EKONOMI

Utusan Malaysia 01 April 2002

Tugas BPPSM semakin mencabar

MULAI setiap hari Isnin, ruangan Ekonomi akan menyiarkan satu siri artikel tentang Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Bhd. (BPPSM).

Siaran ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman para pelabur tempatan terutama pelabur runcit tentang hak mereka ketika membuat pelaburan di bursa saham. - Pengarang

BPPSM: Tugasnya semakin mencabar

Pengenalan
Pasaran modal merupakan sektor yang penting, dan menjadi penunjuk dan pemangkin, kepada pembangunan ekonomi negara. Di atas kesedaran ini, dan di dalam usaha menghadapi cabaran globalisasi dan tekanan luaran yang tak menentu, seperti kemelut kewangan serantau yang berlaku pada tahun 199798, kerajaan telah merangka Pelan Induk Pasaran Modal pada tahun 2001. Pelan induk ini bertujuan untuk mencartakan kedudukan strategik dan pergerakan masa depan pasaran modal di Malaysia untuk jangka masa 10 tahun yang akan datang.

Pelan Induk Pasaran Modal telah merumuskan berbagai cadangan yang diharapkan dapat membina pasaran modal yang adil, cekap dan mempunyai tahap kecairan yang tinggi.

Pasaran modal yang efisien akan memudahkan pengerahan dan peruntukan modal di dalam ekonomi dalaman, dan bertindak sebagai pintu masuk kepada pelabur antarabangsa.

Pasaran modal yang berciri begini mampu berdaya saing di dalam menarik modal asing ke Malaysia dan membantu pertumbuhan ekonomi negara untuk terus kukuh.

Di antara cadangan-cadangan khusus yang terdapat di dalam Pelan Induk Pasaran Modal ialah cadangan supaya syarikat-syarikat di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) diwajibkan untuk menyedia segala keperluan yang berkaitan dengan nilai pemegang saham, dan cadangan menyiapkan prinsip-prinsip dan piawaian untuk mendorong kegiatan pemegang saham dan menggalakkan amalan urus tadbir korporat yang baik. Kerajaan sememangnya telah mengakui bahawa amalan urus tadbir korporat yang baik dan perlindungan terhadap hak-hak pemegang-pemegang saham minoriti akan memastikan pasaran modal terus berdaya maju dan dinamik.

Satu lagi cadangan yang terkandung di dalam Pelan Induk Pasaran Modal ialah pengesahan tentang sokongan padu oleh Suruhanjaya Sekuriti terhadap segala usaha dan tugas yang dipikul oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad (BPPSM).

BPPSM, yang telah ditubuhkan pada bulan Ogos 2000, melambangkan kesungguhan kerajaan di dalam menentukan hak-hak pemegang-pemegang saham minoriti di dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di BSKL terus terjamin.

Pengasas-pengasas perintis BPPSM terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (LTH).

Siapakah yang ditakrifkan sbagai pemegang saham minoriti? Pemegang saham minoriti, tak kira organisasi atau individu, adalah mereka yang mempunyai pegangan saham yang kurang dari 50 peratus jumlah keseluruhan modal ekuiti sesuatu syarikat. Tetapi, ada kalanya, pemegang saham terbesar tidak mempunyai lebih daripada 50 peratus keseluruhan modal ekuiti syarikat berkenaan.

Di dalam keadaan begini, pemegang-pemegang saham minoriti adalah mereka yang bukan pemegang saham terbesar di dalam sesuatu syarikat.

Tugas yang diamanahkan kepada BPPSM sememangnya mencabar. BPPSM bertanggungjawab untuk meningkatkan kegiatan pemegang saham di Malaysia secara umum, dan untuk menjadi organisasi pelindung kepada pemegang-pemegang saham minoriti secara khusus. Tetapi Malaysia, seperti mana juga keadaan yang terdapat di banyak negara-negara Asia yang lain, tidak mempunyai budaya atau tradisi di mana pemegang-pemegang saham minoriti adalah aktif dan lantang di dalam memperjuangkan hak-hak mereka.

Oleh kerana itu, BPPSM mengadakan program-program pendidikan untuk meningkatkan kesedaran pemegang-pemegang saham minoriti tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka. Di samping itu, BPPSM juga telah mengadakan taklimat khas kepada organisasi-organisasi yang berkepentingan di dalam pasaran modal tempatan seperti BSKL, RAM dan Khazanah Nasional Bhd.

Satu lagi situasi yang mencabar misi BPPSM ialah keadaan pasaran modal tempatan di mana terdapat banyak syarikat-syarikat yang disenaraikan di BSKL masih diterajui oleh keluarga-keluarga pengasasnya.

Situasi ini menjurus kepada kepicikan yang menjadikan pengurusan syarikat-syarikat ini bersikap konservatif dan sukar menerima perubahan yang sejajar dengan aliran semasa.

Secara umum, minda pengurusan syarikat-syarikat yang diterajui oleh keluarga-keluarga pengasasnya masih bersifat sempit terhadap menghormati hak-hak pemegang saham yang lain dan terhadap pengamalan urus tadbir korporat yang baik.

Terdapat banyak contoh di mana pihak pengurusan, yang dipegang oleh ahli-ahli keluarga yang mewakili pemegang saham terbesar, membuat keputusan-keputusan korporat yang menindas secara jelas kepentingan pemegang-pemegang saham minoriti.

Satu arus perkembangan yang bertambah mantap dan yang akan memberi kesan terhadap tugas BPPSM ialah peranan institusi-institusi pelaburan yang semakin ketara sebagai pemegang saham minoriti di dalam syarikat-syarikat di BSKL. Pelaburan institusi-institusi seperti KWSP, PNB dan LTH di dalam BSKL bukan sahaja sangat tinggi dari segi nilai keseluruhan, tetapi mempamerkan kadar pertumbuhan yang menyerlah tiap-tiap tahun. Kebanyakan di antara institusi-institusi ini melabur beratus juta ringgit bagi pihak pencarum-pencarum, penyimpan-penyimpan wang, pemegang-pemegang saham amanah atau ahli-ahli mereka.

Pada asasnya, semua wang yang dilaburkan oleh kebanyakan institusi-institusi ini adalah sumbangan rakyat jelata. Di dalam memenuhi amanah rakyat jelata, institusi-institusi pelaburan ini perlu memastikan syarikat-syarikat di mana mereka membuat pelaburan sentiasa dikendalikan dengan cekap dan terurus. Kewajipan ini perlu dipikul untuk menentukan pelaburan mereka bukan sahaja terjamin, tetapi juga memberi pulangan yang setimpal dengan risiko yang ditanggung.

Institusi-institusi semakin sedar bahawa mereka adalah pemegang-pemegang saham minoriti yang terbesar dan terpenting di dalam banyak syarikat yang disenaraikan di dalam BSKL. Kesedaran ini diiringi dengan sikap yang lebih aktif dan sifat tanggungjawab yang lebih menonjol di dalam memantau dan memastikan bahawa syarikat-syarikat di mana mereka membuat pelaburan sentiasa diurus dengan baik.

Pihak pengurusan di syarikat-syarikat BSKL digesa secara berterusan untuk mengamal urus tadbir korporat yang baik dan membuat semua keputusan-keputusan penting dengan telus, bertanggungjawab dan mengambil kira kepentingan para pemegang saham minoriti.

* Artikel ini ditulis oleh Mohamed Khairi Mohd. Isa; BA (Indiana), MSc (Stanford), MBA (Yale); Pakar Runding Perkhidmatan Pelanggan, Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Bhd.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum