AGAMA

Utusan Malaysia 30 mac 2001

Kesan akidah gara-gara undi

RENCANA ISLAM
Oleh HANAN ALAWIYYAH (Hananalaeiyyah@hotmail.com
Ketakutan Pas dalam membicarakan isu pengkafiran nampaknya sama seperti iblis takutkan ayat al-Kursi.

Sebab itulah mereka cuba menjauhkan diri dari membicarakan isu tersebut. Sungguhpun pemimpin Pas cuba lari dari dosa mengkafirkan UMNO, dosa tersebut nampaknya makin menghantui hala tuju perjuangan Pas.

Pas sebenarnya tidak boleh berselindung dalam menghadapi isu pengkafiran. Helah demi helah yang dikemukakan pemimpin Pas dalam menerangkan isu pengkafiran itu diibaratkan seperti menyorok bangkai gajah di sebalik jari.

Pemimpin Pas nampaknya mengamalkan sikap, dulu, kini dan selamanya tidak mahu bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka mengkafirkan orang-orang UMNO.

Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menyalahkan bekas Naib Presiden Pas, Nakhaie Ahmad, bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Ghazali Ahmad dan bekas Pegawai Penerangan Pas, Omar Khalid dalam soal pengkafiran itu.

Bagi Hadi apabila ketiga-tiga bekas pemimpin Pas itu menyertai UMNO, isu pengkafiran itu sudah selesai. Persoalannya, adakah Hadi mempunyai bukti yang sahih dari mulut ketiga-tiga orang yang dinamakannya itu bahawa mereka bertiga menyebarkan kepada masyarakat dengan mendakwa bahawa orang-orang UMNO kafir?

Kalaulah benar tiga orang itu bertanggungjawab, kenapa Hadi tidak membuat penafian dari dahulu dan mengenakan tindakan tatatertib ke atas mereka?

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Pas, perbuatan Hadi tidak mengenakan tindakan tatatertib ke atas mereka bertiga bererti dia turut redha dengan apa yang diucapkan. Tidakkah ini membuktikan Hadi turut bersubahat mengkafirkan orang UMNO?

Selain dari ucapan-ucapan pemimpin Pas sama ada secara terang atau berkias yang menyatakan bahawa orang-orang UMNO kafir, ucapan Hadi pada 7 April 1981 di Banggol Peradong Terengganu menjadi minyak tanah yang menyemarakkan isu pengkafiran.

Ucapan yang dinamakan amanat itu secara terang menyatakan bahawa melawan UMNO adalah satu jihad dan jika mati kerana melawan UMNO adalah mati syahid.

Selama 20 tahun sistem tarbiah Pas berjaya mewujudkan segolongan besar pengikut Pas yang berpegang kepada fahaman menyokong UMNO adalah satu dosa di sisi agama dan dosa itu hanya terlepas apabila mengundi Pas di dalam pilihan raya.

Sistem tarbiah ala Pas menghasilkan penyokong Pas yang menganggap dirinya sahaja yang paling benar kerana berjuang di dalam parti Islam. Yang lain tidak benar dan tidak perlu diikut pendapat mereka.

Sejarah perjuangan Pas tidak boleh melupakan slogan yang dicanang di majlis-majlis ceramah Pas khasnya sebelum tahun 1989. Slogan tersebut ialah ``La Syarqiyyah! (tidak timur) La Gharbiyyah! (tidak barat) Daulah Daulah Islamiah ! Jahanam UMNO, Jahanam Barisan Nasional.''

Slogan tersebut adalah jeriji besi yang memagar pengikut Pas untuk meletakkan diri kononnya sebagai pejuang negara Islam dan puak lain adalah tidak layak untuk bercakap soal Islam. Sekiranya ada pihak lain yang bercakap soal Islam, golongan tersebut akan dipersendakan sebagai golongan Islamisasi yang menjadikan Islam sebagai kosmetik dan Islam mereka adalah Islam plastik.

Kepada Nik Abdul Aziz Nik Mat pula selaku bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, apakah beliau boleh terlepas dari hukum bersubahat mengkafirkan UMNO kerana tidak membuat penafian bahawa orang-orang UMNO bukan kafir sebagaimana yang difahamkan dari Amanat Haji Hadi.

Sekiranya Nik Aziz mahu lepas tangan dengan alasan tidak mendengar dengan telinga sendiri bahawa tiga orang tersebut terlibat mengkafirkan UMNO, apakah Nik Aziz boleh melepaskan diri dalam kes Hasan bin Mat Saman yang diangkat menjadi calon Pas dalam pilihan raya umum 1982 di Parlimen Ulu Kelantan.

Bagaimana ini terjadi sedangkan secara sahih Hasan yang lebih dikenali Pak Chu Hasan atau Tok Wali Hasan mengkafirkan orang-orang Barisan Nasional dalam ceramah-ceramah beliau sekitar tahun 1981 hingga 1982. Bukankah ketika itu Nik Aziz adalah Ketua Dewan Ulama Pas Pusat dan Pesuruhjaya Pas Negeri Kelantan?

Apakah Nik Aziz terlupa bahawa Pak Chu Hasan pernah berkata dalam ceramah-ceramah Pas bahawa orang Barisan Nasional tidak boleh dijadikan imam, tidak boleh menjadi wali, tidak boleh menerima pusaka, tidak boleh dikebumikan di perkuburan orang-orang Islam jika meninggal dunia, sembelihan orang-orang Barisan Nasional tidak boleh dimakan dan terfasakh (terbatal) nikah jika salah satu pasangan suami isteri adalah orang Barisan Nasional.

Apakah Nik Aziz lupa, buat-buat lupa atau ada sesuatu yang menjadikan beliau tidak melarang Hasan Mat Saman mengeluarkan kenyataan tersebut. Jika Nik Aziz lupa kita bersedia menyerahkan rakaman ucapan Hasan Mat Saman tersebut.

Ekoran ucapan Hasan Mat Saman yang dijadikan akidah oleh pengikut Pas, maka bersemaraklah perpecahan dalam masyarakat sehingga meluasnya kes sembahyang dua imam, pulau memulau kenduri, pulau sembahyang Jumaat, nikah dua kali dan perseteruan di kalangan umat Islam khasnya di daerah-daerah pedalaman di Kelantan dan Terengganu.

Pemimpin Pas tidak boleh bersikap lepas tangan dengan apa yang dikatakan oleh Hasan bin Mat Saman kerana beliau berucap di majlis-majlis ceramah Pas bersama pemimpin -pemimpin Pas. Tidak ada pemimpin Pas yang melarang ucapan beliau atau menafikan apa yang beliau cakapkan.

Maka kesan ucapan Hasan Mat Saman dari segi akidah mesti dipikul oleh pemimpin Pas dari dunia hingga akhirat kerana kesan sosial dari apa yang berlaku adalah terlalu besar dan terlalu berat.

Semuanya gara-gara dari ucapan pemimpin Pas yang tidak bertanggungjawab asalkan mendapat undi , akidah dan persaudaraan tidak mempunyai apa-apa nilai lagi.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi