Make your own free website on Tripod.com

AGAMA

Mingguan Malaysia 18 mac 2001

Adab-adab membaca al-Quran

SOALAN: Saya seorang gadis bekerja di pejabat dan suka membaca al-Quran. Pada saya, membaca al-Quran menenangkan fikiran di samping memperoleh kerelaan Allah.

Walaupun demikian, salah seorang teman rapat di pejabat telah beberapa kali menyatakan yang saya jangan terlalu memberi tumpuan ketika membaca al-Quran kerana ia boleh menyebabkan gila.

Saya tidak membantah kata-katanya, kerana saya menyedari apa yang dikatakannya itu salah. Tetapi ada kalanya apa yang dikata itu menjadi satu tanda tanya menyebabkan saya seakan terkeliru. Adakah benar apa yang dikata olehnya boleh berlaku. Kalau tidak berlaku, bagaimana pendapat atau idea seumpama itu boleh timbul. - TINA, KL.

JAWAPAN: Banyak perkara yang mesti difahami untuk menjawab soalan atau kekeliruan seperti ini.

Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah kepada nabi s.a.w satu rahmat yang tidak ada bandingnya bagi seluruh alam. Ia mengandungi wahyu Allah untuk dijadikan petunjuk, pedoman dan pengajaran bagi orang yang mempercayai dan mengamalkan kandungannya.

Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan. Kandungan merangkumi segala dasar syariat yang terdapat dalam kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya. Mereka yang mempercayai al-Quran akan berusaha membaca, mempelajari, memahaminya serta mengamalkannya, juga mengajarkan kepada orang ain.

Rasulullah s.a.w ada bersabda menyatakan bahawa semulia-mulia ibadah itu ialah membaca al-Quran dan mengajarnya.

Membaca al-Quran adalah amalan mulia, mendapat pahala berlipat ganda pada setiap huruf yang diturunkan. Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi mereka yang beriman, sama ada ketika senang atau susah. Selain merupakan ibadah yang diberi ganjaran, membaca al-Quran menjadi ubat atau penawar bagi mereka yang gelisah jiwanya.

Seorang lelaki berjumpa dengan Ibnu Mas'ud meminta nasihat untuk dijadikan ubat jiwanya yang sedang resah-gelisah, fikiran kusut, tiada selera makan dan tidak boleh tidur seperti biasa. Ibnu Mas'ud menyatakan bahawa untuk mengubatinya ia menasihati agar sahabat tadi mengunjungi tiga tempat, iaitu tempat orang membaca al-Quran. Atau mendengar baik-baik orang yang membaca al-Quran. Pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hati kepada Allah, memohon ketenangan jiwa dan ketenteraman fikiran juga kemurnian hati. Andainya jiwa masih juga tidak terubat dengan cara ini, minta kepada Allah agar diberi hati yang lain, kerana hati yang dimiliki bukan hatinya.

Sahabat tadi telah mengamalkan apa yang disuruh oleh Ibn Mas'ud. Dia pergi mengambil wuduk kemudian membaca al-Quran dengan penuh khusyuk. Selepas sempurna membaca al-Quran, jiwanya dirasa begitu tenang dan tenteram, manakala kegelisahannya hilang sama sekali.

Membaca al-Quran, sama ada memahami ertinya atau tidak adalah ibadah, amalan soleh dan memberi rahmat serta manfaat bagi mereka yang melakukannya.

Memberi cahaya dalam hati, memberi cahaya kepada keluarga juga tempat di mana al-Quran itu dibaca.

Sebuah hadis riwayat oleh Bayhaqi dari Anas r.a, dinyatakan bahawa rasulullah ada bersabda: Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga kamu dengan sembahyang dan dengan membaca al-Quran.

Oleh kerana al-Quran itu kitab suci, wahyu Allah, ia mempunyai adab-adab tersendiri yang mesti diikuti oleh orang yang membacanya agar bacaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, untuk dirinya sendiri, pendengar juga harapan balasan Allah terhadap ibadah membaca al-Quran yang dilakukan tadi. Kerana itu setiap orang yang membaca mesti tunduk berpedomankan adab-adab yang telah ditentukan.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' `Ulumuddin telah memberi garis panduan yang berkaitan dengan adab-adab membaca al-Quran, iaitu adab zahir juga adab batin. Yang dimaksudkan dengan adab batin itu ialah memahami kalimah-kalimah yang dibaca, ada rasa penghayatan membesarkan kalimah Allah, menghadirkan hati sepenuhnya ketika membaca, memperhalus perasaan dan jiwa.

Dengan adab batin yang difahami, kandungan al-Quran yang dibaca dengan perantaraan lidah itu dapat bersemi dalam jiwa dan meresap dalam lubuk hati saudari.

Untuk membesarkan kalimah Allah seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali, seseorang itu mesti menghadirkan dalam hati betapa keagungan Allah yang mempunyai kalimah-kalimah itu tadi. Pembaca mesti memahami bahawa apa yang dibacanya itu bukan tutur kata manusia, tetapi ia adalah kalamullah azza wa jalla. Membesarkan kalamullah itu bukan sahaja ketika membacanya, tetapi juga ketika menjaga tulisan-tulisan al-Quran.

Adab-adab zahir pula begitu banyak dan perlu dipatuhi di antaranya:

1. Membaca al-Quran hendaklah dalam keadaan bersih dan berwuduk. Al-Quran hendaklah diambil dengan tangan kanan, sebaik-baiknya hendaklah dipegang dengan kedua-dua belah tangan.

2. Al-Quran hendaklah dibaca di tempat yang bersih, seperti di rumah, di masjid atau lain-lain tempat. Paling utama ialah di masjid.

3. Mulut hendaklah bersih, tidak berisi sisa-sisa makanan, kerana itu seseorang itu hendaklah bersugi sebelum itu.

4. Disunatkan membaca al-Quran dalam keadaan mengadap kiblat. Membacanya dengan penuh khusyuk dan tenang. Dalam masa yang sama orang yang membaca hendaklah berpakaian yang bersesuaian.

5. Sebelum membaca, seseorang itu hendaklah berlindung kepada Allah, yang diistilahkan sebagai ``at-ta'awwuz.'' Setelah itu barulah membaca Bismillah. Dilakukan demikian agar ia dilindungi Allah daripada tipu daya iblis dan syaitan yang boleh menyebabkan hati dan fikiran tidak tenang ketika membaca yang boleh menghilangkan rasa konsentrasi. Elok juga seseorang itu memohon kepada Allah agar hatinya menjadi terang dengan doa yang bermaksud: Ya Allah, bukakan bagi kami hikmat-Mu dan anugerahkan rahmat-Mu kepada kami dari khazanah-Mu. Ya Allah yang Maha Pengasih Lagi Penyayang.

6. Al-Quran hendaklah dibaca dalam keadaan tertib, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang. Dalam surah al-Muzamil: 4 terdapat firman Allah yang bermaksud: Dan bacalah al-Quran itu dengan tertib banyak memberi kesan pada jiwa, lebih mendatangkan ketenangan batin dan rasa hormat pada Allah yang menguasai alam.

7. Bagi mereka yang berupaya menguasai makna dan maksud ayat-ayat yang dibaca, mereka hendaklah membacanya dengan penuh perhatian dan penghayatan. Cara pembacaan seperti inilah yang dikehendaki. Lidahnya menuturkan bacaan kalamullah, hatinya turut memerhatikan dan memikirkan erti juga maksud yang terkandung dalam ayat-ayat tadi. Dengan berbuat demikian ia akan memperoleh penghayatan bacaan yang sebenar. Keadaan seperti ini akan mendorong untuk mengamalkan isi al-Quran.

Dalam surah an-Nisa': 82 dijelaskan firman Allah yang bermaksud: Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran? Kalau kiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.

Mereka yang dapat memahami kandungan al-Quran berupaya melakukan ketentuan-ketentuan terhadap ayat-ayat yang dibaca. Ketika membaca pada ayat tasbih maka lidahnya akan menyebut ``tasbih'' dan ``tahmid.'' Apabila membaca ayat-ayat doa dan istighfar, maka pembaca akan berdoa dan memohon keampunan. Apabila membaca ayat azan, dia akan memohon perlindungan Allah dan apabila membaca ayat-ayat rahmat, dia akan meminta rahmat, begitulah seterusnya. Ia boleh dilakukan dengan ucapan lidah atau hanya dalam hati sahaja.

Diriwayat oleh Ahmad dan Abu Daud hadis dari Ibnu Abbas dinyatakan bahawa rasulullah s.a.w apabila membaca ayat: Sahbihi `s-marabbika `l-a'la, baginda membaca Subhana Rabbiya `i-A'la.''

Jelasnya, ketika membaca al-Quran seseorang itu hendaklah membaca dengan penuh penghayatan, terutamanya oleh mereka yang memahami maknanya secara detail, ataupun secara keseluruhan, lebih-lebih lagi pada ayat-ayat yang menggambarkan nasib orang yang berdosa, betapa hebatnya seksaan yang akan dilalui. Dengan demikian bacaan yang dituturkan dengan lidah itu akan melahirkan keinsafan membolehkan si pembaca lebih menghayati keagungan Allah, terasa dirinya begitu kerdil dan tidak mempunyai maya. Dari sinilah lahirnya rasa takut kepada Allah.

Berdasarkan penjelasan di atas ternyata bahawa apa yang disebut oleh teman sepejabat saudari adalah sesuatu yang bertentangan dengan adab-adab membaca al-Quran.

Membaca al-Quran, sama ada dilakukan oleh mereka yang tidak memahami maknanya, mamahami makna secara keseluruhan atau memahaminya setiap kalimah yang dibaca tetap menerima ganjaran Allah semuanya tetap dianggap sebagai ibadah.

Namun demikian, balasan atau ganjaran yang diberi adalah berbeza, bergantung kepada ciri-ciri atau adab tingkah laku orang yang membaca. Pahala orang yang berupaya memahami makna yang tersirat dalam kalimah Allah, menghayati dan berupaya mengambil iktibar, serta patuh pada adab-adab yang telah ditetapkan tidak akan sama dengan pahala mereka yang membacanya tanpa mengetahui makna, tidak berwuduk, tidak dalam keadaan menghadap kiblat dan sebagainya. Semuanya ini dapat difikiri logiknya oleh akal.

Biar dalam keadaan apa sekalipun, kesan terhadap pembentukan peribadi mereka yang membaca dengan pemahaman makna dan dapat mengambil iktibar daripada apa yang dibaca tentunya berbeza dengan orang yang membaca al-Quran tanpa mengetahui makna dan penghayatan.

Saudari perlu yakin tidak ada orang yang menjadi gila kerana membaca al-Quran dengan penuh tumpuan. Kalaulah orang yang membaca dengan penuh tumpuan dan keinsafan dan memahami makna serta mengambil iktibar itu ada yang gila, ini akan memberi erti seolah-olah Allah s.w.t menggalakkan manusia menjadi gila ataupun hilang akal melalui kaedah-kaedah membaca al-Quran yang disarankan.

Mungkin yang dimaksudkan dengan gila yang dijelaskan oleh teman saudari itu ialah konsep ``gila isim'' yang pernah berlaku di kalangan mereka yang melibatkan diri dengan ilmu kebatinan Melayu, sama ada ia melibatkan ilmu kebatinan mempertahankan diri ataupun untuk rawatan.

Konsep gila isim yang dimaksudkan ini hakikatnya tidak ada kaitan dengan ibadah membaca al-Quran seperti yang dijelaskan. Walaupun demikian tidak dinafikan bahawa dalam amalan kebatinan Melayu, sebahagian daripada amalannya melibatkan ayat-ayat al-Quran.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi