AGAMA

Berita Harian 12 April 2001

Islam galak umat menabung

Oleh Muhammad Shabri Majid

ISLAM sebagai agama syumul, mengatur umatnya tidak terhad kepada aspek sosial, politik dan ibadat, malah ekonomi. Semua norma dan nilai ekonomi diatur dalam sumber hukum Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung berbeza dengan hukum ekonomi buatan manusia.

Hal ini meletakkan ekonomi Islam jauh lebih unggul berbanding ekonomi kapitalis dan komunis. Contoh jelas ialah konsep menabung dalam Islam sebagai usaha untuk menuju sebuah negara damai dan sejahtera.

Islam adalah agama sederhana, yang umatnya sentiasa diarahkan untuk hidup jimat dan tidak berbelanja secara berlebihan.

Penjimatan ini perlu dilakukan dengan mengurangkan kecenderungan untuk menggunakan barang keperluan. Jumlah baki pendapatan yang tinggal dari penggunaan itu, pada gilirannya, akan memungkinkan seseorang Muslim untuk cenderung menabung lebih banyak.

Larangan berbelanja secara berlebihan dan tuntunan agama untuk menggunakan barang berdasarkan konsep halal dan haram, mendorong umat Islam supaya menabung.

Ini adalah tanda bahawa seorang Muslim yang baik yang sentiasa mematuhi panduan syariah akan cenderung menabung lebih banyak dibandingkan bukan Islam.

Namun yang jadi permasalahan sekarang adalah mengapa banyak negara Islam jauh lebih terbelakang baik dalam bidang pendidikan, kesihatan dan ekonomi berbanding negara sekular? Padahal kita mengetahui bahawa tingkat tabungan adalah penunjuk penting terhadap kemajuan sesebuah negara.

Apakah kerana ketakwaan kita masih diragukan, sehingga kita tidak secara menyeluruh mengikuti aturan Ilahi?

Tulisan ini tidak difokuskan untuk menjawab persoalan di atas. Ia hanya cuba menganalisis konsep menabung dalam ekonomi Islam dengan memberikan beberapa dalil naqli terhadap kepentingan menabung dalam Islam, memberikan alasan keperluan menabung dalam Islam dan cuba memaparkan model tabungan cara Islam.

Tidak sedikit ayat al-Quran dan hadis, sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang mendorong umat Islam supaya menabung. Konsep kesederhanaan dalam berbelanja sangat tegas disebutkan oleh Allah, dan Islam sangat membenci pembaziran. Kebencian Allah swt terhadap pembaziran ini adalah cukup beralasan kerana ia akan menyebabkan kehidupan masa depan seseorang menjadi tidak pasti kerana tiada mempunyai perencanaan ekonomi.

Mereka yang tidak menabung akan menghadapi kesulitan ekonomi yang tidak di duga pada masa depan. Oleh itu, al-Quran meminta umatnya untuk tidak berbelanja secara berlebih-lebihan dan tidak terlalu kikir, seperti disebutkan dalam beberapa ayat berikut ini: “Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu menghulurkan kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesali.” (Surah al-Isra’, ayat 29). Firman Allah lagi bermaksud: “Sesungguhnya pemboros itu adalah saudara syaitan...” (Surah al-Isra’, ayat 27) “dan...makan dan minumlah kamu, dan janganlah berlebih-lebihan...” (Surah al-A’raf, ayat 31) “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir...” (Surah al-Furqan, ayat 67).

Sementara itu, Rasulullah saw dalam hadisnya cukup memberi peringatan kepada umatnya supaya menabung sebagai cara terbaik untuk membanteras kemiskinan.

Ini dapat kita lihat daripada beberapa hadis bermaksud: “...Rasulullah saw pernah membeli kurma dari Bani Nadhir dan menyimpannya untuk perbekalan setahun buat keluarga...” (Hadis riwayat Bukhari); “Simpanlah sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu, kerana itu jauh lebih baik bagimu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas, jelas bahawa menabung, sangat digalakkan dalam Islam.

Namun ini tidak bererti bahawa Islam membenarkan umatnya untuk berlaku kikir dan kemudian membiarkan harta itu tidak produktif.

Harta yang tidak dilaburkan dalam sektor pengeluaran akan menjadikan sistem ekonomi menjadi lebih parah kerana tidak wujud peluang pekerjaan berikutan kurangnya permintaan terhadap barang yang dijual di pasaran.

Mengapa umat Islam lebih berpotensi untuk menabung dalam sistem ekonomi Islam? Tidak seperti dalam ekonomi konvensional, Islam melarang umatnya untuk menggunakan barang yang haram hukumnya. Ini kerana ia akan dapat memudaratkan sama ada kesihatan sistem ekonomi mahupun kesihatan tubuh mereka.

Contohnya, Islam tidak membenarkan umatnya mengamalkan hukum riba, memakan makanan haram, seperti babi dan meminum arak. Ini kerana terbatasnya jumlah barang yang boleh digunakan, maka akan semakin besar kecenderungan umat Islam untuk menabung. Hal inilah yang menyebabkan menabung semakin diperlukan dalam Islam.

Tujuan kita berpandukan kepada konsep halal dan haram dalam menggunakan barang dan jasa, menurut Akram Khan (1983) adalah sebagai pendorong untuk meminimumkan jumlah harta yang dibelanjakan sehingga memisahkan jumlah maksimum harta yang boleh ditabung.

Sementara itu, AM Sadeq (1992), seorang profesor bidang ekonomi pembangunan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia jauh melihat bahawa faktor penyebab potensi tabungan dalam Islam tidak hanya seperti disebutkan di atas.

Beliau melihat bahawa kewajipan umat Islam untuk menggunakan sumber daya alam dan sumber daya manusia secara optimum dan keharusan untuk memobilisasi tabungan secara produktif. Ini dapat dilakukan dengan tabungan itu perlu disalurkan untuk dilaburkan dalam sektor yang menghasilkan keuntungan juga antara faktor penting yang mendorong umat Islam untuk menabung.

Selain itu, Islam melihat bekerja untuk memenuhi nafkah baik untuk dirinya atau orang yang berada di bawah tanggungan adalah sebahagian daripada ibadah.

Namun begitu ada pendapat yang meragukan bahawa tingkat tabungan itu akan terhambat kerana penghapusan sistem bunga (riba) dan kewujudan institusi zakat dalam ekonomi Islam. Pendapat ini sebenarnya dilandaskan kepada konsep tabungan ekonomi klasikal yang menyatakan bahawa tabungan itu bergantung secara positif pada tingkat bunga.

Semakin tinggi tingkat bunga, maka semakin ramai orang menabung kerana mengharapkan keuntungan yang lebih besar, begitu juga sebaliknya. Ternyata hasil penelitian empirikal telah membuktikan bahawa pandangan ini adalah tidak benar.

Dalam bukunya, Towards a Just Monetary System (Menuju ke Sistem Kewangan Yang Adil), Umer Chapra (1985) membantah keras andaian yang mengatakan penghapusan bunga akan menghambat tingkat tabungan, yang pada gilirannya, akan mengurangi formasi modal dalam ekonomi.

Sedangkan pengagihan zakat yang ditujukan untuk mengagihkan secara adil jumlah pendapatan yang diterima di antara masyarakat miskin dan kaya, justeru akan mempromosikan taraf kehidupan masyarakat miskin.

Sejak lebih 1,400 tahun lalu, ekonomi Islam telah melihat tabungan sebagai salah satu faktor dominan dalam pembangunan ekonomi.

Penghapusan bunga adalah perbezaan mendasar di antara model tabungan Islam dengan bukan Islam. Oleh itu, fungsi tabungan dalam Islam sama sekali tidak bergantung kepada tingkat bunga seperti dalam ekonomi konvensional. Dalam hal ini Umer Chapra (1985) hanya melihat bahawa pendapatan dan keperluan penggunaan sekarang dan pendapatan pengguna pada masa depan, adalah faktor yang mempengaruhi tabungan seseorang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi