AGAMA

Mingguan Malaysia 19 mac 2001

IPT disyor wujud pengajian khusus kaji pemikiran PM

KOTA BHARU 18 Mac - Institusi pengajian tinggi (IPT) disaran mewujudkan bidang pengajian khusus bagi mengkaji pemikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Dusuki Ahmad berkata, kajian yang dilaksanakan membolehkan semua pihak mendapat gambaran jelas mengenai perancangan Dr. Mahathir.

Katanya, buat masa ini masih ada kalangan rakyat yang tidak memahami malah salah faham terhadap segala perancangan yang dibuat oleh Perdana Menteri untuk mereka dan negara ini.

``Dr. Mahathir mempunyai cita-cita besar untuk rakyat dan negara ini, kita sedang meniti ke arah itu cumanya banyak perkara yang masih belum selesai. Perdana Menteri merupakan pengubah struktur pemikiran ummah di abad ini,'' katanya.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan guru-guru pendidikan Islam Kementerian Pendidikan (Rakan Bestari) di sini, hari ini.

Dusuki juga menyarankan perkara yang sama kepada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) agar mengambil langkah mengkaji dan memahami segala perancangan yang sudah, sedang dan akan dibuat oleh Perdana Menteri sejak menganggotai kabinet pada 1974.

Menurutnya, Perdana Menteri sendiri meletakkan matlamatnya untuk mengangkat martabat orang Melayu di mata dunia di samping menjadikan Malaysia sebagai negara Islam pertama mencapai status negara maju dan menjadi negara Islam contoh.

Beliau berkata, Dr. Mahathir juga mahu meyakinkan manusia bahawa Islam agama benar yang menjamin kesejahteraan dan berusaha menjadikan orang Melayu sebagai model umat Islam yang berjaya.

``Sekarang orang lihat bangsa Arab seperti berkebolehan sedangkan tanggapan itu sebenarnya bukan,'' ujarnya.

Dusuki memberitahu, matlamat-matlamat itulah yang disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai perjuangan yang belum selesai.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi