AGAMA

Mingguan Malaysia 18 mac 2001

Berdoa kepada pemerintah

Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR

(Akademi Pengajian Islam)

SOALAN: Sesetengah khatib pada hari Jumaat berdoa khusus kepada pemerintah dengan menyebut nama-nama pemimpin negara, sesetengahnya pula tidak berbuat demikian. Soalan saya apa hukum berdoa kepada pemimpin yang mempertahankan dasar sekular dan doa kepada rakyat yang tertindas, di negara-negara seperti Palestin, Kashmir dan lain-lain. Bolehkah kita doa kepada mereka dalam sembahyang dan ketika kunut subuh dan witir. Bolehkah tuan jelaskan panduan berdoa yang sebaik-baiknya supaya doa segera dikabul Allah. - FAZRUL, Bukit Besi.

Jawapan: Doa pada hakikatnya suatu ibadat yang sangat istimewa dalam kehidupan seorang mukmin, sama ada diperkenan Allah atau diperkenankan. Doa berfungsi mengeratkan hubungan antara manusia dengan Tuhannya, bahkan sesama manusia. Bagi seorang mukmin ketika ia menadah tangan, kerana memohon sesuatu dari Allah, jiwanya terasa puas dan tenteram, kerana pada detik-detik sentimental itu ia berkesempatan meluahkan perasaannya kepada Allah yang mampu menyelesaikan segala masalah yang dihadapinya.

Jika ia seorang pesakit, penderitaannya dirayu terus kepada Allah melalui doanya agar mengafiatkan penyakitnya. Jika ia seorang miskin, maka kemiskinannya dirayu pada Allah yang Maha Kaya dan mampu mengatasi kemiskinannya. Kedudukan yang begitu rapat antara manusia dengan Allah melalui doa, dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka beritahu kepada mereka: Sesungguhnya Aku sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku - (al-Baqarah: Ayat 186).

Mohonkanlah kepada Allah untuk mengatasi apa jua masalah yang ditanggung, sama ada berkaitan diri sendiri, keluarga, masyarakat, bahkan negara. Allah tidak menyukai orang yang bermasalah, tetapi sombong untuk bermohon kepadaNya, sebaliknya sanggup pula bermohon kepada makhluk-makhluk yang tidak mempunyai sebarang kuasa, walaupun untuk mencipta seekor lalat.

Tiada masalah yang tidak boleh didoa pada Allah, Dia yang mempunyai kerajaan, Dia yang memberi kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan Dia juga yang mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang dikehendakinya. Kita selalu mengulangi pengakuan ini setiap kali selesai menunaikan solat. Atas dasar ini, kita tidak harus bakhil dengan berdoa kepada pemerintah negara kita, supaya diberi kekuatan dan semangat untuk membina agama dan negara.

Kita harus berdoa dengan suci hati untuk kebaikan pemerintah, dalam usaha menjalankan tugas-tugasnya sebagai pemimpin, di mana jua ada kesempatan dan diizin syarak, sama ada pada hari Jumaat, Hari Raya, ketika kunut dan pada bila-bila masa jua, sama ada ketika beribadat secara bersendirian atau dalam majlis-majlis rasmi. Tiada sebab mengapa nama-nama mereka tidak boleh disebutkan dalam doa.

Menyedari perlunya dia kepada pemimpin, seorang sufi besar al-Fudayl ibn `Iyad menyatakan: Jika saya mempunyai doa mustajab, nescaya saya percumakan doa itu kepada pemerintah, kerana mereka mempunyai kuasa untuk menjayakan segala cita-cita dengan mudah. Saluran mereka merupakan jalan pintas yang sangat berkesan, namun doa mustajab itu pula tidak senang diperolehi.

Pengucapan al-Fudayl ini saya kira terjawab dengan tepat persoalan yang saudara kemukakan, iaitu bolehkah berdoa kepada pemimpin pada hari-hari dan kesempatan-kesempatan tertentu. Saya sangat menghargai pandangan al-Fudayl itu, setiap orang perlu berdoa untuk kebaikan pemerintah, supaya negara ini sentiasa makmur, aman dan sejahtera. Kepentingan agama dan rakyat juga terus terpelihara.

Kitab-kitab hadis menyebutkan antara doa mustajab ialah berdoa khusus kepada saudara dan rakan-rakan, tanpa pengetahuannya. Dalam riwayat Muslim bilangan 2732 daripada Abu al-Darda' r.a. katanya: Sabda Nabi s.a.w: Seseorang Muslim yang berdoa kepada saudara seagama dengannya, tanpa pengetahuannya, akan dicatat pahala yang sangat istimewa baginya.

Doa kepada seseorang tanpa pengetahuannya, memberi erti yang sangat besar kepada keikhlasan dan kesucian hati terhadap pihak yang didoakan. Doa seumpama ini sangat membantu ke arah mewujudkan perpaduan sesama umat Islam, sedangkan doa yang dibaca dengan rasmi dalam sesuatu majlis, yang didengar semua orang, boleh ditafsirkan dengan berbagai-bagai tafsiran.

Kembali kepada fahaman sekularisme sebagai falsafah dalam pentadbiran negara, saya berpendapat, fahaman itu tidak menghalang kita berdoa kepada mereka, kerana fahaman sekular itu sendiri merupakan suatu falsafah politik yang mempunyai warna-warni yang berbeza-beza, berliku-liku dan tidak mudah dikumpul dalam satu bakul, kemudian dihukum dengan satu hukum sahaja.

Jika Rasulullah s.a.w. pernah mendoa kepada kaumnya yang terang-terang memusuhi Islam dengan sabdanya yang bermaksud: Wahai Tuhanku, tunjukilah jalan hidayat kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui, mengapa kita masih kedekut dengan doa kita kepada pemimpin. Ditakdirkan doa kita mustajab, bermakna kita berjaya mengikuti jalan pintas menuju destinasi. Kalaupun tidak mustajab, maka tiada apa yang rugi, kerana doa pastinya merapatkan hubungan dan dicatat sebagai ibadat.

Saya pernah bersama-sama dengan para jemaah dalam sesebuah masjid di Kuala Lumpur pada bulan Ramadan yang lalu, kerana menunaikan solat tarawih dan witir. Imam yang mengepalai solat itu membaca doa kunut begitu panjang sekali, sehingga hampir luput tumpuan pendengaran kepadanya. Antara doa yang dibaca dalam bahasa Arab itu membawa makna: Ya Allah hancurkan perpaduan mereka, musnahkan kediaman mereka, goyangkan kekuatan mereka. Lepaskan anjing-anjing engkau untuk mengganggu ketenteraman mereka.

Saya bertanya diri sendiri kepada siapa doa ini ditujukan, adakah kepada pemerintah, jika tidak maka kepada siapa? Saya berasa penting mengetahuinya, bagi mengharuskan saya mengaminkan bacaannya jika saya suka, tetapi jika tidak, maka saya perlu mufaraqah (berpisah) dengannya. Saya suarakan perkara itu kepada salah seorang jawatankuasa masjid, tetapi mungkin tidak sampai maksud saya yang sebenarnya, lalu kunut seumpama itu terus dibaca pada setiap malam.

Doa supaya Allah memusnahkan pihak-pihak yang dianggap musuh, kalaupun benar mereka musuh menurut pertimbangan al-Quran dan al-sunah, namun ia tidak wajib didoa dengan bahasa seumpama itu. Sebaik-baik contoh doa ialah doa Nabi s.a.w. kepada kaumnya supaya dikurniakan hidayat, walaupun mereka mencampak najis di atas belakangnya ketika sedang solat, sedang Nabi mampu bertindak balas terhadap mereka.

Adapun berdoa kepada kaum-kaum yang tertindas, seperti di Palestin, Kashmir, Bosnia dan lain-lain, saya berpendapat semua pihak harus membantu mereka, jika tidak dengan harta benda, maka sekurang-kurangnya hendaklah dengan doa. Memang tepat jika khatib membaca doa itu di masjid-masjid, kerana orang ramai dapat mengaminkan doanya. Sebaik-baiknya pihak pentadbiran agama terlebih dahulu mengeluarkan arahan kepada semua masjid supaya membaca doa-doa untuk pembebasan umat yang tertindas, ini kerana isu itu adalah isu agama dan negara.

Setiap Muslim perlu memberi sokongan padu kepada perjuangan umat Islam, di mana-mana jua mereka berada. Masalah mereka adalah masalah kita bersama. Umar Ibn al-Khattab r.a. mengingatkan setiap umat Islam supaya bertanggungjawab mempertahankan kubunya daripada serangan musuh, jangan ada musuh yang dibenar masuk menerusi kubu yang dikawalnya. Ulama, pemimpin dan rakyat mempunyai kubu pada tempat masing-masing. Jika khatib ditugas membaca khutbah dan doa, maka makmum pula hendaklah mengaminkan bacaannya.

Kembali kepada soalan tentang adab dan disiplin doa, untuk itu kita bersama-sama Syeikh Sayed Sabiq dalam bukunya Fiqh al-Sunnah yang mengatakan doa mempunyai beberapa adab yang perlu dipelihara dengan baik, antaranya:

1. Hendaklah memilih makanan, minuman atau pakaian yang halal lagi bersih. Rasulullah s.a.w. pernah menasihati Saad ibn Abu Waqqas yang bertanya tentang rahsia mustajab doa. Baginda menasihatinya agar memilih barang-barang yang halal untuk dimakan dan diguna. Makanan yang haram hanya mendekatkan seseorang dengan neraka.

2. Hendaklah menghadap arah kiblat ketika berdoa. Hadis-hadis menyatakan, Baginda Rasulullah s.a.w. selalu menghadap arah kiblat tatkala menadah tangan kerana meminta agar diturunkan hujan dan sebagainya.

3. Hendaklah memilih waktu-waktunya yang istimewa, seperti hari Arafah atau ke-9 Zulhijah, bulan Ramadan, hari Jumaat, satu pertiga malam yang akhir, waktu sahur, ketika sujud, ketika turun hujan, antara waktu azan dan iqamah, ketika perang dan ketika lembut hati.

4. Hendaklah angkat kedua-dua tangan menyamai paras bahu, kerana Rasulullah s.a.w. mengangkat dua tangan sucinya ketika berdoa.

5. Hendaklah memulakan doa dengan memuji-muji Allah, tasbih dan berselawat ke atas Nabi. Doa tanpa memuji Allah, tasbih dan selawat ke atas Nabi dikira gopoh dan tidak cukup sopan.

6. Hendaklah dengan penghadiran hati, rendah diri dan menjiwai kebesaran Allah. Jangan sekali-kali meragui kekuasaan Allah melayani permintaannya.

7. Jangan berdoa dengan perkara yang membawa dosa dan memutuskan rahim. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: Jangan kamu berdoa buruk terhadap anak-anak kamu, harta benda kamu dan ternakan kamu. Dibimbangi berkebetulan saat mustajab doa, maka doa kamu terus diterima.

8. Membaca doa-doa mathur (yang dibaca nabi), kemudian menyapu tangan ke muka setelah selesai berdoa.

Demikianlah antara adab doa yang perlu dicontohi, supaya doa kita mustajab dan diperkenan Allah.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi