AGAMA

Mingguan Malaysia 25 mac 2001

1,001 KEMUSYKILAN

Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian Islam)

Bina masjid di bekas tapak kuil

SOALAN: Saya kurang jelas tentang hukum mendirikan masjid di atas bekas tapak kuil dan gereja yang dibina oleh penjajah sebelum merdeka. Sekarang pelbagai kejadian aneh berlaku sepanjang masjid itu berfungsi.

Soalan saya, bolehkah masjid didirikan di atas bekas tapak gereja dan kuil. Benarkah amal ibadat yang dilakukan di masjid itu tidak diterima Allah dan apa alasannya. - RIDZUWAN, Masjid Tanah, Melaka.

JAWAPAN: Ada isu yang patut difokuskan dalam jawapan ini, iaitu hukum merobohkan kuil dan gereja kepunyaan penganut-penganut agama bukan Islam termasuk Buddha dan Kristian. Kedua, isu membina masjid di atas bekas tapak kuil dan gereja setelah ia dirobohkan.

Saudara tidak menjelaskan detail kejadian yang berlaku, adakah semua pihak bersetuju merobohkan gereja dan kuil yang sedia ada, kemudian mendirikan masjid di atasnya. Adakah ia berlaku dengan pengetahuan pihak pentadbir agama atau di luar pengetahuan mereka. Isu ini sepatutnya diselesaikan melalui saluran pentadbiran agama dan kerajaan.

Saudara juga tidak menyatakan kejadian aneh yang berlaku dalam masjid itu, adakah kejadian itu berupa gangguan daripada pihak yang ingin membalas dendam. Jika gangguan datang daripada pihak mereka, bagi saya tidak begitu aneh, kerana Allah telah berfirman yang bermaksud: ``Dan jangan kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan mencerca Allah secara melampaui batas tanpa ilmu pengetahuan.'' - (al-An'am: 108).

Kejadian membakar al-Quran oleh sekumpulan fanatik Hindu di India sebagai membalas dendam terhadap tindakan kerajaan Taleban Afghanistan yang merobohkan patung Buddha yang tertua di dunia adalah bukti bahawa cerca dibalas cerca yang tidak berkesudahan.

Pada hemat saya, dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, tidak sepatutnya berlaku pembinaan masjid di atas tapak kuil dan gereja tanpa kebenaran pihak-pihak yang bertanggungjawab, sekalipun ia dibina semasa penjajah sebelum merdeka.

Islam sebagai agama yang dianuti sebilangan besar rakyat negara ini, sepatutnya tidak memilih tapak kuil untuk didirikan masjid, kerana ia boleh menimbulkan salah faham antara kaum dan penganut berbilang agama.

Meruntuhkan rumah-rumah ibadat kepunyaan penganut agama bukan Islam tidak pernah berlaku dalam sesebuah negara yang mengamalkan Islam sebagai dasar pemerintahan. Ia mungkin berlaku di negara Israel yang fanatik kepada Yahudi, mereka pernah membakar masjid-masjid kepunyaan umat Islam Palestin, kemudian membina rumah-rumah ibadat mereka di atas tapaknya. Kejadian yang serupa juga berlaku di India apabila penganut agama Hindu yang fanatik itu meruntuhkan Masjid Babri di Ayudhia, kemudian membina kuil di atas tapaknya.

Dasar Islam jelas dalam perkara ini, iaitu memelihara kebebasan agama dan ibadat. Setiap penganut agama tidak boleh dipaksa menukar agama atau dipaksa memeluk agama Islam. Asas kaedah ini ialah firman Allah yang bermaksud: ``Tiada paksaan dalam agama Islam, sesungguhnya telah nyata kebenaran Islam dari kesesatan kufur.'' - (al-Baqarah: 256). Firman-Nya lagi: ``Patutkah engkau memaksa manusia supaya semuanya menjadi orang-orang yang beriman?''

Ibn Kathir mentafsirkan ayat di atas, katanya: Jangan sekali-kali kamu memaksa orang supaya beragama Islam. Agama ini sudah cukup jelas kebenarannya, ia tidak lagi memerlukan sebarang paksaan. Sesiapa suka beriman, maka terimalah iman dengan rela hati.

Sebab nuzul ayat ini menurut ahli-ahli tafsir ialah apabila seorang wanita mandul bersumpah, jika dia memperoleh anak, akan dimasukkan anaknya kepada agama Yahudi. Setelah Yahudi Banu al-Nadir diusir dari rumah-rumah mereka, sebahagian kanak-kanak daripda keluarga Ansar itu ada yang masih tinggal bersama keluarga Yahudi. Kanak-kanak ini tidak diizinkan ibu bapa mereka untuk terus mengikuti keluarga Yahudi, lalu ayat bilangan 265 al-Baqarah itu diturunkan. (Tafsir Ibn Kathir, 1/31).

Kebebasan berakidah merupakan hak pertama manusia. Seseorang yang dirampas kebebasan akidahnya bererti telah dirampas kemanusiaannya dari awal lagi. Di samping kebebasan akidah ialah kebebasan berdakwah atau memperjuangkan akidah dan keamanan daripada gangguan dan penindasan. Jika tidak diberi kebebasan berakidah, maka ia hanya kebebasan pada namanya sahaja, tidak ada apa-apa ertinya dalam realiti kehidupan.

Al-Quran pernah menyatakan sebab-sebab diizinkan perang ialah kerana menjaga rumah-rumah ibadat daripada dihancurkan oleh manusia yang fanatik agama. Al-Quran menyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:

``Kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan, nescaya robohlah tempat-tempat pertapaan, gereja-gereja Yahudi dan Kristian dan masjid-masjid yang disebut nama Allah banyak-banyak padanya.'' - (al-Haj: 40).

Dalam sejarah Islam banyak dicatatkan butir-butir perjanjian yang memperakukan kedudukan ahl al-Zimmah dalam negara Islam, bahawa kedudukan mereka dihormati, harta benda mereka dilindungi dan rumah-rumah ibadat mereka tidak harus dicabuli. Sebagai contoh: Ketika Umar Ibn Al-Khattab menjadi khalifah, suatu perjanjian dimeteraikan antara kerajaan Islam dengan penduduk Kristian di Quds iaitu memelihara hak kebebasan beragama, hak mendirikan rumah-rumah ibadat dan hak menjaga keselamatan harta benda mereka (Tarikh al-Tabari, 3/609). Perjanjian ini terkandung di bawah kaedah kaum bukan Islam harus mendapat hak yang serupa dengan orang Islam, kecuali pada beberapa perkara yang ditentukan.

Demikian juga pada zaman panglima Khalid Ibn al-Walid, suatu perjanjian dimeteraikan juga iaitu Ahl al-Zimmah bebas memukul loceng di kuil bagi menandakan waktu ibadat mereka, sama ada waktu siang atau malam, kecuali pada waktu-waktu solat umat Islam. Mereka juga dibenarkan memakai simbol-simbol khas bagi agama mereka pada Hari Raya. - (al-Kharaj, 146).

Apa yang dikehendaki Islam ialah mereka memelihara perasaan umat Islam iaitu jangan memukul loceng pada waktu solat, jangan membina gereja baru di tengah-tengah bandar, jangan memakai simbol-simbol agama pada hari-hari biasa, kerana ia membangkitkan rasa tidak senang di kalangan umat Islam, bahkan bakal menimbulkan fitnah yang berpanjangan antara penganut agama yang berbagai-bagai.

Bagaimanapun, sesetengah ahli Fiqh membenarkan ahl al-Zimmah membina masjid di tengah-tengah bandar, setelah mendapat kebenaran kerajaan yang memerintah, kerana jika mereka dibenarkan menganut akidah sesuatu agama, maka beribadat menurut agama itu juga seharusnya dibenarkan. Pendapat ini dipegang oleh al-Qasim, al-Zayidiyyah dan lain-lain. - (al-Qaradawi, Ghair al-Muslimin, halaman 21).

Amalan membenarkan pembinaan gereja ini menjadi amalan beberapa kerajaan Islam sejak abad pertama lagi, misalnya pembinaan gereja Marqus di Mesir yang dibina sekitar tahun (30-56 Hijrah). Demikian juga dengan Abdul Aziz bin Marwan, tatkala membuka bandar Hilwan di Mesir, beliau membenarkan pembinaan beberapa gereja, bahkan al-Muqrizi dalam kitabnya al-Khutat menyatakan, kebanyakan gereja dibina di Mesir adalah berlaku pada zaman kerajaan Islam. (Sumber terdahulu, halaman 21).

Sehubungan itu, kita seharusnya menerima kenyataan hidup bersama di muka bumi ini. Allah telah menghendaki kenyataan seperti yang ada pada hari ini. Allah berfirman yang menyatakan kehendak-Nya yang bermaksud: ``Jika Tuhanmu menghendaki, nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi, patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman.''- (Surah Yunus: 99).

Tentang pembinaan masjid di atas tapak kuil, seperti yang dinyatakan tadi, jika semuanya berjalan secara aman dan melalui rundingan yang diterima semua pihak, maka tiada apa yang harus dimusykilkan. Masjid itu adalah sama dengan masjid-masjid lain, ia perlu dihormati dan dijaga kesuciannya.

Saya berpendapat tidak benar jika ada orang mempertikaikan kesahihan solat di dalam masjid ini, dengan alasan pada asalnya ia sebuah gereja atau kuil, tempat ini dahulunya penuh dengan pemujaan patung dan berhala. Sehubungan ini saya kemukakan terjemahan fatwa Dr. Abdul Fattah Idris, Profesor di Jabatan Fiqh Perbandingan Universiti al-Azhar, katanya:

``Solat boleh dilakukan di mana-mana jua, kerana sabda Nabi s.a.w: Dijadikan bagiku bumi sebagai masjid, tanahnya suci, di mana jua umatku berada, harus baginya menunaikan sembahyang dipermukaannya.''

Bertolak daripada keterangan hadis ini, seseorang harus bersolat di dalam dan di luar gereja atau kuil, iaitu jika tiada masjid yang dikhususkan kepada penduduk sekitar sesuatu kawasan.

Bagaimanapun, bersolat di luar gereja lebih baik, kerana di dalam gereja mungkin ada gangguan-gangguan seperti patung, ukiran dan lukisan-lukisan yang bertentangan dengan adab dan kehendak Islam ketika menunaikan ibadat.

Ibn Umar r.a pernah bersolat di luar gereja, walaupun pihak gereja membenarkannya bersolat di dalamnya. Beliau menolak tawaran itu kerana dibimbangi nanti akan dicontohi generasi akan datang.

Jika sembahyang di dalam gereja diharuskan, maka seharusnya sembahyang dalam masjid yang dibina di atas tapak gereja tidak menimbulkan apa-apa kekeliruan dari segi hukum, asalkan cukup syarat-syarat yang dikehendaki bagi menunaikan sesuatu solat.

Saya berpendapat, walaupun hukum membolehkan seseorang muslim menunaikan solat di dalam gereja dan rumah-rumah ibadat kepunyaan bukan Islam, namun buat masa ini, tidak seharusnya seseorang muslim memilih gereja untuk menunaikan solat.

Dibimbangi jika solat ditunaikan dalam gereja, ada kemungkinan mereka akan meminta untuk menunaikan ibadat mereka di dalam masjid. Hal ini sama sekali tidak dibenarkan. Kalaupun mereka dibolehkan masuk, ia hanya untuk belajar atau menumpang teduh, bukan untuk beribadat dan mempersekutukan Allah. Wallahualam.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi