AGAMA

Mingguan Malaysia 18 mac 2001

Rundingan perpaduan mengikut islam

Oleh Abd. Manaf Ahmad
PEMIMPIN agung kita Nabi Muhammad s.a.w mengutamakan perdamaian daripada peperangan. Peperangan adalah jalan keluar terakhir apabila tidak ada lagi pilihan lain.

Selagi ada ruang untuk berdamai, maka peluang itu dipergunakan sepenuhnya. Nabi Muhammad sebagai Rasul Allah yang terakhir telah menunjukkan jalan dan contoh terbaik kepada kita bagaimana hendak menjayakan satu-satu perundingan.

Baginda selalu berlembut dan bersabar, walaupun berhadapan dengan orang yang keras kepala dan tidak tahu adab perbincangan.

Sejarah perdamaian Hudaibiah yang terkenal itu patut dikaji dan dicontohi.

Mengikut catatan ahli sejarah Islam termasyhur Imam Abul Fida Ismail bin Kathir (701-774 Hijrah), bahawa Nabi Muhammad telah berangkat menuju ke Kota Mekah untuk menunaikan ibadat umrah dalam bulan Zulkaedah bersama-sama 1,400 orang Islam.

Menurut Sirah ibn Hisham, Nabi Muhammad telah memakai pakaian ihram dengan tujuan hendak menunaikan umrah.

Memakai ihram adalah satu lambang perdamaian kerana di dalam Islam orang yang memakai ihram untuk mengerjakan umrah atau haji dilarang sama sekali bergaduh apatah lagi berperang.

Apabila Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya yang berpakaian ihram sampai di satu perkampungan bernama Hudaibiah yang jaraknya kira-kira 12 kilometer dari kota Mekah, kaum Quraisy menghalang mereka supaya tidak meneruskan perjalanan ke kota Mekah. Mereka meninjau dan merisik keadaan sebenar ketibaan Muhammad dengan angkatannya yang besar itu.

Pihak berkuasa Quraisy yang berpusat di Mekah telah menghantar seorang pengintip bernama Budail bin Waraqah untuk membuat risikan terperinci.

Beliau kemudian menyedia dan menghantar laporan berkenaan kepada perhimpunan Quraisy. Beliau menyebut bahawa ketibaan Nabi Muhammad itu bukanlah bertujuan hendak berperang tetapi hendak menziarah Kaabah.

Pemimpin Quraisy tidak mengiktiraf dan tidak mempercayai laporan itu malah memarahi Budail.

Selepas itu mereka menghantar seorang yang lebih dipercayai bernama Hulais. Selepas menyiasat dan mengintip, didapati Nabi Muhammad sebenarnya datang untuk beribadat semata-mata bukan bertujuan hendak berperang.

Mengikut at-Tabari, laporan Hulais itu mendapat kritikan yang lebih hebat lagi.

Pemimpin Quraisy tidak mempercayai laporan itu benar. Oleh kerana Hulais adalah seorang pemimpin suku kaum yang terkenal di kalangan mereka, beliau telah mengugut hendak menarik diri daripada pakatan dengan kaum Quraisy hingga mereka terpaksa berlembut.

Setelah berbincang panjang, mereka membuat keputusan memilih seorang tokoh baru bernama `Urwah bin Mas'ad, tetapi beliau menolaknya kerana kekasaran yang dilakukan terhadap orang yang ditugaskan sebelumnya. Mereka meminta maaf dan merayu supaya Urwah dapat menunaikan keputusan yang telah dibuat itu. Beliau akhirnya bersetuju.

Untuk mendapatkan kepastian, Urwah sendiri pergi menemui Nabi Muhammad. Setelah selesai tugas, Urwah pun pulang membuat laporan kepada pemimpin-pemimpin Quraisy. Laporannya serupa dengan utusan-utusan yang terdahulu tetapi Urwah menambah:

``Saya telah banyak kali berpeluang menghadap raja-raja di dunia ini tetapi belum pernah saya lihat keagungan dan kebesaran seperti Nabi Muhammad.''

Dengan itu kaum Quraisy telah mengadakan perbincangan yang panjang dan berhari-hari menyebabkan kaum muslimin merasa gelisah. Nabi Muhammad telah membuat keputusan menghantar utusannya pula kepada kaum Quraisy, tetapi malangnya utusan itu cuba dibunuh tetapi terselamat apabila dihalang oleh pengikut Al Hulais, utusan Quraisy yang kedua dulu.

Selepas itu junjungan besar kita memilih Umar bin al-Khattab untuk berunding dengan kaum Quraisy di kota Mekah, tetapi beliau menasihati Rasulullah supaya memilih orang lain kerana beliau seorang yang terkenal kasar dan garang di Mekah dahulu.

Pemilihannya tidak akan mendatangkan hasil yang baik kepada misi Rasulullah. Beliau mencadangkan supaya tanggungjawab yang sensitif itu diserah kepada Uthman bin Affan yang bersifat lemah lembut dan bersopan santun serta pemurah.

Nabi Muhammad telah menerima saranan Umar dan Uthman pula bersedia menjalankan tugas yang berat itu.

Setelah selesai membuat perundingan dengan kaum Quraisy, Uthman ditawarkan mengerjakan ibadah tawaf, tetapi beliau menolaknya sambil berkata, ``Saya tidak akan bertawaf sebelum Rasulullah sendiri bertawaf. Kami semua datang hendak beribadat dan menziarahi Kaabah kemudian pulang semula ke Madinah.''

Pemimpin Quraisy Mekah menegaskan kepada Uthman bahawa Nabi Muhammad tidak dibenarkan sama sekali masuk ke Mekah tahun ini. Perbincangan dan perundingan itu memakan masa yang lama hingga timbul waswas dan syak di kalangan pengikut Nabi Muhammad bahawa orang Quraisy telah membunuh Uthman sehinggalah beliau pulang dengan selamat. Selepas itu suasana menjadi tenang semula. Kesan penjelasan Uthman kepada kaum Quraisy itu membuka hati mereka untuk memulakan rundingan perdamaian dengan menghantar utusan mereka yang bernama Suhail bin Omar menemui Nabi Muhammad.

Rundingan perdamaian itu berjalan begitu panjang. Kadang-kadang suasana menjadi begitu tegang dan hampir gagal, tetapi baginda Rasulullah berhati-hati dan sangat bersabar dengan harapan rundingan perdamaian itu mendapat kejayaan.

Bagaimanapun sahabat-sahabat Nabi yang menyaksikan perundingan itu mendengar sahaja perbincangan yang berjalan, walaupun ada sesetengah daripada mereka merasa geram dengan sifat utusan dan wakil Quraisy Suhail bin Omar yang kasar dan jauh sekali beradab dalam perbincangan.

Baginda telah meminta Saidina Ali bin Abi Talib mencatat butiran persetujuan yang tercapai. Baginda memulakan suara perjanjian itu dengan menyebut:

``Bismillahir rahmanir rahim.'' Suhail segera membantah. ``Tunggu dahulu. Aku tidak mengerti ini semua!'' Nabi menerima bantahannya. Nabi merencanakan semula kepada Saidina Ali butir-butir berikut: ``Ini perjanjian perdamaian di antara Muhammad Rasulullah dengan Suhail bin Omar.'' Rasulullah terhenti kerana Suhail mencelah lagi dengan katanya, ``Kalau kami percaya yang engkau itu Rasulullah tentulah kami tidak berperang dengan kamu.''

Selepas itu Rasulullah bersabda, ``Tulislah: Inilah perjanjian damai di antara Muhammad bin Abdullah...''

BERSAMBUNG MINGGU DEPAN

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi