EKONOMI

Utusan Malaysia 08 April 2002

Herba di Malaysia terbaik di dunia

KUALA LUMPUR 7 April - Malaysia mempunyai sumber bahan mentah tumbuh-tumbuhan dan herba antara yang terbaik di dunia.

Bagaimanapun, pengguna dan pengamal perubatan tradisonal tempatan gagal mengeksploitasikan sumber-sumber yang ada bagi menggiatkan pembangunan industri itu.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Abdul Razak Mohd. Ali berkata, akibatnya bahan-bahan yang ada itu menjadi khazanah yang disia-siakan.

Menurutnya, kajian yang dijalankan mendapati terdapat potensi besar pasaran produk barangan kesihatan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan dan herba.

``Perangkaan pada 1998 mendapati produk barangan berasaskan tumbuh-tumbuhan dan herba dianggarkan bernilai RM1.2 bilion.

``Pasaran untuk produk barangan ini meningkat antara 15 hingga 20 peratus setahun,'' katanya dalam satu pertemuan di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, beliau menambah, usaha mengeksploitasikan sumber berkenaan sedang berjalan, tetapi secara kecil-kecilan dan hanya melibatkan sektor luar bandar sahaja.

Ini terbukti apabila, katanya, import Malaysia di dalam produk-produk herba dari luar negara telah menurun berbanding tahun-tahun lalu.

Penurunan ini juga katanya, disusuli dengan penambahan eksport barangan herba keluaran Malaysia ke luar negara yang begitu menggalakkan.

Menurutnya, kajian dan penyelidikan yang dijalankan serta usaha penanaman herba secara kecil-kecilan oleh masyarakat luar bandar turut mempengaruhi keadaan ini.

Katanya, selain itu, kebelakangan ini meningkatnya tahap kesedaran di kalangan masyarakat dunia tentang kebaikan menggunakan produk kesihatan yang barasaskan bahan semula jadi.

Bagaimanapun, pengeksplotasian tidak terancang sesetengah spesies tumbuh-tumbuhan dan herba mengakibatkan ada sesetengah tanaman kini diambang kepupusan.

`` FRIM mendapati penawaran tumbuh-tumbuhan yang dikenali ramai sebagai tongkat ali tidak mencukupi untuk menampung permintaan.

``Banyak kawasan di Malaysia yang dahulunya kaya dengan sumber-sumber bahan mentah tongkat ali sudah tiada,'' katanya lagi.

Abdul Razak menambah, kajian yang dibuat oleh FRIM baru-baru ini mendapati, kawasan pendebungaan yang kurang bahan mentah berkenaan adalah dalam nisbah 5:1.

Katanya, sesetengah daripada kawasan pendebungaan di Langkawi yang dahulunya memiliki banyak sumber bahan itu kini telah hampir pupus.

Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada permasalahan ini, ujarnya, ialah kerja-kerja mencari tumbuhan herba berkenaan secara buruan oleh segelintir orang.

Masalah ini, kata Abdul Razak dikeruhkan lagi dengan kekurangan kawasan tanah penanaman bahan mentah tersebut yang kini di tahap kritikal.

Menurut beliau, sekurang-kurangnya 404 hektar tanah subur dan sesuai untuk penanaman bahan mentah herba berkenaan diperlukan bagi menampung permintaan terhadap industri itu.

Justeru, katanya, FRIM sangat menggalakkan mana-mana pihak yang belum atau sudah terlibat supaya memulakan penanaman sendiri tanaman berkenaan.

Galakan oleh FRIM ini, ujarnya, adalah menerusi penawaran anak benih tongkat ali pada kadar yang lebih murah dari harga pasaran.

Kata beliau, penanaman tongkat ali adalah mudah kerana ketahanannya dan kesesuaiannya untuk di tanam bersama tanaman yang lain atau di antara mereka.

``Tongkat ali ini mudah kerana petani boleh juga menanam mereka bersama tanaman lain seperti serai atau di bawah pokok getah,'' katanya.

Dalam keadaan genting seperti sekarang, ujarnya, penanaman tongkat ali perlu dimulakan seberapa segera kerana tempoh matangnya mengambil masa lima tahun.

Selain itu, ujar Abdul Razak, FRIM juga mempunyai beberapa projek tanaman beberapa jenis bahan mentah yang lain termasuk tongkat ali serta akan membuka kilang memproses herba tidak lama lagi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum