AGAMA

Mingguan Malaysia 1 april 2001

Tafsiran al-Quran dan kehendak Islam

Oleh: ASTORA JABAT
SARANAN supaya mentafsirkan semula al-Quran yang dicadang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad beberapa tahun lalu turut dijadikan isu oleh pembangkang terutama Pas. Sesetengah ustaz dan ulama Pas menggambarkan cadangan Dr. Mahathir itu sebagai penyelewengan.

Jika begitulah anggapan mereka yang mempunyai pengetahuan agama, sudah tentu orang yang tidak mempunyai pengetahuan agama lebih teruk lagi.

Inilah yang terjadi kepada beberapa penceramah Pas yang berpendidikan sekular.

Sebagai contoh ahli Parlimen Kuala Kedah Mohamad Sabu dalam ceramahnya menuduh Dr. Mahathir mahu mencipta agama baru kerana mencadangkan supaya ditafsirkan semula al-Quran itu.

Sebenarnya cadangan Dr. Mahathir itu betul dan tepat. Ini bukan saja kerana kebanyakan buku terjemahan dan tafsiran al-Quran yang berada di kalangan kita terutama dalam bahasa Melayu penuh dengan kelemahan-kelemahan, tetapi proses pembaharuan atau pentafsiran semula al-Quran berlaku sejak zaman-berzaman.

Sebagai contoh pada zaman awal Islam dulu ada tafsir al-Quran dengan al-Quran dan su- nah saja.

Maksud tafsir al-Quran dengan al-Quran ialah ayat-ayat al-Quran tertentu mentafsirkan ayat-ayat al-Quran yang lain.

Maksud tafsir al-Quran dengan sunah pula ialah Rasulullah s.a.w atau hadisnya mentafsirkan ayat-ayat al-Quran tertentu yang tidak difahami oleh orang Islam. Proses tafsir al-Quran dengan sunah ini berlaku pada zaman Rasulullah dan zaman selepas baginda, menerusi sunah atau hadisnya.

Kemudian dalam tahap berikutnya muncul pula beberapa perantara lain untuk mentaf-

sirkan al-Quran termasuk bahasa Arab klasik dan sajak Arab lama kerana terdapat perkataan-perkataan tertentu al-Quran tidak diketahui maknanya kecuali merujuk kepada makna yang terkandung dalam bahasa Arab klasik dan sajak Arab lama.

Selepas itu tiba pula satu tahap lain yang memaksa orang Islam mengambil pelbagai cerita Israiliyyat, iaitu kisah yang disebut Taurat dan Injil untuk mentafsirkan al-Quran terutama yang berkaitan dengan kisah-kisah bangsa-bangsa purba dan kisah para nabi yang disebut secara lebih terperinci dalam Taurat dan Injil.

Bagaimanapun, kini ramai ulama menolak untuk menggunakan Israiliyyat ini.

Pada zaman-zaman berikut muncul pelbagai jenis tafsir mengikut perbezaan mazhab dan puak politik seperti bermacam-macam tafsir Sunah, Syiah, Muktazilah, Zahiriyah, Sufiyah atau Batiniyah dan lain-lain.

Itu semua dalam peringkat awal kemunculan pelbagai jenis tafsir sehingga ke peringkat kemunculan mazhab dan puak politik.

Pokoknya, dalam semua peringkat itu amat jelas sekali berlaku pembaharuan atau pentafsiran semula al-Quran. Ia terus-menerus dan tidak dapat tidak mesti berlaku kerana pembaharuan dan pentafsiran semula dalam semua hal menjadi sunatullah (peraturan Allah) dan tuntutan zaman yang tidak dapat dielakkan.

Selain zaman terus beredar dan bertukar ganti, bahasa dan pemahaman manusia berubah. Dengan itu mahu tidak mahu pembaharuan dan tafsiran semula al-Quran mesti dilakukan dan tidak berhenti sehingga ke hari kiamat.

Dalam peringkat ahli tafsir pula kita dapati bahawa mereka juga membaharui dan mentafsirkan semula al-Quran. Dengan itu tidak hairan pada setiap zaman muncul ahli tafsir yang memainkan peranan itu.

Sebagai contoh, pada kurun ke-9 Masihi muncul dalam aliran tafsir tradisional seorang ahli tafsir agung yang bernama Ibn Jarir at-Tabari (838/923M).

Pada kurun ke-11 Masihi pula muncul Az-Zamakhshari (1075/1143M), pada kurun ke-12 Masihi muncul ar-Razi (1149/1209M), pada kurun ke-13 muncul al-Baidawi (meninggal 1280M) dan pada kurun ke-15 pula muncul as-Saiyuti (1445-1505M).

Pada zaman moden ini muncul puluhan cerdik pandai Islam mentafsirkan al-Quran menerusi pelbagai pendekatan dalam bingkai membaharui dan mentafsirkan semula al-Quran yang sesuai dengan tuntutan zaman.

Tokoh pembangkang terkenal Sayed Qutb umpamanya muncul dengan karya tafsir Fi Zilal al-Quran (Di Bawah Bayangan al-Quran) yang dianggap sebagai perintis tafsir gerakan (at-tafsir al-haraki).

Guru penulis al-Marhumah Dr. Aisyah Abdurrahman yang luas dikenali dengan nama samarannya, Bintusy-Syati' meneruskan pendekatan tafsir yang dimulakan oleh Amin al-Khuli yang dikenali sebagai at-tafsir al-bayani. Al-Khuli adalah guru kepada Dr. Aisyah, sekali gus merupakan suaminya.

Satu lagi jenis tafsir ialah tafsir yang dikenali sebagai al-tafsir al-maudui'i di mana terdapat beberapa sarjana Islam yang terlibat dalam memperkenalkan tafsir jenis ini termasuk Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Dr. Fathi Othman.

Terdapat banyak lagi aliran pembaharuan dan pentafsiran semula al-Quran yang muncul untuk berkhidmat kepada Islam dan umatnya.

Dan dengan ringkasnya semua aliran tafsir itu dirumuskan dalam dua aliran besar. Pertama, tafsir dengan riwayat (tafsir birriwayah) seperti al-Quran ditafsirkan oleh al-Quran dan Nabi s.a.w, para sahabat dan para tabiin.

Kedua, tafsir dengan pandangan (tafsir birra'i) yang dilakukan oleh para sahabat, tabiin dan ulama tafsir.

Dengan itu penulis tidak tahu bagaimana ustaz dan ulama Pas boleh memandang serong terhadap Dr. Mahathir supaya mentafsirkan semula al-Quran dan menjadikannya sebagai isu politik. Pada hal perkara itu adalah menjadi tuntutan dalam Islam.

Akhir sekali penulis jelaskan di sini bahawa membaharui dan mentafsir semula al-Quran bukan dalam bidang akidah, ibadat dan perkara-perkara yang ditentu secara qati'i dan muktamad dalam al-Quran.

Sebaliknya pembaharuan dan pentafsiran semula al-Quran itu dilakukan cuma dalam perkara-perkara yang tidak qati'i berkaitan dengan politik, ekonomi dan pembangunan kehidupan umat Islam. Semua ini dapat dilakukan melalui ijtihad dan jihad dalam maksud yang luas dan menyeluruh.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi