EKONOMI

Utusan Malaysia 01 April 2002

Mencari tokoh usahawan Melayu berwibawa

Oleh Mowardi Mahmud
(Wartawan Utusan)
BENARKAH orang Melayu tidak pandai berniaga? Setelah hampir 45 tahun Malaysia merdeka, kita masih lagi tercari-cari siapakah tokoh-tokoh usahawan Melayu yang benar-benar terbilang dan boleh dibanggakan.

Dalam pencarian itu, ada yang mengatakan ia adalah sesuatu yang sukar, sebaliknya lebih mudah mencari tokoh usahawan Melayu yang mempunyai hutang yang besar.

Sebenarnya pada usia negara yang semakin matang dan cukup dewasa, kita sepatutnya boleh berbangga dan mempunyai contoh tokoh usahawan Melayu yang bergelar billionaire dan bukan sekadar millionaire. Bahkan, mempunyai nama-nama yang setanding dengan usahawan bukan Melayu yang tidak hanya di dalam negara tetapi juga antarabangsa.

Di mana silapnya apabila majalah Forbes, sebuah majalah terkemuka dunia, baru-baru ini hanya menamakan orang bukan Melayu sebagai orang terkaya di dunia? Kalau ada tokoh Melayu yang pernah singgah di senarai yang dianggap hebat itu, ia hanyalah sementara.

Tokoh usahawan Melayu sekadar mencapai status jutawan dan status billionaire yang diharapkan masih `jauh panggang dari api'.

Mungkinkah kerana kerendahan diri orang Melayu itu, menyebabkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri pun hanya terfikir untuk menterjemahkan istilah billionaire sekadar `jutawan'.

Sebenarnya orang Melayu bukan kurang bakatnya dan hebat, cuma `hati cepat lembut, menjadi selembut tauhu' dan `tidaklah sekeras logam titanium' yang digunakan di padang golf.

Mereka sememang lebih mudah diajak untuk berniaga atau bersedia melabur sekiranya pulangan yang bakal ditawarkan jauh lebih tinggi, biarpun adakalanya minda mereka sendiri tertipu dengan pulangan yang dijanjikan.

Keadaan ini jelas sekali apabila Skim Projek Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan (Prosper) yang dibentuk kerajaan untuk mengadakan tapak-tapak mula perniagaan sendiri sukar dapat mencari mereka yang 100 peratus berwibawa dan komited.

Sekiranya, program itu dibuka kepada bukan Melayu, barangkali ia sudah pun habis dilaksana dan memasuki peringkat baru.

Sekiranya kita sendiri tidak mampu untuk membangunkan perniagaan yang kecil, bagaimana pula dengan cita-cita untuk menjadi gergasi-gergasi yang mampu bersaing dengan syarikat-syarikat yang jauh lebih besar di peringkat antarabangsa.

Kelemahan orang Melayu bukan sekadar semangat juang tetapi juga tidak mempunyai `jaringan kerja' yang mantap sepertimana bukan Melayu.

Malah, kehadiran dewan perniagaan Melayu yang begitu banyak dengan pelbagai identiti pemimpin dan hala tuju, telah mematikan usaha melahirkan mereka yang berwibawa.

Sesetengah pemimpin dewan sendiri bertelingkah antara satu sama lain dengan masing-masing mendabik dada, mereka adalah peneraju terbaik untuk para usahawan tempatan.

Ini sekali gus menampakkan bahawa mereka masih gagal membuang rasa dengki, sikap mementingkan diri dan prasangka yang menebal.

Pada masa yang sama, dalam usaha untuk melahirkan usahawan, kita bukannya mahu sekadar mewujudkan mereka yang bakal melahirkan wang `berkarung guni' dan empayar yang besar tetapi mereka yang mampu `memapah dan membimbing' orang Melayu lain untuk menjadi seorang tokoh perniagaan yang mampu untuk bangun, berdiri dan kemudian berlari dalam arus perdana perniagaan sejagat.

Tidakkah suatu yang aneh sekiranya orang Melayu gagal menggunakan kekuatan dalam persaudaraan Islamnya dan mencontohi Nabi Muhammad untuk menguasai pasaran dunia, malah setidak-tidaknya mengimbangi pegangan kuasa politik yang ada di negara ini.

Biarpun tokoh usahawan akan datang dan pergi sepertimana yang kita lihat sekarang, landasan perlu ada untuk kelahiran generasi yang akan datang.

Begitu juga, kita tidak boleh menyalahkan krisis yang mendatang sebagai punca pasang surut dalam melahirkan tokoh usahawan Melayu.

Dengan penguasaan ekonomi semasa oleh orang Melayu kini kira-kira 19 peratus, perjalanan adalah lebih jauh.

Kuasa politik semata-mata tidak lagi mampu membawa orang Melayu jauh kehadapan terutama dalam pensejagatan yang perniagaannya melangkaui sempadan kedaulatan. Tambahan pula, pada masa ini, kekuatan semangat mudah sekali dilerai dengan kuasa wang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum