AGAMA

Mingguan Malaysia 18 mac 2001

Warak dalam konteks pemerintahan Islam

Bicara Agama Oleh Astora Jabat
DALAM catatan kebanyakan sejarawan Islam, perpecahan orang Islam pada zaman awal tidak dikaitkan dengan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam, tetapi dikaitkan dengan perbuatan seorang penghasut Islam bangsa Yahudi, Abdullah bin Saba'.

Pandangan ini sangat popular di kalangan cerdik pandai dan ulama Ahlul Sunnah.

Tetapi cerdik pandai dan ulama Syiah menafikan kewujudan sahsiah Abdullah bin Saba' yang dikaitkan dengan kemunculan Syiah itu. Malah mereka menganggap sahsiah itu mitos yang direka oleh seorang pencerita dan pengarang Arab bernama Saif bin Umar at-Tamimi. Didakwa Ibn Jarir at-Tabari, Imam az-Zahabi dan lain-lain ulama menukilkan mitos Abdullah bin Saba' daripada Saif bin Umar at-Tamimi.

Penulis tidak berhasrat untuk membincangkan pertelingkahan antara Ahlul Sunnah dan Syiah mengenai sahsiah Abdullah bin Saba' ini.

Cuma penulis mahu membincangkan sedikit mengenai kejadian Kekacauan Besar (al-Fitnah al-Kubra) yang menyebabkan Khalifah Uthman terbunuh dan membawa kepada perpecahan besar umat Islam sehingga negara Islam terulung iaitu Madinah hilang daripada peta dunia.

Uthman bin Affan r.a yang merupakan pemimpin negara Islam ketika itu sempat memerintah selama hampir sebelas tahun (tahun Masihi 644 hingga 655 Masihi).

Beliau dikenali sebagai Empunyai Dua Cahaya (Zu an-Nurain) kerana pernah berkahwin dengan dua orang puteri Rasulullah s.a.w., Ruqayyah dan setelah Ruqayyah meninggal, beliau pula berkahwin dengan Kalthum.

Untuk mengetahui betapa besarnya kecintaan Rasulullah kepada Uthman memadai disebut di sini bahawa selepas Kalthum pula meninggal, baginda telah berkata kepadanya, ``Jika ada anak perempuanku lagi wahai Uthman, sudah tentu ku ambil kau menjadi menantu.''

Uthman bin Affan terbilang sebagai orang pertama memeluk Islam. Beliau juga tergolong daripada mereka yang berhijrah ke Habsyah.

Dalam penghijrahan ke Madinah, beliau menyusul Rasulullah yang telah pun lebih dahulu berhijrah ke kota tersebut.

Di Madinah, Uthman yang merupakan seorang saudagar menjalankan perniagaan dan beliau berjaya menjadi saudagar yang kaya. Meskipun beliau merupakan orang kaya, tetapi jiwanya pemurah dan beliau tidak teragak-agak sedikit pun mempergunakan kekayaan untuk menyahut seruan jihad bagi menegakkan agama Allah.

Sebagai contoh orang Islam pada zaman awal di Madinah menghadapi masalah kekurangan air. Bagi mengatasi masalah ini Uthman telah membeli sebuah telaga milik Yahudi.

Rasulullah memuji-muji langkah Uthman membeli telaga Yahudi untuk kepentingan orang awam Islam itu. Begitu juga Uthman pernah membeli lima buah rumah berhampiran dengan Masjid Madinah untuk dibangunkan bangunan tambahan masjid setelah bertambah ramai orang Islam.

Selain itu Uthman juga merupakan sahabat yang paling banyak membantu Rasulullah s.a.w. dalam berbagai masalah. Beliau adalah salah seorang penulis wahyu dan juga pernah menjadi utusan baginda untuk menemui kaum Quraisy pada tahun keenam hijrah.

Beliau seorang sahabat yang tua dan usianya mencapai 70 tahun ketika dilantik menjadi khalifah. Beliau seorang yang bersifat lemah lembut, tidak gemar menggunakan kekerasan dalam menjalankan pemerintahannya. Hal ini berbeza sekali dengan Abu Bakar As-Siddiq dan Umar al-Khattab yang menjadi khalifah sebelumnya kerana mereka berdua terkenal mempunyai sifat tegas dalam menghadapi sesuatu masalah pada zaman pemerintahan mereka.

Pada zaman pemerintahan Uthman, keadaan pemerintahan Islam mula menjadi bertambah luas dan menempuh satu zaman peralihan dan kehidupan asal orang-orang Arab menuju suatu kehidupan baru.

Pada zaman Uthman inilah bermula zaman kemewahan hidup yang timbul daripada hasil pembukaan wilayah dan negeri baru. Orang Islam yang dulu hidup dalam keadaan payah dan susah mula merasa hidup mewah dan menerima kemakmuran. Kerajaan juga mengadakan majlis-majlis makan yang besar dan bersifat elitis.

Orang yang menghadiri majlis-majlis jamuan Khalifah Uthman melihat dengan ketara perbezaan besar dengan zaman Abu Bakar dan Umar dulu. Malah jika mahu membandingkan dengan zaman Rasulullah tidak berbau langsung.

Perubahan cara hidup tidak dapat tidak mesti berlaku dan tiada siapa pun dapat menyekatnya. Uthman sebagai khalifah menganggap rakyatnya berhak menikmati hidup yang makmur itu, tetapi beliau tidak membenarkan orang Islam bersenang-senang dengan nikmat kemakmuran itu hingga melanggari hukum Allah.

Pada zaman Uthman juga ramai sahabat keluar meninggalkan Madinah dan tinggal di wilayah dan negeri yang baru dibuka. Uthman membenarkan para sahabat keluar dari Madinah dengan bebas. Ini sudah tentu berbeza dengan Umar. Umar tidak memberi kebebasan kepada para sahabat keluar untuk tinggal di wilayah dan negeri yang baru dibuka.

Selain itu Uthman juga tidak begitu mengambil berat gabenor-gabenor yang memerintah di wilayah-wilayah dan negeri Islam terutama dalam menjalankan tugas sebagai wakil kerajaan pusat. Inilah yang menjadi kelemahan Uthman. Umar tidak begitu kerana beliau sangat mengambil berat tentang kedudukan wakil-wakil kerajaan pusat.

Kadangkala tindakan Umar terhadap wakil kerajaan tidak masuk akal seperti tindakan beliau membakar istana seorang gabenor yang selalu mengurung diri dalam istana dan ponteng sembahyang. Tetapi itu barangkali tindakan yang sesuai dengan perangai orang Islam yang baru mengenali tamadun.

Pada zaman Uthman inilah mulai timbulnya beberapa masalah yang belum pernah berlaku pada zaman khalifah-khalifah terdahulu termasuk salah faham orang ramai terhadap kerajaan.

Sejarawan berkata terdapat satu perkara yang menjadi punca kelemahan Uthman iaitu sikapnya yang mudah dipengaruhi oleh cakap-cakap orang lain terutama oleh kaum keluarganya. Mereka pernah mencampuri urusan pemerintahan beliau dan salah seorang daripada ahli keluarganya ialah Marwan bin Hakkam.

Marwan banyak membuat angkara kepada pemerintahan Uthman, tetapi Uthman tidak sedar. Tindakan Uthman membiarkan orang seperti Marwan campur tangan dalam pemerintahan menyebabkan Uthman dicemuh dan dibenci oleh ramai orang. Malah keadaan itu menjadi bertambah teruk apabila beliau pula melantik ahli keluarganya memegang jawatan kerajaan di peringkat pusat dan wilayah.

Selain itu ada lagi beberapa perkara yang dilakukan oleh Uthman yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati orang Islam pada masa itu. Salah satu daripadanya ialah keputusan membenarkan bapa saudaranya Al-Hakam bin Abi Al-'As dan beberapa orang keluarganya kembali semula ke Madinah, padahal Al-Hakam telah diperintah keluar dari Madinah kerana sikap permusuhannya terhadap Rasulullah s.a.w.

Uthman pernah merayu kepada Rasulullah pada masa hayatnya lagi meminta baginda membenarkan bapa saudaranya itu kembali, tetapi baginda tidak membenarkan permintaannya itu.

Pada zaman pemerintahan Abu Bakar dan Umar juga permintaan itu tidak diluluskan. Tetapi apabila Uthman dilantik menjadi khalifah, bapa saudaranya yang pernah memusuhi Rasulullah dibenarkan kembali ke Madinah.

Bukan setakat itu sahaja, apabila dia mati kuburnya dibina dengan indahnya dan anaknya yang bernama Al-Hanith dilantik pula menjadi pegawai menjaga tempat-tempat perniagaan di Madinah.

Pelantikan Uthman ke atas anak Al-Hakam yang bernama Marwan menjadi menteri dikecam hebat juga oleh orang Islam. Beberapa orang sahabat telah membantah pelantikan itu, tetapi tidak dipedulikan oleh Uthman.

Dalam pada itu orang Islam merasa tidak puas hati terhadap pemecatan yang dilakukan oleh Uthman ke atas pegawai-pegawai yang dilantik pada zaman Umar al-Khattab dan digantikan dengan pegawai baru daripada kaum keluarganya. Perkara-perkara seperti yang disebut itu berlaku di Madinah.

Bagaimanapun, di lain-lain wilayah Islam tidak sunyi juga daripada orang yang tidak puas hati dengan Uthman. Inilah di antara punca yang menyebabkan Uthman terpaksa menempuh masalah tidak putus-putus sehingga beliau sendiri kehilangan kuasa.

Ramai sahabat menentang Uthman termasuk seorang sahabat terkenal, Abu Zar al-Ghifari.

Memandangkan bahaya dan pengaruh Abu Zar maka akhirnya Uthman mengambil tindakan untuk mengasingkan Abu Zar Al-Ghifari daripada orang ramai. Beliau dibuang ke satu tempat bernama ar-Raudah.

Bagaimanapun di tempat pembuangannya itu beliau terus-menerus membuat kecaman ke atas Uthman sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 31 Hijrah.

Seperti yang penulis bincangkan minggu lalu, golongan-golongan yang menentang Khalifah Uthman dari wilayah Mesir, Kufah dan Basrah datang ke Madinah untuk mengemukakan tuntutan-tuntutan mereka kepada khalifah.

Tidak perlu penulis mengulang sebut apa yang dilakukan oleh puak pemberontak dari luar Madinah untuk menjatuhkan Uthman kerana semua sudah dibincangkan minggu lalu.

Cuma dalam bingkai memberi penjelasan tambahan mengenai kekacauan yang meletus pada zaman Khalifah Uthman itu dapat kita mengambil iktibar bahawa walaupun Uthman yang sangat dicintai baginda Rasulullah dan beliau pula seorang yang warak, tetapi beliau lemah dari segi politik dan banyak melakukan kesilapan.

Ini kerana Uthman tidak bijak dalam politik. Masalah yang serupa berlaku kepada Ali bin Abi Talib yang dianggap sebagai kalangan sahabat paling warak.

Ini menjadi bukti bahawa betapapun warak seseorang pemerintah itu tidak mungkin dia menjadi pemerintah yang berjaya jika lemah dari segi politik.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi