam ucapan menyambut Maal Hijrah tahun ini. Barangkali ada yang tidak suka kepada Dr Mahathir kerana masalah politik. Tetapi bukankah apa yang dikatakan itu suatu kebenaran.

Alim ulama dan cerdik pandai Islam – khususnya Melayu – tentulah boleh duduk bersama mencari titik persamaan dalam aspek-aspek agama yang boleh dikerjakan bersama. Lupakan Dr Mahathir, Ustaz Fadzil Nor dan Tok Guru Haji Nik Aziz. Lupakanlah sebentar cita-cita politik parti yang kita sokong. Tumpukan kepada amalan ibadah, pendidikan dan hukum-hakam agama. Kita mempunyai cukup keahlian dalam bidang-bidang ini.

Malu amatlah rasanya kepada penganut-penganut agama lain di negara kita ini. Tidak habis-habis kita bertelagah dan tuduh-menuduh, umpamanya tentang penggunaan masjid, kematian dan perkahwinan. Tidak juga habis-habis kita bercakap tentang kafir mengkafir.

Kita mendabik dada bahawa orang Islam boleh dan patut menjadi pemimpin negara ini. Sedangkan mengurus masjid pun tak terdaya!



Padukan kekuatan

Pada tahun 60-an dan 70-an, ketika perjuangan bahasa sedang hebat, ahli bahasa, para penulis, wartawan, bersama pejuang-pejuang bahasa dari berbagai-bagai golongan masyarakat, bersungguh-sungguh berjuang dan bekerja membina dan mengembangkan bahasa. Tokoh-tokoh dan ahli agama berserta dengan imam-imam dan ribuan guru agama, pastilah boleh menggembleng fikiran dan tenaga yang lebih hebat lagi daripada gembelengan perjuangan bahasa itu

Dari segi suasana, minat dan kesedaran serta keghairahan orang kepada agama sekarang ini, hebat dan subur sekali. Majlis-majlis ceramah dan forum agama sentiasa mendapat sambutan luar biasa. Akan tetapi tiada usaha lanjutan yang kita rancang dan laksanakan dengan teratus-kemas dan berterusan.

Seperti yang saya sentuh dalam tulisan pertama pada 4 Mac lalu, aspek pengajaran dan pendidikan Islam amat tidak sempurna, meskipun sudah sampai ke peringkat universiti. Bidang ini dapat ditangani secara profesional, terlepas daripada hiruk-pikuk politik.

Tradisi ilmu dalam Islam cukup lama dan amat kuat. Bukankah al-Quran itu sumber ilmu dan pendidikan yang lengkap tak terbatas? Usaha pendidikan tahfiz sedang berkembang. Tetapi usaha mempelajari dan mengamalkan ilmu dan ajarannya masih belum dilakukan secara yang sungguh-sungguh, seperti yang kita lakukan dalam kegiatan politik kepartian dan lain-lain bidang ilmu.

Berbezanya perjuangan agama ini dengan perjuangan bahasa dulu - dari segi politiknya - seluruh organisasi politik Melayu memberikan dokongan yang kuat. Akan tetapi dalam hal agama ini, kebulatan sikap seperti itu tidak ada. Bahkan sebaliknya, kegiatan parti politik dan organisasi Islam mengakibatkan kacau-bilau dan pertelagahan yang melalut-lalut, ada kalanya begitu serius.



Parti Melayu bermusuhan

Parti-parti Melayu bukan saja tidak boleh bekerjasama dalam hal agama, malah bermusuhan. Amat menyedihkan dan mengesalkan. Kita jadi seperti orang bodoh dan dungu. Begitu takutnya kita pada hantu, hingga tunggul dan bayang sendiri pun disangka hantu!

Ramai yang sedar, sikap dan perbuatan ini tidak betul dan merugikan, malah membahayakan. Tetapi belum juga ada tokoh-tokoh dan kumpulan yang muncul ke depan menegakkan apa yang perlu dan benar. Menggembleng fikiran dan tenaga untuk membebaskan masyarakat Melayu daripada kegilaan politik keagamaan ini.

Betullah seperti kata Dr Ismail Ibrahim: “Orang Melayu terus bercakaran fasal politik, walaupun pilihan raya sudah lama berlalu. Kerana politiking yang tidak habis-habis, kita telah mengabaikan pembangunan ekonomi dan pendidikan.” Saya melihat orang Melayu tidak mengabaikan ekonomi, tetapi memang sangat mengabaikan pendidikan dan pengajaran agama. Di sekolah pun tidak jadi mata pelajaran penting.”

Dan ada lagi yang tidak disebut oleh Dr Ismail. Pertama, yang tidak habis-habis berpolitik itu adalah juga di kalangan cendekiawan, tokoh perniagaan dan profesional. Yang kedua, walaupun pilihan raya telah berlalu, tetapi sebaik saja selesai pilihan raya itu, Barisan Alternatif terus menerus berkempen setiap malam, di seluruh negara, untuk pilihan raya 2004. Kebetulan orang Melayu suka menghadiri majlis yang berupa pesta. Maka sukarlah orang Melayu hendak berehat sekejap daripada berpolitik, memikir dan mengerjakan hal-hal yang lebih penting bagi kehidupan mereka setiap hari, termasuklah tuntutan agama yang asasi.



Krisis kepercayaan

Menyentuh Dr Ismail, mengingatkan saya kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, kerana Dr Ismail adalah pengerusinya. Dalam masa setahun dua ini, dalam masyarakat, kita sedang menjadi-jadi sikap tidak percaya kepada apa saja agensi kerajaan atau badan yang ditubuhkan oleh kerajaan. Polis, Kehakiman, BPR, termasuk Majlis Fatwa pun diragukan.

Dalam masyarakat Melayu istilah “ulama” dan “alim” itu ada pengertian atau konotasi yang tersendiri. (Saya tidak pasti, mungkin pengertian dan pemahaman orang Melayu itu tidak sama dengan pengertian dalam bahasa Arab). Bagi masyarakat Melayu “ulama” dan “alim” itu khusus kepada hal-hal agama – tidak dalam bidang lain. Maka itulah sering disebut “alim ulama”.

Oleh sebab itu, seorang ulama dan seorang alim pada zahirnya mempunyai perawakan dan peribadi yang tersendiri. Pakaian dan tingkah lakunya pun berbeza daripada yang bukan alim ulama. Mereka memiliki kewibawaan yang tersendiri. Ada karismatiknya. Dihormati dan dimuliakan. Mereka dianggap orang suci. Mereka tidak bercakap sembarangan. Tidak mengata dan menuduh-nuduh orang, apa lagi di khalayak ramai. Tidak mengajak orang mempermain-mainkan kalimat Allah. Mereka juga tidak mempunyai cita-cita keduniaan. Justeru ulama tidak boleh jadi tokoh parti politik dan tokoh parti tidak boleh jadi ulama. Dunia ulama dan dunia politik amatlah jauh bezaannya.

Maka supaya Majlis Fatwa ini dihormati dan diterima keputusan atau fatwa-fatwanya, setiap anggota Majlis ini kenalah menjadikan dirinya benar-benar alim dan ulama. Sama seperti pegawai-pegawai Jabatan dan institusi agama yang ditubuhkan oleh kerajaan – mestilah berhenti daripada jawatannya jika hendak jadi orang politik –maka setiap anggota Majlis Fatwa ini pun samalah juga, malah lebih berat lagi, tidak boleh ada sedikit pun kecenderungan politik kepartian. Ia ditubuhkan bukan untuk kepentingan kerajaan, tetapi untuk memandu seluruh umat ke jalan yang benar.

Memanglah kacau besar apabila ramai anggota masyarakat yang meragukan, malah tidak menerima, keputusan dan tindakan polis, kehakiman dan BPR. Tetapi lebih kacau dan berbahaya lagi apabila keputusan Majlis Fatwa diragukan.

Maka sekali lagi, tokoh-tokoh agama yang ingin berpolitik dan sedang berpolitik, amatlah tidak patut mempolitikkan Majlis yang amat penting ini. Samalah dengan hal-hal ibadah seperti sembahyang dan puasa, dan hukum-hukum berkaitan dengan kematian dan perkahwinan, tidaklah wajar sama sekali dipolitikkan.

Carilah kemenangan kuasa keduniaan dengan modal dan helah politik yang lain. Politik dan kuasa bukanlah segala-galanya. Insaf dan kasihanilah nasib ummah yang sedang bergelut dengan bermacam-macam pancaroba, iblis dan syaitan sekarang ini! - (Kampung Sungai Pencala - 5 April 2001)



Catatan:

Saya dimaklumkan ada pembaca ingin memberikan respon kepada tulisan saya. Terima kasih. Saya bersedia menerima, termasuk yang bertentangan dengan pendapat saya. Dukacita saya belum ada e-mel lagi. Tulislah kepada Berita Harian atau terus kepada saya di alamat: 2759, Kampung Pencala, 60000 Kuala Lumpur.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi