AGAMA

Utusan Malaysia 16 mac 2001

Al-Quran dan sunnah seru perkukuhkan silaturahim

Oleh: Mohd Shauku Abd. Majid

Oleh sebab kita mengakui Al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam, merapatkan hubungan silaturahim dengan keluarga yang dekat mahupun yang jauh dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan.

Allah menegaskan dalam firmanNya yang bermaksud: Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman - (Surah al-Anfal, ayat 1).

Ciri-ciri mukmin yang sejati ialah menghormati tetangganya, menyambungkan tali persaudaraan dan memiliki perhatinan terhadap penderitaan yang dirasakan oleh saudaranya di sekitarnya.- (Hadis diriwayat oleh Bukhari).

Pengabaian oleh sesetengah umat Islam terhadap maksud hadis tersebut meletakkan diri mereka pada hari ini jauh sekali daripada memenuhi ciri-ciri Mukmin yang sejati. Seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w bahawa akan datang suatu zaman orang berkumpul di masjih untuk bersembahyang tetapi tidak akur dengan tetangganya iaitu memutuskan silaturahim. Maka ia dinilai oleh Nabi sebagai orang yang melakukan solat tetapi hakikatnya tidak dihitung sebagai orang yang melakukan solat.

Al-Quran menyebut bahawa amalan silaturahim merupakan perintah kedua setelah perintah takwa. Dalam surah Al-Nisa ayat 1, Allah berfirman yang bermaksud:

Bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan silaturahim kaum kerabat.

Demikian juga dengan surah al-Hujuraat, ayat 10, Allah menegaskan dalam firmaNya yang bermaksud:

Sebenarnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertengkar itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Takwa dan silaturahim selalu digandingkan di dalam Al-Quran dan merupakan dua hal yang tak boleh dipisahkan. Maksudnya jika orang itu bertakwa kepada Allah, tentu dia akan menyambungkan silaturahim dan kalau dia tidak bertakwa kepada Allah tentu dia akan memutuskan hubungan silaturahim.

Dalam surah al-Ra`d ayat 21 disebut bahawa salah satu tanda orang yang beruntung di akhirat ialah di dunia dia senang menyambungkan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat atau membantu orang-orang yang memerlukan bantuan.

Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan. - (Surah al-Ra`d, ayat 21).

Oleh kerana di dunia mereka senang menyambungkan tali kekeluargaan, maka Allah sambungkan tali kekeluargaan mereka nanti pada hari akhirat. Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman:

Barang siapa yang memutuskan tali kekeluargaan, akan aku putuskan hubunganKu dengan dia. Dan barangsiapa menyambungkan tali kekeluargaan, Akupun akan mengukuhkan tali kekeluargaannya nanti.

Lebih daripada itu diriwayatkan dalam banyak hadis bahawa amalan silaturahim akan memakmurkan rumah dan menambah usia walaupun para pelakunya bukan orang baik-baik. Amalan silaturahim ini akan membersihkan segala amalan kita yang lain serta melipatgandakan kekayaan, menolak bala dan menangguhkan kematian.

Perbezaan ideologi tidak seharusnya menjadi alasan untuk memutuskan hubungan tali silaturahim. Ingatlah orang yang memutuskan tali persaudaraan akan menerima laknat daripada Allah S.W.T.

Ketika Nabi berada di Arafah pada waktu Isyak bersama-sama sahabat, tiba-tiba beliau bersabda yang bermaksud:

Aku tidak menghalalkan siapapun yang pada petang hari ini dalam keadaan memutuskan tali silaturahim kecuali dia harus meninggalkan kami.

Dan yang jelas rahmat Allah tidak akan turun di tempat yang ada suatu kaum yang memutuskan hubungan silaturahim.

Mohd Shauki Abd. Majid ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi