EKONOMI

Utusan Malaysia 01 April 2002

Ke mana akhirnya Tajudin?

Oleh:Khairuddin mohd amn
KUALA LUMPUR 31 Mac - Setelah `berpenat lelah' membangunkan empayar perniagaan lebih dua dekad lalu, mungkinkah Tan Sri Tajudin Ramli, mengikuti jejak dua tokoh korporat terkemuka lain, Tan Sri Halim Saad dan Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang akhirnya terpaksa melepaskan pegangan milik mereka?

Berbeza dengan Halim Saad dan Rashid Hussain, Tajudin yang terlibat dalam industri komunikasi, mengambil tindakan mempertahankan kepentingannya melalui mahkamah.

Rashid Hussain, pakar perbankan saudagar, dilihat lebih beruntung berbanding Halim Saad, peneraju Renong Bhd. yang dahulu menguasai projek infrastruktur negara kerana dibayar lebih RM700 juta biarpun disifatkannya belum tentu cukup untuk melangsaikan hutang.

Halim Saad pula `dipinggir' begitu sahaja. Kesemua ini adalah hasil krisis kewangan tahun 1997.

Tindakan Mahkamah Tinggi menolak permohonan tokoh korporat itu untuk menghalang Pengurusan Danaharta Nasional Bhd. (Danaharta) menjual saham beliau Jumaat lalu, telah menjadi percakapan ramai yang mahu menyaksikan sejauh mana kelangsungan hidup tokoh besar itu.

Tajudin kini `bergelut' dengan masa untuk menyelamatkan kepentingan dalam tiga buah syarikat iaitu TRI, Naluri Bhd. dan Promet (Langkawi) Resorts Sdn. Bhd. daripada hilang begitu sahaja.

Tajudin mempunyai tempoh sehingga 26 April ini untuk mencari dana sebanyak RM130 juta untuk dibayar kepada Danaharta. Kegagalan itu dilihat oleh para penganalisis sebagai kemungkinan berakhirnya penguasaan beliau terhadap empayar perniagaan TRI.

Ia juga membuka ruang penguasaan TRI oleh pemegang saham utama lain yang sedia ada iaitu Kumpulan Simpanan Wang Pekerja atau sebuah syarikat lain yang berminat menguasai syarikat itu apabila saham milik Tajudin dijual di pasaran terbuka oleh Danaharta. Syarikat lain itu tidak semestinya Telekom Malaysia Bhd. seperti yang dikatakan selama ini.

Kesediaan TRI menerima kehadiran pemegang saham utama yang baru telahpun dinyatakan sebelum ini terutama jika harga yang ditawarkan sukar untuk dilepaskan.

Pada masa ini, bukanlah TRI yang sedang menunggu hari penentuan tetapi Tajudin. Kudrat beliau untuk mengatasi masalah kewangan yang ada akan meningkatkan lagi kehebatan beliau di mata koporat tempatan.

TRI, tanpa Tajudin pun masih mampu meneruskan pelan permodalan semulanya kerana ia telah memperoleh dana daripada terbitan terhad manakala terbitan haknya telah ditaja jamin oleh 16 buah institusi kewangan dan firma pembrokeran saham sebelum ini.

Tambahan pula, TRI menerusi anak syarikatnya, Celcom juga telah menerima kemudahan kewangan daripada Citibank Bhd. (Citibank) bernilai RM1.85 bilion bagi menyelesaikan kemudahan kewangan pelbagai struktur berjumlah RM1.45 bilion.

Sekiranya, ternyata tokoh korporat yang pernah menerajui syarikat penerbangan nasional (MAS) gagal dalam usaha terakhir itu, ia juga mewakili satu lagi kehilangan besar dalam dunia keusahawanan Melayu.

Namun begitu, disebalik masalah yang dihadapi oleh Tajudin, ia merupakan satu hikmah tentang memahami hala tuju dan perkembangan dunia korporat Melayu pada masa depan.

Sementara itu, Tajudin akan terus menjadi tumpuan umum dalam tempoh terdekat ini, untuk menjawab pertanyaan sama ada beliau bakal menjejaki Rashid Hussain dan juga Halim Saad.

Seperti mana dunia politik, dalam dunia perniagaan juga mempunyai segala kemungkinan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum