AGAMA

Mingguan Malaysia 28 mac 2001

Pengaruh firaun dalam penamaan anak

Oleh: ASTORA JABAT
``JIKA betul ada firaun yang baik, ada yang menjadi penganut agama tauhid, ada yang menjadi nabi dan ada yang ahli keluarganya menjadi orang Mukmin, cubalah anda namakan anak anda sebagai firaun,'' kata seorang penyokong pembangkang kepada seorang penyokong kerajaan dalam perbincangan e-mel di sebuah e-group yang turut dilampirkan kepada penulis.

Pandai juga nampaknya penyokong pembangkang itu berhujah dan mungkin ada orang yang termakan hujahnya kerana jarang ada di kalangan orang Islam negara ini yang mengetahui bahawa memang wujud orang Islam tertentu menamakan diri atau anak mereka sebagai firaun.

Penamaan nama anak dengan nama raja bangsa Mesir kuno itu ada kala merupakan nama am seperti firaun dan ada kala merupakan nama khasnya seperti Ahmos, Ramses dan lain-lain.

Ada juga yang menamakan anak mereka dengan nama khas ahli keluarga firaun dan orang ternama yang hidup pada zaman firaun.

Bagaimanapun, penamaan ini bukan saja berlaku di kalangan orang Mesir yang terkenal sangat membanggakan tamadun firaun itu, tetapi berlaku juga di kalangan orang Arab di negara-negara Arab lain.

Malah orang Islam di Malaysia pun begitu juga. Cuma mereka tidak sedar dan tidak mengetahui bahawa mereka menggunakan nama yang mempunyai asal-usul firaun.

Sebenarnya jika penyokong pembangkang itu merupakan orang yang sentiasa mengikut perkembangan tanah air, dia tidak akan mencabar penyokong kerajaan supaya menamakan anaknya dengan nama firaun.

Ini kerana dalam salah satu temasya sukan tanah air baru-baru ini iaitu Kejuaraan Bot Laju Formula 1 Dunia 2001 yang diadakan di Tanjung Puteri, Johor Bahru muncul nama seorang rakyat Arab Saudi bernama Pharaon yang diisytiharkan sebagai juara. Semua media melaporkan kemenangan Pharaon itu termasuk Utusan Malaysia.

Pharaon yang dibaca Far'aun itu adalah sama dengan kita yang menyebutnya firaun. Ia disebut Pharaoh dalam bahasa Inggeris.

Nama penuh juara dari Arab Saudi itu ialah Laith Pharaon. Ini bermaksud nama juara Arab Saudi ialah Laith dan Pharaon itu ialah nama bapanya.

Semua media menonjolkan nama Pharaon dan bukan nama Laith kerana terpengaruh dengan penamaan dan panggilan nama mengikut cara Barat.

Jika tidak silap penulis, Pharaon adalah seorang jutawan Arab Saudi berasal dari Mesir yang terkenal di negara-negara Arab.

Pharaon (si bapa) nampaknya gemar menamakan anak-anaknya seperti orang Arab zaman silam yang gemar menamakan anak mereka dengan nama yang menunjukkan kehebatan, keberanian, tegas dan keras.

Ini kerana Laith itu bererti singa. Jadi Laith Pharaon bererti Singa Firaun (Singa Anak Firaun).

Selain ada orang Islam yang menjadikan nama am raja berbangsa Mesir kuno sebagai nama orang seperti dalam contoh di atas, terdapat juga orang yang menggunakan nama khas Firaun sebagai nama mereka seperti Ahmos, Mena, Tutmosis, Rames, Osoris, Isis, Nefertiti dan lain-lain.

Penamaan dengan nama-nama yang berasal firaun atau berasal bangsa Mesir kuno ini berlaku secara khas di Mesir sama ada di kalangan penduduk yang beragama Islam mahupun di kalangan penduduk yang beragama Kristian.

Sebagai contoh seorang doktor Mesir terkenal mempunyai nama Ahmos al-Hamamisi.

Kadangkala kita tidak dapat membezakan antara orang Mesir yang beragama Islam dan yang beragama Kristian jika melihat pada nama mereka kerana ada yang menggunakan nama serupa.

Nama Abdullah yang dipandang sebagai nama orang Islam pada kaca mata orang Islam di Malaysia umpamanya digunakan juga oleh orang Kristian di Mesir.

Dengan itu jangan anda terkejut jika bersua dengan orang Mesir bernama Abdullah, tetapi dia memakai salib.

Nama beberapa orang nabi seperti Adam, Musa, Ibrahim, Yaakub, Ishak, Ismail, Yusuf, Noh, Idris, dan lain-lain tidak usahlah hairan langsung kerana semua penganut agama langit menggunakannya.

Kesemua nama nabi itu dapat diketahui apakah ia Kristian atau Yahudi jika ditulis dalam bahasa Inggeris kecuali nama Nabi Adam yang serupa dalam semua bahasa.

Musa, Ibrahim, Yaakub, Ishak dan Ismail umpamanya dikenali di kalangan orang Kristian sebagai Moses, Abraham, Jacob, Isaac dan Ishmail.

Semua nabi ini pula dikenali di kalangan orang Yahudi sebagai Moshe, Avraham, Ya'akov, Yitzhak dan Yishmael.

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa nama Musa yang terkenal di kalangan orang Islam sebagai nama Islam atau Moses yang terkenal di kalangan orang Kristian sebagai nama Kristian atau Moshe yang terkenal di kalangan orang Yahudi sebagai nama Yahudi itu sebenarnya berasal daripada firaun.

Ini kerana orang yang memberi nama Musa kepada anak yang dijumpai terapung-apung dalam raga di dalam Sungai Nil itu adalah anak perempuan firaun.

Musa itu sendiri bermaksud `anak' (son) menurut sesetengah penyelidik atau `tinggal' menurut sesetengah penyelidik yang lain.

Dikaitkan penamaan Musa dengan anak kerana dia merupakan anak yang dijumpai dalam Sungai Nil atau merupakan anak yang terlepas daripada pembunuhan yang dilakukan oleh tentera firaun.

Dikaitkan penamaan Musa dengan perbuatan meninggal pula kerana dia yang membawa Bani Israel meninggalkan Mesir selepas menang dalam perlawanan sihir dengan tukang-tukang sihir firaun Ramses II.

Nama Musa inilah yang penulis sebut merupakan nama yang digunakan oleh orang Islam di Malaysia tanpa menyedari bahawa ia berasal daripada tamadun firaun.

Perlu diterangkan di sini bahawa Nabi Musa a.s. juga hampir menjadi firaun iaitu raja kerana dia yang dibesarkan dalam istana Firaun Seti I itu dianggap sebagai putera oleh Firaun Seti I dan ahli keluarganya.

Bagaimanapun, setelah dewasa dan dia mengetahui bahawa dia merupakan anak sebuah keluarga Bani Israel, dia menolak untuk menjadi firaun. Penglibatannya dalam perjuangan menolong anak bangsa yang menjadi hamba itu menyebabkan jawatan firaun terlepas daripada dirinya.

Bukan nama Musa saja digunakan oleh orang Islam di Malaysia untuk menamakan anak mereka, tetapi terdapat juga nama-nama lain seperti Asiah dan Masyitah.

Asiah ialah nama isteri salah seorang firaun yang disebut dalam al-Quran sebagai orang beriman.

Mengenai perkara ini Allah berfirman dalam surah at-Tahrim ayat 11: ``Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang mukmin (berhubung rapat dengan orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya) iaitu perihal isteri firaun, ketika ia berkata: ``Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, dan selamatkanlah daku daripada firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku daripada kaum yang zalim.''

Rasulullah s.a.w bersabda: ``Sebaik-baik wanita ahli syurga ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah bin Muhammad, Asiah binti Mazahim (isteri firaun) dan Maryam binti `Imran.'' - (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Masyitah pula ialah isteri bendahari firaun atau tukang dandan anak gadis firaun. Dia dikatakan mendahului Asiah menjadi orang beriman. Kerana Asiah menjadi orang beriman selepas melihat ketabahan Masyitah berpegang kepada agama tauhid walaupun diseksa oleh suaminya (Asiah) sehingga meninggal dunia.

Itulah beberapa contoh nama firaun atau nama berasal firaun yang dijadikan nama orang Islam termasuk orang Islam di Malaysia.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi