AGAMA

Mingguan Malaysia 25 mac 2001

Pas-UMNO perlu rujuk semangat perjajian Hudaibiyah

Oleh Abd. Manaf Ahmad

UNTUK meringkaskan Perjanjian Hudaibiah, diperturunkan dibawah ini butir-butir perjanjian yang dipersetujui:
a)Genjatan senjata selama 10 tahun
b)Muhammad hendaklah memulangkan orang Quraisy yang hendak masuk Islam tanpa izin walinya
c)Tidak semestinya orang Quraisy mengembalikan pengikut-pengikut Muhammad jika mereka menyertai kaum Quraisy
d)Mana-mana kabilah Arab yang ingin masuk ke dalam kaum Quraisy, boleh berbuat demikian dan sebaliknya sesiapa yang ingin mesuk kumpulan Nabi Muhammad boleh juga berbuat demikian kecuali kaum Quraisy.
e)Muhammad dan pengikutnya hendaklah kembali ke Madinah tanpa menunaikan umrah tahun ini, tetapi pada tahun berikutnya Muhammad dan pengikutnya boleh masuk Mekah dan boleh tinggal di sana selama tiga hari tanpa apa-apa senjata senjata kecuali pedang di dalam sarungnya.

Setelah Rasulullah memeteraikan perjanjian damai itu, ramai di antara sahabat merasa terkilan dan tidak puas hati kerana Nabi banyak bertolak ansur dan berlembut, manakala di pihak Quraisy pula terlalu keras dan kasar

Lantaran itu Umar bin al-Khattab bangun dan berdialog dengan Rasulullah seperti berikut:
Umar:Bukankah engkau seorang Rasul?
Nabi Muhammad s.a.w:ya!
Umar:Bukankah mereka kaum Quraisy yang menghalau dan memburu kita?
Nabi Muhammad s.a.w:Ya!

Soal jawab yang agak panjang itu berakhir dengan sabda Rasulullah:"Aku ini hamba dan pesuruh Allah. Aku sekali-kali tidak melanggar perintah-Nya dan Allah pun tidak mensia-siakan aku dan kita semua."

Apa yang berlaku di perkampungan Hudaibiah di antara Rasulullah dan puak Quraisy itu membuktikan bahawa apa-apa tuntutanpun boleh diselesaikan di meja rundingan

Para ulamak kita sering berulangkali menggesa supaya kembali kepada Allah dan RasulNya jika berlaku perselisihan pendapat seperti mana ditegaskan di dalam surah an-Nisa' ayat 59 yang bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulul amri(orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah(berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) RasulNya, jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan hari Akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pulak kesudahannya."

Sebenarnya tidak ada prasarat sebelum perundingan dijalankan. Yang penting ialah perundingan dan perdamaian, bukan tuntututan kerana tunututan boleh dibuat di atas meja rundingan.

Jika hendak mengatakan prasarat itu ada maka prasarat ialah mengadakan satu suasana aman yang boleh dinamakan sebagai tempoh genjatan senjata sebelum perundingan dijalankan.

Di daklam kontek ini kita mestilah berpegang kepada Al-Quran yang menjelaskan di dalam surah al-Hujurat ayat 11 seperti berikut:"Wahai orang-orang yang beriman janganlah sesuatu puak dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-merendahkan puak lelaki yang lain kerana mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain kerana mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain dengan gelaran yang buruk."-(al-Hujurat)

Ayat 12 pula menyarankan supaya jangan ada prasangka buruk sebelum perundingan atau dalam mana-mana keadaan atau mana-mana masapun.

Allah menegaskan seperti berikut:"Wahai orang-orang yang beriman jauhilah dari prasangka buruk kerana prasangka buruk itu berdosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaaiban orang. Dan janganlah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kami jijik kepadanya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah penerima taubat lagi maha Mengasihani."-(al-Hujurat ayat 12).

Umat Islam yang tidak berpati sedang menyaksikan dengan teliti apa-apa yang berlaku dalam isu perundingan perdamaian yang diharapkan membawa keamanan dan kesejahteraan umat Islam di Malaysia.Penulis menyertai berjuta-juta umat Islam si seluruh pelosok Malaysia mendoakan supaya semua pihak mendapat perunjuk daripada Allah, mudah-mudahan mereka dapat berjumpa dalam satu meja rundingan.

ABD Ahmad adalah Timbalah
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia(YADIM).

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi