AGAMA

Mingguan Malaysia 1 april 2001

SOAL JAWAB AGAMA

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN

Wajib nikah bagi orang tak tahan nafsu

SOALAN: Artikel minggu lalu mendorong saya menulis untuk meminta nasihat. Saya berkenalan dengan seorang lelaki 12 tahun lebih tua yang mulanya mengaku belum berkahwin. Saya telah terlanjur dan mendapati dia mempunyai beberapa orang anak. Dia telah bercerai tetapi rujuk semula biarpun tidak tinggal serumah.

Dia seorang terpelajar, berharta, penyayang dan murah hati memberi wang untuk saya belajar di IPTS. Saya sembahyang, membaca al-Quran dan berdoa, tetapi kami tidak dapat manahan nafsu ketika bertemu. Membaca artikel yang lalu saya sedar betapa munafiknya saya.

Bolehkah saya berkahwin dengan jarak umur begitu jauh. Adakah kedua-dua ibu saya menerimanya, pada hal saya perlu dua tahun lagi belajar. Adakah anak-anaknya akan menerima. Adakah perlu saya nikah lari untuk menghalalkan hubungan kami, kemudian baru nikah betul. - SAHARA YAAKOB, Kuala Lumpur.

Jawapan: Yang paling perlu saudari lakukan ialah berhentikan amalan zina. Ingat, ia memberi kesan buruk pada psikologi, fizikal dan yang penting ialah keinsafan bahawa zina itu termasuk dalam amalan dosa-dosa besar.

Setiap orang Islam, mesti tunduk kepada hukumnya, tanpa mengira sama ada hukuman zina itu dilaksanakan ketika di dunia ataupun tidak.

Allah s.w.t. melarang (al-Isra':32) agar tidak menghampiri zina kerana ia adalah perbuatan keji dan satu jalan yang buruk. Dalam surah al-Furqan: 68-70 dijelaskan bahawa orang yang berzina akan mendapat balasan dosanya, azabnya akan dilipatgandakan pada hari kiamat dan akan kekal dalam azab, dalam keadaan hina.

Hukuman mereka yang berzina, lelaki dan perempuan ialah seratus kali sebatan, tanpa belas kepada kedua-duanya yang boleh menyebabkan terhalang daripada melaksanakan hukuman Allah (an-nur:21).

Inilah balasan zina bagi mereka yang belum berkahwin. Andainya mereka telah berkahwin, biarpun sekali, balasannya ialah direjam dengan batu sehingga mati kedua-duanya.

Demikianlah hukuman Allah terhadap penzina. Biarpun pelaksanaannya di dunia tidak dilaksanakan oleh kebanyakan negara, tetapi itulah hukuman Allah. Andainya hukuman itu tidak terlaksana di dunia, dan mereka mati dalam keadaan tidak bertaubat, tempatnya di neraka.

Dalam rukun iman dijelaskan tentang adanya balasan baik dan buruk di akhirat. Setiap orang Islam mesti percaya tentang adanya balasan ini. Mereka yang beriman tidak akan melakukan dosa-dosa seumpama ini kerana takutkan balasan Allah. Orang yang tahu dan faham tentang balasan ini, tahu adanya tetapi masih tetap melakukan dosa yang berkaitan, mereka tidak ubah seperti orang yang tidak mempercayainya.

Ata' bin Yasar, seorang tabiin juga ahli fikah yang terkenal dalam menafsirkan tentang neraka jahanam, menyatakan bahawa bagi neraka jahanam itu ada tujuh pintu. Pintu-pintu yang paling gelap, panas, penuh penderitaan dan menjijikkan lagi meloyakan baunya ialah pintu bagi mereka yang melakukan zina pada hal orang yang terlibat itu tahu bahawa zina itu haram.

Menurut Abu Abdullah asy-Syami, riwayat daripada Nabi s.a.w dalam sebuah hadis mursal, seperti yang diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat dinyatakan bahawa penghuni neraka mendapati bau yang menjijikkan. Mereka berkata, kami tidak mendapati bau yang lebih busuk menjijikkan daripada bau ini. Dikatakan bahawa bau tersebut adalah dari bau kemaluan zina.

Menurut Ibn Zaid, iaitu Abdul Rahman bin Zaid, seorang ahli fikah, ahli hadis dan ahli tafsir bahawa penghuni neraka diseksa dengan bau busuk dan menjijikkan kemaluan (faraj) zina.

Rasulullah s.a.w ada bersabda menyatakan agar setiap orang yang beriman itu menjauhkan diri daripada zina. Ada enam perkara yang akan dihadapi oleh mereka yang terlibat dengan zina, tiga di dunia dan tiga lagi di akhirat. Di dunia ialah hilangnya keceriaan wajah, pendek umur dan sentiasa fakir, manakala di akhirat ialah kemurkaan Allah, balasan azab neraka dan hisab buruk.

Rasulullah s.a.w bersabda menjelaskan bahawa tidak ada dosa yang lebih besar selepas dosa menyengutukan Allah, daripada dosa setitik air mani yang diletakkan oleh seorang lelaki dalam kemaluan (faraj) yang tidak halal baginya.

Sebahagian besar mereka yang melakukan zina tahu tentang pengharaman dan balasannya. Tetapi, kerana nafsu, mereka seumpama tidak memahaminya, dan merempuh terus-menerus larangan ini, tidak takut pada balasan, apatah lagi kerana syurga atau neraka tidak pernah dapat dilihat dengan mata kepala ketika hidup. Itulah yang dinamakan iman.

Demikianlah balasan yang akan diterima oleh mereka yang terlibat dengan zina. Mereka yang beriman kepada Allah tidak melakukannya, dan mereka yang telah melakukannya akan memberhentikannya. Azabnya begitu mengerikan. Seringan-ringan balasan neraka itu, ialah andainya batu neraka itu diletakkan di tapak kaki, nescaya menggelegaklah otak orang yang diseksa tadi.

Walaupun demikian, andainya seseorang itu bertaubat, beriman kepada Allah dan mengerjakan amalan soleh kejahatan mereka itu akan diganti oleh Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kerana itu atas alasan ini jalan yang saudari mesti lakukan ialah bertaubat.

Langkah kedua ialah berkahwin. Masalah sedang belajar memang penghalang, tetapi bagi orang yang tidak dapat menahan nafsunya, orang yang takut terlibat dengan zina, termasuk orang seperti saudari, yang berzina setiap kali bertemu, menurut hukum fikah, bernikah itu wajib hukumnya. Wajib bererti dosa kalau tidak melakukannya. Tidak salah pelajar di IPTS berkahwin. Itu lebih baik daripada terus-menerus belajar, menunggu dua tahun lagi tetapi setiap kali bertemu akan melakukan zina.

Apa akan berlaku kalau ditakdirkan seeorang itu menemui ajalnya dalam keadaan dosa zina, mengandung melahirkan anak haram ataupun si lelaki hilang, melarikan diri setelah puas melayan saudari? Walaupun demikian jangan kahwin sembunyi. Sama ada di sempadan, ataupun di mana-mana tempat yang dikahwinkan oleh orang-orang tertentu tanpa saluran sah. Terlalu banyak pengalaman mengajar bagaimana perempuan yang telibat dengan perkahwinan seperti ini akhirnya terseksa menjadi mangsa. Ditinggalkan begitu sahaja. Perlu sedar dan insaf, bahawa ketika dibuai nafsu, manusia sering tidak berupaya berfikir menggunakan akal, lalu akhirnya musnah.

Memang Islam menyuruh seseorang itu berkahwin dengan pasangan yang kufu, yang dara dan segala pilihan keutamaan. Walaupun demikian, dalam kes saudari, yang penting ialah selamatkan diri daripada terus-menerus berzina. Pergi menghadap orang tua, cakap baik-baik insya-Allah mereka akan setuju. Apatah lagi teman lelaki saudari itu seorang yang baik seperti yang dijelaskan. Saya tidak fikir beza umur 12 tahun itu terlalu tua untuk saudari.

Seperkara lain yang perlu disedari, kenapa baru sekarang ini saudari mempersoalkan tentang beza umur 12 tahun. Kenapa saudari tidak memikirnya ketika mula-mula jumpa dahulu, ketika dia mengaku tidak mempunyai isteri? Dan kalau saudari menyedarinya terlalu tua ketika itu, kenapa hubungan tersebut diteruskan?

Teman lelaki saudari telah bercerai tetapi rujuk semula kerana memikiri anak-anak biarpun sekarang tinggal berasingan. Perempuan yang berkahwin dengan lelaki yang telah mempunyai anak dalam keadaan apa sekalipun, hendak atau tidak hendak dia mesti berhadapan dengan anak tiri. Sama ada anak-anak tadi dapat menerimanya sebagai seorang ibu, seorang pelindung atau sebagai seorang ibu tiri yang selalunya digambarkan sebagai garang dan zalim, semuanya bergantung kepada sikap saudari terhadap mereka.

Walaupun demikian, sekiranya teman lelaki saudari itu terus kekal dengan isterinya yang baru dirujuk, ini bererti saudari menjadi isterinya yang kedua. Adat bermadu lumrahnya tidak seindah bunyi namanya biarpun ia diharuskan oleh Islam. Islam hanya mengharuskan perkahwinan seperti ini tetapi tidak menggalakkannya.

Jelasnya, bertaubat itu bererti memutuskan hubungan atau perantaraan yang menyebabkan seseorang itu terjebak dengan dosa yang dilakukan. Sikap saudari yang selalu berdoa agar dijauhkan dari maksiat, selalu bersembahyang atau lain-lain ibadah tidak akan memberi guna selagi kaki saudari tetap menapak menemui teman lelaki saudari itu.

Saudari berazam tidak berzina, tetapi apabila bertemu, dengan pujuk rayu, janji-janji yang mengulit akan menafikan segala doa-doa, apatah lagi teman lelaki saudari itu pernah berkahwin. Dalam masa yang sama saudari juga bernafsu terhadapnya.

Perbuatan saudari tidak ubah seperti pemburu yang tahu ada singa kelaparan dan bertekad membalas dendam atas kematian anaknya. Si pemburu berdoa agar diselamatkan daripada menjadi mangsa harimau. Lepas berdoa dia berjalan di hadapan harimau yang menjelirkan lidah sambil menderam ganas kelaparan.

Pemburu yang cerdik akal tetapi malas tidak akan berdoa untuk keselamatan diri tetapi akan terus duduk di rumah. Sebaliknya pemburu yang pendek akal akan berdoa. Lepas berdoa keluar rumah lalu di hadapan singa tadi. Saudari sekurang-kurangnya perlu menjadi pemburu yang cerdik akal biarpun malas. Paling baik ialah menjadi pemburu yang cerdik akal dan yakin terhadap kuasa Allah membolehkannya berdoa.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi